Sunday, March 3, 2013

Seorang Penceroboh Dipukul Sehingga Mati Oleh Penduduk Semporna


Salah masuk kampung... itulah yang terjadi dengan seorang lelaki dipercayai  penceroboh Sulu selepas dia dibelasah beramai-ramai oleh penduduk sebuah kampung di Semporna pagi ini.

Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi.

Bagaimanapun sehingga kini polis belum memberi pengesahan tentang identiti lelaki itu.

Bernama melaporkan dalam insiden 7 pagi hari ini, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang Lama, Semporna di sini.

Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata selepas melepaskan tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa "saya yang menembak polis malam tadi".

"Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu kawasan lapang," katanya yang turut berkumpul bersama penduduk di dalam keadaan ketakutan.

Abdul Hani berkata penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.

Beliau berkata lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung itu.

Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah.

Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain.

Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit.

Cubaan Bernama untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.

Agendadaily

Pencerobohan Tersebar Ke Seluruh Sabah?


Dengan pengesahan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pagi tadi, bermakna setakat ini sudah 7 anggota keselamatan kita terkorban ketika menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara.

Kalau diambil kira sebelah penceroboh yang dikatakan sudah 14 (termasuk dua di Semporna yang mati), maka sudah ada 21 kematian di Sabah setakat ini.

Sebuah negara yang aman damai secara tiba-tiba menghadapi masalah seperti ini…memeranjatkan. Konflik di Sabah kini bukan lagi isu kecil.

Yang kita faham konflik yang wujud di Sabah angkara secara langsung salah seorang daripada 9 individu yang mengaku diri mereka sebagai Sultan Sulu, adalah masih jauh daripada berakhir.

Masih ada 100 lebih pengikut Jamalul Kiram III berkampung di Lahad Datu, Sabah.

Dan jika insiden di Semporna lewat petang semalam diambil kira, ada kemungkinan isu pencerobohan itu bukan lagi terhad di daerah itu semata-mata.

Terkini, Ketua Polis Negara juga mendedahkan pihaknya sedang mengesan 10 penceroboh, dengan 3 daripada mereka memiliki senjata di dua tempat di Kunak pula.

Kunak terletak di antara Lahad Datu dan Semporna, jelas pencerobohan kini tidak lagi terhad di Lahad Datu semata-mata.

Cuma yang menjadi teka-teki ialah setakat mana kumpulan Jamalul Kiram ada di Sabah kini dan berapa ramai sebenarnya?

Penulis tidak mahu membincangkan secara panjang lebar, tetapi ada terbaca sebuah laporan media Filipina bahawa pengikut Jamalul Kiram sudah ramai yang tersebar di seluruh Sabah dan kumpulan di Lahad Datu merupakan kumpulan yang terakhir masuk ke Sabah.

Editor akhbar berpengaruh Filipina itu begitu yakin dengan sumber maklumat yang ada pada dirinya.

Jadi, jika benar pengikut Jamalul Kiram sudah tersebar di seluruh Sabah, bermakna perjalanan konflik di Sabah masih jauh dari berakhir.

Apakah ada kebarangkalian ia akan berubah menjadi perang gerila,… mungkin. Penceroboh sudah menzahirkan mereka sudah nekad untuk mati.

Melihat situasi sekarang, kita tidak boleh berada dalam keadaan penafian. Rencana ini juga tidak ditulis untuk menakutkan sesiapa, tetapi membuka mata semua pihak agar bersedia untuk sesuatu yang lebih besar dan lebih buruk.

Mungkin sudah tiba masanya kita melihat situasi di Sabah sebagai perang dan diserahkan kepada tentera pula.

Ingat, puak yang menceroboh itu bukan pekerja asing atau pekerja ladang, mereka adalah kelompok yang sudah biasa berperang. Mereka adalah dari suku Tausug, yakni satu puak yang garang dan turut digeruni tentera Filipina.

Berperang adalah umpama cara hidup bagi mereka. Kejadian di Semporna memberikan isyarat jelas kemampuan perang gerila dan kemahiran serang hendap yang dimiliki penceroboh berkenaan.

Justeru, melihat kepada kemampuan penceroboh, perkara yang menjadi persoalan kini ialah bila pencerobohan yang berlaku akan berakhir dan berapa ramai lagi yang akan terkorban?

Tujuh kematian anggota keselamatan dalam masa beberapa hari adalah sesuatu episod yang mungkin sudah lama tidak berlaku di negara ini.

Selain tempoh, penulis teringin sangat hendak tahu siapalah punya angkara menjahanamkan Sabah?

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pantas membuat penafian dan seperti biasa mengarahkan para peguamnya untuk menyaman Reuters dan Utusan Malaysia.

Kononnya kalau saman tu tak bersalah lah kan…

Namun, kenapa hanya dua itu sahaja?

Sebenarnya, sebelum kedua media berkenaan melaporkan hal itu, media sosial dan baru telah beminggu lebih awal mendedahkan penglibatan Anwar dalam isu di Sabah. Kedua pihak itu boleh dikatakan lambat melaporkan isu itu.

Jadi Anwar perlu adil dengan menyaman media-media baru di negara ini dan di Filipina yang rata-rata mendakwa beliau adalah dalang.

Anwar juga perlu menyaman unit perisikan Filipina yang juga mendakwa beliau punca kemelut di Sabah kini.

Tempoh dan siapa serta berapa ramai yang akan terkorban….ke mana hala tuju konflik Sabah…yang pasti akan kekal dalam lipatan sejarah negara ini.

Mynewshub

Hanif: Siasat Tuduhan Insiden Lahad Datu Didalangi Pemimpin Pembangkang


Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat laporan media Filipina yang mendakwa terdapat pemimpin pembangkang Malaysia yang terlibat merancang penyusupan masuk penceroboh di Lahad Datu awal bulan lalu.

Kata beliau, sekiranya laporan tersebut terbukti benar, ia satu tuduhan sangat berat dan perlu disiasat.

Sebelum ini, sebuah media Filipina dipetik melaporkan, perisikan Filipina mendapati individu dalam parti pembangkang Malaysia didakwa sebagai dalang kepada isu di Lahad Datu.

Difahamkan, kumpulan bersenjata tersebut yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram, yang merupakan adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III terpedaya dengan janji menyokong pihak mereka dalam tuntutan ke atas Sabah.

Susulan pencerobohan 9 Februari lalu, dalam kejadian jam 10 pagi semalam, dua anggota komando polis VAT 69 terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata terbabit turut maut.

Ia turut mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan Malaysia.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dilapor mengaitkan insiden tembakan di Lahad Datu sebaai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakutkan rakyat, Hanif juga dilihat sebagai satu tuduhan yang sangat berat.

Hanif turut menggesa PDRM menyiasat secara rapi wakil rakyat itu.

Laporan yang tersiar di laman berita rasmi PKR itu memetik Tian Chua sebagai berkata, pencerobohan di Lahad Datu itu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

Hanif menambah, PDRM harus menyiasat kedua-dua tuduhan itu kerana ia telah menyebabkan 14 nyawa terkorban manakala tiga anggota polis lain tercedera.

“Tadi saya turut bersama-sama menyambut ketibaan jenazah dua anggota komando VAT69 yang terkorban dalam pertempuran itu iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud di Airport Subang.

“Saya sendiri berasa sangat sedih melihat anak dan isteri mereka yang terkorban kini menjadi anak-anak yatim dan balu dalam sekelip mata sahaja. Mereka menangis dalam pelukan. Semoga kerajaan menjaga kebajikan dan pelajaran anak-anak mereka ini,” katanya lagi – Sinar Harian