Monday, December 1, 2008

Soi Lek dituntut minta maaf

Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) hari ini menuntut Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek supaya memohon maaf kepada orang Melayu berhubung ucapannya yang menyentuh tentang ketuanan Melayu minggu lalu, yang didakwa berbaur hasutan.

Dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya pada 27 November lalu, Dr Chua berkata, konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah dan slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi.

Dr Chua dilaporkan berkata: "Kita menerima kepimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu."

Teks ucapannya itu dimuatkan dalam laman blog milik Dr Chua - http://drchua9.blogspot.com.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili GGMM) telah menyerahkan notis tuntutan guaman kepada Dr Chua di ibupejabat MCA petang tadi.

Beliau datang bersama enam wakil GMM. Turut kelihatan enam anggota polis berada di situ.

Dalam notis tersebut, GMM mendakwa kenyataan Dr Chua itu berbaur hasutan untuk membenci orang Melayu.

Notis tersebut diterima oleh wakil Dr Chua yang juga setiausaha kepada ketua pentadbir ibupejabat MCA, Yap Chin Chin.

Dalam notis tersebut, GGMM menuntut Dr Chua memohon maaf melalui laman blognya dalam tempoh 24 jam dari tarikh penerimaan notis tersebut petang ini.

Bagaimanapun, kata GGMM dalam notis tersebut, draf permohonan maaf itu hendaklah diluluskan terlebih dahulu oleh pihaknya sebelum disiarkan.

GMM juga menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM2 juta yang akan didermakan sepenuhnya kepada agensi amanah untuk bangsa Melayu/Islam.

Menurutnya, Dr Chua mengabaikan notis tuntutan tersebut, GGMM akan memfailkan saman terhadap timbalan presiden MCA itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

GGMM juga, tambah notis tersebut, akan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dr Chua daripada terus menghina orang Melayu.

Sumber Malaysiakini

Zaid wajar dihukum -Subang desak pecat


Rumah terbuka Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru pada 12 Oktober 2008

Lembaga Disiplin UMNO wajar menghukum bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang hadir pada perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam, Selangor semalam. Perbuatan beliau tersebut jelas melanggar etika parti dan bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).

Sementara itu Pemuda UMNO Bahagian Subang mendesak agar pucuk pimpinan UMNO supaya memecat keahlian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada parti kerana hadir pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor semalam.

Ketuanya, Harrison Hassan berkata, setelah apa yang dilakukan Zaid, UMNO tidak perlu berbincang mahupun memberikan beliau pilihan.

‘‘Ini adalah kerana beliau sendiri telah membuktikan tidak setia kepada parti. Ini bukanlah insiden pertama yang mana beliau membelakangkan parti dan menghiris perasaan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu.

‘‘Pemuda UMNO Bahagian Subang merasa marah dan kecewa dengan tindakan beliau yang dengan senang bersekongkol bersama parti pembangkang, sedangkan kami di akar umbi telah sekian lama berjuang dalam merapatkan barisan serta memperkukuhkan parti,’’ kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Harrison berkata, Pemuda UMNO Bahagian Subang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zaid yang menyertai program dan majlis anjuran parti pembangkang.

‘‘Selain menghadiri majlis perasmian kongres PKR, beliau turut menghadiri majlis kemenangan rakyat Pulau Pinang anjuran parti DAP sebelum ini.

‘‘Kenyataan Zaid dalam Mingguan Malaysia hari ini yang beliau mengakui masih menjadi ahli UMNO dan tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang pada masa akan datang, harus ditangani oleh pucuk pimpinan dengan serta-merta,’’ katanya.

Sunday, November 30, 2008

Drama tebusan di Mumbai berakhir

SERBUAN TERAKHIR... Sebahagian Hotel Taj Mahal di Mumbai terbakar akibat berbalas tembak dan letupan ketika serbuan oleh anggota komando India bagi membebaskan tebusan yang ditahan oleh pengganas di hotel itu, semalam.

MUMBAI 29 Nov. - Pasukan komando India hari ini berjaya menumpaskan kumpulan militan yang menawan hotel Taj Mahal Palace, di sini, selepas berlaku pertempuran sengit dengan kumpulan berkenaan.

Pertempuran itu berakhir pada kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) selepas baki tiga anggota militan itu terbunuh di dalam hotel itu, kira-kira 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan dan melakukan serangan di sembilan lokasi strategik lain di bandar raya ini sejak hari Rabu.

Pasukan komando berjaya menyelamatkan seramai 610 orang dari dua hotel mewah dan sebuah pusat Yahudi di Mumbai, yang ditawan militan.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, M.L. Kumawat berkata, pasukan elit itu berjaya membawa keluar 300 orang dari Hotel Taj Mahal.

Sementara itu, 250 orang diselamatkan di Hotel Triden Oberoi dan 12 keluarga terdiri daripada 60 orang dibawa keluar dari pusat Yahudi.

Semalam dua anggota kumpulan militan itu terbunuh di dalam hotel itu.

Setakat ini, 12 anggota militan terbunuh dalam misi menyelamat itu, manakala di pihak pasukan keselamatan India, 2 anggota komando terbunuh dalam serbuan yang dimulakan semalam.

Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu sejak petang Rabu.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.

"Kami tidak boleh lagi mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam (hotel) dan penembak tepat kami sedang melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.

"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata Ketua Pengarah Pengawal Keselamatan Keangsaan (NSG), JK Dutt kepada media selepas tamat operasi itu, hari ini.

Beliau berkata, komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.

Pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.

Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir serbuan, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya.

Hotel itu mengalami kerosakan teruk.

Seramai 195 orang terkorban dalam serangan oleh kumpulan militan di Mumbai pada petang Rabu lalu termasuk 22 warga asing, manakala hampir 295 yang lain cedera.

- Agensi

Saturday, November 29, 2008

Serah pada budibicara PM tentukan kedudukan : KJ

Seremban – Naib Ketua Pemuda UMNO , Khairy Jamalludin berpendapat keputusan sama ada Ketua Pemuda UMNO diletakkan ke dalam pentabiran kerajaan adalah mengikut budibicara Perdana Menteri (PM) ketika itu.

Oleh itu, katanya, tidak timbul soal sama ada seseorang calon yang bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda perlu meletakkan syarat sama ada mahu dilantik atau tidak dalam Kabinet.

”Saya rasa, ini bukan tempat kita untuk meletakkan syarat nak dilantik didalam Kabinet dan sebagainya. Itu hak mutlak PM. Insya-Allah, apa-bila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan PM Mac nanti, beliau sendiri akan tentukan dan bukan tempat kita mahu tentukan.

”Lagipun, kita hanya baru jadi calon dan belum tentu jadi Ketua Pemuda lagi. Tak payahlah nak letak syarat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan serta sesi dialog dengan penduduk Kampung Sentosa Jaya, dekat paroi, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendiriannya jika menang jawatan Ketua Pemuda serta ditawarkan menjadi angota cabinet.

Sebelum ini, dua calon Ketua Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohamad Khir Toyo menyatakan pendirian tidak mahu jawatan Kabinet jika menjadi Ketua Pemuda.

Mukhriz memberi alas an mahu menumpukan usaha memperkukuhkan Pemuda dalam menangani pelbagai isu termasuk mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO, manakala Mohamad Khir pula dilaporkan berkata, keputusannya itu disebabkan jawatan dalam Kabinet akan mewujudkan banyak halangan dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Pemuda.

Sementara itu Khairy berkata, sekiranya PM merasakan perlunya perkhidmatan Ketua Pemuda UMNO sebagai angota pentabiran, dalam apa sekalipun, penyandang jawatan itu perlu menurutinya.

”Kalau PM pada waktu itu rasa mungkin tidak ada tempat untuk Ketua Pemuda, kita kena terima juga. Sekarang, bukan tempat kita untuk kata ‘Saya nak terima atau tidak’. Itu sepatutnya tak menjadi isu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada keenganan dua calon Ketua Pemuda itu dilantik ke dalam kabinet sebagai strategi untuk meraih undi pada pemilihan nanti, Khairy berkata, beliau enggan member i alasan andaian dangan alasan tidak adil untuk mengulas visi serta misi calon lain yang layak bertanding.

Menurutnya, sepanjang pengalamannya selama lapan tahun dalam barisan kepimpinan Pemuda, beliau tidak pernah berdepan masaalah menjalankan tugas dalam Pemuda dan Kabinet.

”Isu sama ada Ketua Pemuda perlu memengan jawatan Kabinet sebenatnya berganyung kepada pemimpin itu sendiri berdasarkan cara mana nak menguruskan masa terbaik.

“Kalau kita nak ‘check and balance’ tetapi berada diluar kerajaan, kita mungkin tak dapat membawa suara Pemuda kepada pentabiran (kerajaan) dengan baik. Kalau ada dalam pentabiran, suara Pemuda dapat disampaikan kepada platform paling tepat katanya.

Sumber Sinar Harian

RESOLUSI SIDANG 29 NOVEMBER 2008

TAJUK UTAMA : RESOLUSI SIDANG 29 NOVEMBER 2008

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, semakin ramai yang berani dan bersemangat menyertai Parlimen Blogger Pembela Negara yang kini samada yang lama dan baru berjumlah 55 laman blog keseluruhannya. Kesungguhan dan sokongan ini yang kami mahukan agar semua umat islam dan melayu dapat sama-sama berkumpul dan berbincang bersama mengutarakan pendapat dan berbicara mengenai hal ehwal semasa samada dari pihak kerajaan dan juga pembangkang. Dewan BPN juga telahpun diganggu oleh beberapa orang yang tidak bertanggungjawab membuat kacau dengan menyamar sebagai seorang bukan melayu, seorang gay dan seorang pejuang pro pakatan rakyat. Kira-kira 50% ahli BPN malam semalam, 29 November 2008 bersama berkumpul di dewan persidangan maya di laman pena picisan telah membincangkan isu tindakan Timbalan Presiden MCA, iaitu Chua Soi Lek yang membuat kenyataan berbaur perkauman apabila menafikan hak ketuanan melayu. Kepada rakan-rakan BPN, sila maklumkan che moq jika terdapat maklumat atau info yang tidak dinyatakan semasa perbincangan di sini.

Justeru, kami dengan sebulat suara berbincang mengusulkan :1. Kenyataan Chua Soi Lek menentang ketuanan melayu adalah demi populariti dan juga cuba menjadi seorang lagi jaguh masyarakat cina. Kenyataan Chua juga seperti mempunyai agenda tersembunyi mengkaburkan isu skandal seksnya bagi mempromosikan dirinya kembali ke pintu kabinet sebagai menteri setelah menang mengejut di dalam pilihanraya parti lalu. Ianya bukanlah kenyataan yang bernas dan bijak kerana di dalam situasi keadaan politik yang tegang, tidak seharusnya Chua menambahkan lagi bahang suasana demi tujuan politik peribadi dan populariti. MCA seharusnya memberikan nasihat dan hukuman di atas kenyataan Chua yang berbaur perkauman.

2. Semua pemimpin dan menteri kabinet bukan melayu seharusnya tidak menentang keistimewaan dan ketuanan melayu di bumi Malaysia kerana sebagai 'role model' dan ikutan teladan kepada pengikut-pengikut, perlunya mereka memahami dan menuruti untuk mendukung perlembagaan Malaysia sepenuhnya demi menjamin kestabilan politik semasa.

3. Perlunya menteri-menteri, exco-exco, pemimpin-pemimpin dan juga pegawai tertinggi tidak kira samada dari parti-parti kerajaan (UMNO) mahupun parti-parti pembangkang (PKR&PAS) untuk bersatu teguh bersama dan sepakat dengan lebih berani bersuara mengenai campurtangan hal ehwal agama Islam dan juga campurtangan mengenai hak dan keistimewaan melayu. Tindakan YB Zulkifli Nordin (PKR-Kulim-Bandar Bharu) bersuara dan menegur semua jemaah YB kerajaan dan pembangkang di sidang Parlimen Malaysia suatu ketika dulu amat terpuji dan berani kerana katanya mengenai agama yang perlu diutamakan seterusnya barulah berfikir mengenai parti adalah tepat.

4. Oleh kerana islam dan melayu adalah kelompok agama dan bangsa utama dan terbesar di Malaysia, seharusnya kita bersatu dan bukan berpecah belah sehingga memberi kelebihan kepada bukan bumiputera mempertikaikan hak-hak kita. Kerjasama kepimpinan akar umbi, pemuda dan wanita bagi kesemua parti dari kerajaan dan pembangkang perlulah diwujudkan bagi menghasilkan satu ikatan teguh dan berani bertindak membela dan memperjuangkan hal ehwal agama islam dan hak ketuanan melayu yang semakin dinafikan bukan islam. Kerjasama ini walaupun agak sukar diadakan, cukuplah sekadar tidak rasmi bersuara searah kearah mempertahankan hak agama islam dan bumiputera.

5. Sepatutnya orang bukan melayu lah yang sepatutnya memperingati dan perlu jelas dengan kontrak sosial kerana ianya telah memberikan peluang kepada nenek moyang mereka untuk menjadi warga Malaysia suatu ketika dahulu yang datang merantau di bumi tanah melayu mencari rezeki. Orang Melayu tidak untung apa-apa dengan perjanjian itu kerana sebahagian hak-hak melayu sebagai penduduk asal tanah melayu telah pun dilepaskan demi kesejahteraan bersama.

6. Kerajaan perlu bertegas kembalikan semula fungsi sistem sekolah wawasan di tahap WAJIB yang mana sebelum ini sekolah wawasan dikatakan kurang mendapat galakan kaum bukan melayu. Ianya perlu selepas kita melihat kegagalan sistem yang ada untuk menyatukan semua bangsa. Apatah lagi selepas generasi baru sudah tidak memahami asal kontrak sosial dan juga kemerdekaan negara yang bertunjangkan ketuanan Melayu Islam sejak zaman berzaman.

7. Perlunya setiap ahli BPN untuk menyiarkan resolusi ini bagi memastikan maklumat ini tersebar dan tiada lagi unsur sabotaj di dalam kontrak sosial oleh bukan melayu yang mahu menjadi ultra dan jaguh menuntut hak yang menjadi perkara muktamat di Malaysia.

Ahli-ahli Blogger Pembela Negara akan menyiarkan resolusi ini di setiap laman blog masing-masing bagi menarik perhatian orang ramai dan pengunjung untuk turut serta memperjuangkan perkara yang telah diperbincangkan di konferensi sidang pada 28 November 2008.Kerjasama para ahli BPN amat diharapkan demi merealisasikan suara kita tersebar kepada rakyat.

Kami percaya apabila usaha ini dibuat secara kolektif dan bersepadu, pihak kerajaan akan terpanggil untuk melaksanakannya. Perbincangan selanjutnya akan dibincangkan dari semasa ke semasa untuk melahirkan satu suara yang relevan lagi bermanfaat bagi semua rakyat Malaysia.

Oleh itu, adalah diharap pihak-pihak yang terlibat segera mengambil tindakan sewajarnya. Semoga perjuangan kita dapat melahirkan suasana masyarakat majmuk yang lebih erat dan harmoni.

Sekian terima kasih dari saya.

Che Moq a.k.a

Setiausaha I BPN