Saturday, June 5, 2010

Kapal Rachel Corrie dipintas!!




Kapal Rachel Corrie dipintas 3 kpl perang tentera laut Israel, sistem radar komunikasi disekat, telefon satelit terputus!!! Kapal Rachel Corrie akan 'dipaksa' berlabuh di Ashdod, Israel - Nasser Najjar, wakil TV3 di Gaza City!

KJ: Utamakan Palestin dalam dasar luar [+Video]




Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendesak kerajaan supaya memberi keutamaan kepada rakyat Palestin dalam merangka dasar luar negara kerana sudah lama rakyat negara itu ditindas.

"Saya mendesak kerajaan supaya perkara ini menjadi keutamaan dalam dasar luar dalam jangka masa pendek atau panjang sehingga ada jalan penyelesaian bagi rakyat Palestin.

"Sudah lama kita bersabar. Sudah lama rakyat Palestin ditindas," katanya dengan bersemangat.

Malah, tambahnya, bukan sahaja rakyat Palestin yang menjadi mangsa, tetapi aktivis yang ingin menghulurkan bantuan turut terheret sama.

"Sekiranya perkara ini berterusan dan tiada perubahan, kami pemuda BN, dan semua (pergerakan) Pemuda tidak kira kecenderungan politik, sanggup pergi untuk membantu di Gaza.

"Jika sekarang hanya tujuh hingga lapan kapal sahaja yang dihantar, mungkin kerajaan Malaysia boleh menghantar sehingga 20 kapal untuk pergi (memberi bantuan kepada Palestin) selepas ini.

"Dan kita sanggup pergi bersama," katanya kepada pemberita selepas mengetuai demonstrasi anti-Israel di Masjid Negara petang ini.

Turut hadir pada perhimpunan tersebut beberapa NGO, antaranya AMAN MALAYSIA, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Sementara itu, ditanya kenapa pihaknya tidak menyertai demonstrasi anjuran Pakatan Rakyat di Masjid Kampung Baru, Khairy berkata, mereka tidak menyertainya kerana ia kelihatan seolah-olah demonstrasi Pakatan semata-mata.

"Jadi saya rasa biarlah mereka menjalankan protes mereka. Kita (saling) setuju, dan tidak salah jika tujuan mereka untuk mengutuk Israel. Jadi kita buat kita punya protes. Lebih banyak lagi bagus," jelasnya.

Sementara itu, AMAN MALAYSIA dalam kenyataannya yang diedarkan dalam perhimpunan tadi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pemuda Umno bagi melancarkan kempen 'SMS Untuk Gaza'.

Menurut kenyataan dua halaman itu, kempen itu bagi memudahkan orang ramai menderma kepada rakyat Palestin melalui SMS.

SMS boleh dihantar dengan taip 'GAZA' dan hantarkan ke 32928. Ia akan dicaj sebanyak 50 sen.

KJ: Terima kasih... tapi jangan komen lagi




Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa penyokongnya dalam pergerakan tersebut supaya berhenti mengulas mengenai beliau tidak dilantik menganggotai kabinet dalam rombakan terbaru kelmarin dan sebaliknya meminta mereka memberi tumpuan kepada tugas masing-masing.

"Terima kasih kerana menunjukkan sokongan tetapi jalankan tugas masing-masing dan jangan terpesong dengan hal ini," kata Khairy.

"Saya berharap setiap orang menghormati visi perdana menteri berkaitan dengan perubahan kabinet dan saya tidak mahu mendengar sebarang komen dari pemimpin Pemuda Umno (mengenainya)," tambahnya.

Khairy menegaskan demikian sebagai mengulas komen beberapa pemimpin Pemuda Umno negeri yang menyatakan kecewa apabila pemimpin mereka itu sekali lagi tidak dilantik menganggotai kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib memecah tradisi Barisan Nasional (BN) apabila tidak melantik ketua Pemuda Umno yang juga merupakan pengerusi Pemuda BN, menganggotai kabinet.

Sebaliknya, Najib melantik timbalan Khairy - Datuk Razali Ibrahim - dan Datuk Mukhriz Mahathir, yang tidak mempunyai jawatan dalam pergerakan itu, sebagai timbalan menteri.

KJ tidak kecewa

Khairy berkata, beliau tidak merestui pandangan para penyokongnya itu, sambil menambah bahawa mereka telah tersasar kerana perdana menteri mempunyai hak budibicara untuk memilih anggota kabinetnya.

"Tentu saja satu atau dua daripada (pemimpin negeri) berkenaan membuat komen atas keyakinan mereka sendiri, jadi tiada apa yang boleh saya lakukan," katanya.

Khairy juga menolak pandangan beberapa pemimpin Pemuda Umno negeri bahawa ketiadaannya dalam kabinet menjejaskan moral pergerakan tersebut.

"Ini hanya akan berlaku sekiranya anda membiarkannya berlaku, dengan memperbesar-besarkannya. Rakyat menyokong kita kerana apa yang kita lakukan, bukannya sama ada kita memegang jawatan dalam kerajaan, "katanya.

Oleh itu, katanya, beliau tidak merasa kecewa kerana 'sekali lagi ketinggalan kapal' tetapi akan meneruskan tugas-tugasnya.

"Saya tidak mengharapkan apa-apa, saya cukup jelas tentang apa yang saya perlu lakukan dan bukan tentang mendapatkan jawatan kabinet," katanya.