Tuesday, October 30, 2012

Azizan MB Paling Lemah!


Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah dikatakan amat disenangi rakyat Kedah kerana sikapnya yang santai, suka berjenaka dan bersih. Bagi rakyat Kedah yang tidak berfikiran jauh, ketiga-tiga sifat ini sudah cukup untuk diberi undi. Mereka tidak sedar bahawa mentadbir negeri memerlukan lebih dari sekadar personaliti yang disenangi.

Bagaimanapun, Laporan Audit yang dibentangkan baru-baru ini seharusnya membuka mata rakyat Kedah mengenai kesilapan mereka memberi kepercayaan kepada pihak yang salah atas sebab-sebab yang salah. Jelas dari laporan tersebut bahawa negeri Kedah berada dalam keadaan ‘kehilangan arah’ akibat Menteri Besarnya tidak punya kawalan dan pengetahuan atas apa yang berlaku.

Masalah MB Kedah tidak tahu apa-apa bukan masalah kecil sepertimana yang cuba digambarkan oleh PAS kepada rakyat Kedah. Kelemahan beliau telah mengakibatkan Kedah kerugian atas sebab-sebab yang tidak sepatutnya atau sepatutnya dapat dielakkan sejak dari awal.

Audit mendapati bahawa MB Kedah telah gagal mengenalpasti projek yang berisiko tinggi seperti perladangan di Papua New Guinea. Entah bagaimana, projek sebegitu besar boleh diteruskan dengan pinjaman berjumlah USD44 juta dari luar negara tanpa tandatangan Lembaga Pengarah. Pinjaman pula dibuat tanpa dokumen yang lengkap.

Begitu juga dengan projek 99 East Langkawi yang mengalami kerugian hanya kerana tidak menepati perjanjian tanpa sebab-sebab yang pasti.

Dan tidak perlulah disebut lagi tentang lantikan kontraktor yang tidak berdaftar sepertimana yang didedahkan secara meluas di dalam akhbar. Dari situ pula, terdedah kemudiannya amalan kronisme dan korupsi serta kelemahan yang ketara di semua peringkat pentadbiran yang terlibat.

MB yang kononnya Ulama ini juga gagal memastikan perihal agama dititikberatkan. Buktinya, Laporan Audit mendapati bahawa sijil halal negeri Kedah bagi tahun 2011 telah diberikan tanpa dikemukakan kepada jawatankuasa kerana jawatankuasa telah TIDAK PERNAH BERMESYUARAT. Sebaliknya semua kelulusan sijil halal dilakukan oleh YDP secara bersendirian atas alasan untuk kepentingan industry yang mana membangkitkan persoalan mengenai korupsi.

Semua yang berlaku ini amatlah mengejutkan kerana ia melangkaui kelemahan biasa dalam sejarah audit negeri.

Kedah bukannya negeri yang besar malah besar sedikit sahaja dari Perlis. Dari segi perindustrian juga Kedah masih jauh jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, Selangor atau Johor. Dengan hanya beberapa projek setahun tentunya aktiviti kewangan Kedah juga tidaklah begitu rancak. Dalam ertikata lain, tidak seharusnya seorang Menteri Besar terlepas pandang atau tidak sedar akan apa yang berlaku dalam negeri yang kecil ini.

Justeru, tidak ada alasan bagi Azizan untuk menafikan kelemahannya. Azizan juga tidak dapat lagi untuk meletakkan kesalahan ke atas bahu kerajaan terdahulu memandangkan projek-projek yang mengalami masalah yang ‘pelik-pelik’ ini adalah bermula ketika pemerintahannya.

Sudahlah projek yang ‘diluluskan’ tidak masuk akal, kerugian yang dialami pula diakibatkan oleh masalah yang tidak masuk akal juga. Di masa yang sama pula, Azizan langsung tidak mampu mencari projek yang benar-benar masuk akal yang amat diperlukan oleh Kedah dan rakyatnya. Contohnya, memelihara, memulihkan dan membina pusat-pusat pelancongan serta peninggalan sejarah. Sehingga kini, pusat pelancongan yang boleh dibanggakan oleh rakyat Kedah, hanyalah Langkawi, itupun dicetus dari pemikiran Tun Mahathir yang amat dibenci oleh PAS.

Kedah sebagai tamadun tertua seharusnya mampu menjadi pusat sejarah namun usaha untuk menggali dan mengorek serta mendokumenkan sejarah lama masih gagal dilakukan. Malang bagi Kedah kerana pemimpinnya hanya berminat untuk meraih undi tanpa memikirkan tanggungjawab sebenar mereka terhadap negeri tersebut. Sedangkan Kedah mampu mengatasi atau menyaingi Melaka dalam menjadi negeri bersejarah.

Ini belum lagi dikira masalah sampingan seperti KUIN atau KCS sendiri yang mana perasaan tidak puas hati di antara orang bawahan dengan orang atasan serta orang sekeliling berterusan tanpa apa-apa tindakan atau keputusan dari Azizan. Perebutan jawatan dalam pentadbiran Kedah juga dibiarkan berlarutan seolah-olah Azizan sudah buntu atau mungkin benar-benar tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku.

Kini, setelah segalanya terdedah dengan bukti audit, kita tidak tahu sama ada Azizan sengaja buat tak tahu atau benar-benar tidak tahu. Beliau tidak pula memberi jaminan siasatan atau penambahbaikan akan dilakukan ke atas pendedahan audit.

Tetapi, apa yang beliau tahu ialah menuding jari kepada pihak lain serta mengangkat bahu mengaku tidak tahu. Langsung beliau tidak malu menjadi MB yang serba tak tahu.

Maka tidak hairanlah bila ada yang bertanya “Apa yang Azizan buat di Kedah?” Maka jawapan rakyat Kedah ialah “Azizan buat tak tau”.

Anwar Restui Azmin Ganti Khalid di Selangor


Sepintas lalu memang tidak mengejutkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan Tan Sri Khalid Ibrahim akan bertanding sekali lagi bagi mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada PRU ke 13 nanti.

Sebelum inipun Ketua Umum PKR itu sudah mengumumkan Naib Presiden, PKR N. SurendraN, akan bertanding di Padang Serai manakala Pengarah Strategi, PKR, Rafizi Ramli akan bertanding di Pandan.

Kerusi Padang Serai kini disandang N.Gobalakrishnan yang keluar PKR pada 29 Januari 2011 manakala kerusi Pandan diwakili ahli parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Cuma jadi tanda tanya kenapa Anwar hanya mengumumkan Menteri Besar Selangor itu akan mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak tidak sekali dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok yang dimenangi Khalid pada 2008?

Apakah ini mesej Anwar bahawa Khalid hanya akan mempertahankan kerusi Bandar Tun Razak di Wilayah Persekutuan dan tidak dicalonkan semula di DUN Ijok?

Menariknya, pengumuman Ketua Pembangkang itu yang juga penasihat ekonomi Selangor dibuat beberapa hari selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh mencadangkan wakil rakyat parti itu bertanding satu kerusi saja pada pilihan raya akan datang.

Namun, beliau berkata dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CEC), parti itu bersetuju bahawa hanya dalam kes "terkecuali", seseorang anggota parti itu dibenar menyandang dua kerusi iaitu kerusi DUN dan parlimen.

Karpal juga berpendapat Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng boleh dianggap sebagai antara kes terkecuali itu.

Lim kini wakil rakyat bagi kerusi parlimen Bagan dan DUN Air Putih.

Sepatutnya, Anwar boleh mengikuti cara Karpal bagi memastikan Khalid bukan sahaja kekal bertanding di Bandar Tun Razak tetapi di Ijok supaya Khalid kekal sebagai Menteri Besar sekiranya pembangkang kekal memenangi Selangor pada PRU ke 13.

Apabila beliau tidak berbuat demikian, timbul tanda tanya, apakah tindakan Anwar itu sebagai mesej awal kepada Khalid, yang disifatkan Anwar sebagai Menteri Besar paling ‘cemerlang’ bahawa Khalid tidak akan bertanding di Selangor lagi.

Apakah ini juga bermakna Anwar awal-awal lagi menghantar signal supaya timbalan presiden parti, Azmin Ali bakal menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar?

Lagipun sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pernah mengeluarkan pendapat bersetuju Khalid dipindahkan ke pentadbiran kerajaan pusat sekiranya pembangkang PRU ke13.

Beliau menyifatkan sebagai seorang yang berpengalaman luas dan sememangnya layak mentadbir di peringkat persekutuan.

Pandangan Shuhaimi dilihat selari dengan pendapat Azmin sebelum ini, yang menyatakan bahawa Abdul Khalid berkemungkinan akan ditukar ke peringkat pusat selepas PRU13.

Selain itu, sudah diketahui umum bahawa Azmin dikatakan sudah memasang angan-angan menggantikan Khalid sebagai menteri besar malah sudah mengambil alih jawatan pengerusi PKR Selangor daripada Khalid.

Dalam pada itu, pengumuman demi pengumuman bakal calon PKR dalam PRU ke 13 hanya mengesahkan Anwar berkuasa penuh dalam parti itu bukannya Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Walaupun sebagai Presiden PKR, Wan Azizah masih membisu mengenai calon-calon parti itu kecuali hanya mengumumkan beliau akan bertanding kerusi DUN di Pulau Pinang pada PRU nanti.

Wan Azizah mungkin tidak kisah suaminya itu mengumumkan nama-nama calon mewakili parti tetapi dalam isu membabitkan Khalid, pastinya Wan Azizah tidak senang duduk jika Anwar berkeras hanya mahu Khalid bertanding di Bandar Tun Razak sahaja.

Ini kerana Khalid dilihat rapat dengan Wan Azizah yang diketahui amat tidak menyenangi Azmin.

Namun, dengan mengumumkan Khalid kekal bertanding di Bandar Tun Razak dan ‘membisu’ pasal kerusi DUN Ijok atau DUN lain di Selangor, Anwar sudahpun membuka jalan kepada Azmin memburu cita-citanya sebagai Menteri Besar di negeri itu. -Agendadaily

Monday, October 29, 2012

Video KJ Bidas Kerajaan Selangor Yang Hipokrit!




Vedio Sidang Dewan Rakyat- Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menyifatkan kerajaan negeri Selangor hipokrit kerana membangkitkan isu penjana tenaga bebas (IPP) dan tol lebuh raya, tetapi pada masa sama mereka mempunyai kepentingan dalam syarikat terlibat dalam kedua-dua aktiviti itu.

Sidang Akhbar Musa Hassan Rekaan Pakatan Rakyat


Ramai rakyat Malaysia sebenarnya sudah maklum, hakikatnya Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT) yang dikaitkan dengan sidang akhbar oleh bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan sebenarnya pernah dijadikan lokasi oleh SUARAM semasa mereka mengadakan sidang akhbar berkenaan isu kapal selam scorpene.

Jadi, tidaklah menghairankan apabila tiba-tiba sahaja FCCT sekali lagi dimanipulasi oleh SUARAM dan pakatan pembangkang untuk mencemar nama bekas KPN itu dalam usaha mereka meneruskan kisah propaganda berkaitan Altantuya.

Di FCCT, siapa sahaja boleh menempah ruang bagi mengadakan sidang akhbar berkenaan pelbagai isu, dan bagi SUARAM selaku NGO pro PR yang sudah biasa memanfaatkannya untuk mencapai agenda pembangkang, perkara sebegini tidaklah sukar untuk dilakukan.

Seboleh mungkin pakatan pembangkang dan NGOnya mahu kisah-kisah berkaitan Altantuya terus berkumandang setidak-tidaknya sehingga PRU 13 berakhir, dengan itu watak baru diperlukan untuk terus mensensasikan kisah rekaan tersebut.

Sehari dua sebelum itu, Musa telah menarik samannya terhadap Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim berhubung isu tuduhan kononnya beliau terlibat dalam konpsirasi mereka-reka bukti terhadap Anwar.

Walhal tiada pun sebarang bukti yang sengaja direka malah saman tersebut ditarik balik oleh bekas KPN itu hanya selepas Anwar menghantar wakilnya menyarankan supaya kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah.

"Saya difahamkan ada salah faham pada peranan saya dalam kes ini, oleh pihak defenden, dan saya terima untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah seperti yang dicadangkan defendan," demikian kata Musa ketika ditanya oleh wartawan sebab kenapa saman tersebut ditarik semula.

Anwar pantas mengambil kesempatan dari penarikan semula saman tersebutg dengan menggambarkan dirinya berada di pihak yang betul walau hakikatnya cadangan penyelesaian luar mahkamah datang dari pihaknya.

Selepas itu tiba-tiba sahaja laman web FCCT memaparkan jemputan ke sidang media oleh bekas KPN itu konon adanya 'Pendedahan Baru Dalam Kes pembunuhan Altantuya'.

Portal pro pembangkang menjadi pihak pertama yang menyiarkan berita mengenainya (selepas geng sendiri membuat jemputan terbuka), kemudian bila Musa menyedari namanya disalah guna dan segera menafikannya, media itu jugalah yang menyiarkan berita FCCT dibatalkan.

Bagi kita yang celik akal, sidang media rekaan Pakatan Rakyat itu sebenarnya agak melucukan. Tapi bagi penyokong totok pembangkang mereka melihatnya satu kemenangan moral tanpa sedikit pun menyedari bahawa mereka sedang dipermainkan oleh pemimpin sendiri.

Jelas sekali pembangkang bijak mengambil peluang untuk memanipulasi nama Musa demi kepentingan politik jijik gaya baru mereka. Makin dekat musim pilihanraya kelak, tentu akan lebih banyak kisah karut marut akan keluar.

Itu sahaja yang termampu mereka lakukan, nak mengharapkan kerja buat dan jasa bakti untuk rakyat, tak tercapai dek akal dan kemampuan mereka disebabkan perjuangan para pemimpin PR fokusnya hanya untuk kepentingan sendiri sahaja.

Pun demikian, PR dan jentera propagandanya memang diakui hebat dalam bab mengadu domba, namun kehebatan itu tidaklah mampu menutup kebenaran hakiki untuk selamanya. Mereka boleh menipu segelintir orang namun tidak akan mampu menipu semua orang.

KJ Mahu Pakatan Rakyat Berpolitik Secara Matang, Terima Kelemahan Yang Ada!


Petikan dari http://rembau.com.my

Satu lagi contoh kelemahan pentadbiran Pakatan Rakyat didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara. Ini kes yang melibatkan kerajaan negeri Kelantan.

Ringkasan ceritanya: Kerajaan Kelantan dan syarikat Liziz Stanco Sdn Bhd telah memeterai perjanjian untuk membangunkan kawasan Lembah Sireh di tebing Sungai Kelantan pada 2002. Dalam perjanjian tersebut, LIziz Stanco Sdn Bhd perlu membayar Kerajaan Kelantan RM390 juta dalam bentuk wang tunai, tanah dan juga prasarana seperti jambatan dan masjid untuk memiliki 404 hektar tanah di Lembah Sireh.

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa walaupun 290 hektar tanah berkenaan sudah pun diberi kepada Liziz Stanco Sdn Bhd, syarikat tersebut hanya dapat membayar Kerajaan Kelantan RM45.68 juta daripada apa yang dijanji setelah hampir 10 tahun kontrak asal dimeterai. RM343.41 juta masih tidak dijelaskan oleh Liziz Stanco Sdn Bhd.

Kesimpulannya, sebahagian besar tanah sudah diberi tanpa Kerajaan Kelantan menerima bayaran sepertimana yang dijanji.

Banyangkan kalau kes ini melibatkan Kerajaan Persekutuaan. Sudah pasti macam-macam tuduhan dan andaian akan keluar. Tetapi bila kena pada batang hidung mereka sendiri, mereka sepi seribu bahasa. Hujah yang dikeluarkan amat mengecewakan: “BN lagi teruk” “Korupsi BN lebih besar”.

Adakah kesilapan dan dosa orang lain (kalau pun ada) menghalalkan kesilapan kita sendiri? Saya rasa tidak. Politik yang matang menuntut agar Kerajaan Kelantan mengaku kelemahan yang ada, terima siasatan dari pihak SPRM dan tidak menggunakan alasan “musuh saya lebih teruk” untuk cuba menjawab skandal besar ini.

Pemuda UMNO, NGO Buat Laporan SPRM Berhubung Lembah Sireh

KOTA BAHARU, 29 Okt – Pemuda UMNO Kelantan dan Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) hari ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu Lembah Sireh yang mahu siasatan menyeluruh dilakukan.

Seramai 50 orang diketuai Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian membuat laporan itu di pejabat SPRM di sini hari ini pada 12 tengah hari dengan turut membawa pelbagai sepanduk berhubung isu Lembah Sireh itu.

Anuar ketika ditemui sebelum itu berkata mereka menyifatkan isu Lembah Sireh sebagai satu skandal terbesar membabitkan kerajaan Kelantan yang perlu kepada satu siasatan yang akhirnya perlu didedahkan kepada rakyat.

“Kami memohon pihak SPRM dapat menyiasat perkara ini seandainya berlaku salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah terancang di pihak kerajaan Kelantan kerana ini melibatkan kepentingan umum rakyat negeri ini kerana tanah tersebut telah pun dipindah milik sebelum perjanjian sebenar dilaksanakan.

“Kami memohon agar pihak SPRM dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi selepas menyiasat projek ini agar rakyat Kelantan dapat mengetahui kedudukan sebenar,” katanya.

Beliau juga berkata pihaknya juga meminta SPRM dapat menyiasat kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di mana kerajaan negeri hanya menerima bayaran sebanyak RM7,357,883 daripada pihak pemaju sejak projek tersebut dilaksanakan.

Isu projek Lembah Sireh melibatkan pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan itu mula menjadi persoalan selepas didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 baru-baru ini apabila pihak syarikat yang memajukan projek itu belum melaksanakan komponen projek fizikal yang dijanjikan.

Di bawah projek bernilai kira-kira RM2 bilion dan melibatkan kawasan seluas 400 hektar secara pajakan selama 99 tahun itu, kerajaan Kelantan bakal mendapat imbuhan daripada pemaju termasuk projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan di Kampung Cina yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM350 juta.

Isu itu juga turut mendapat perhatian pembangkang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dan kerajaan negeri menjelaskan ia akan berbincang dengan syarikat swasta yang melaksanakan projek berkenaan setelah pelaksanaannya tidak memuaskan sehingga ditegur dalam laporan itu.

Ahmad ketika menjawab dilaporkan berkata kerajaan negeri menyedari bahawa projek tersebut tidak menepati masa pelaksanaan dan tidak memberi pulangan sebagaimana yang dirancangkan.

-umno-online.my