Saturday, June 5, 2010

KJ: Utamakan Palestin dalam dasar luar [+Video]




Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendesak kerajaan supaya memberi keutamaan kepada rakyat Palestin dalam merangka dasar luar negara kerana sudah lama rakyat negara itu ditindas.

"Saya mendesak kerajaan supaya perkara ini menjadi keutamaan dalam dasar luar dalam jangka masa pendek atau panjang sehingga ada jalan penyelesaian bagi rakyat Palestin.

"Sudah lama kita bersabar. Sudah lama rakyat Palestin ditindas," katanya dengan bersemangat.

Malah, tambahnya, bukan sahaja rakyat Palestin yang menjadi mangsa, tetapi aktivis yang ingin menghulurkan bantuan turut terheret sama.

"Sekiranya perkara ini berterusan dan tiada perubahan, kami pemuda BN, dan semua (pergerakan) Pemuda tidak kira kecenderungan politik, sanggup pergi untuk membantu di Gaza.

"Jika sekarang hanya tujuh hingga lapan kapal sahaja yang dihantar, mungkin kerajaan Malaysia boleh menghantar sehingga 20 kapal untuk pergi (memberi bantuan kepada Palestin) selepas ini.

"Dan kita sanggup pergi bersama," katanya kepada pemberita selepas mengetuai demonstrasi anti-Israel di Masjid Negara petang ini.

Turut hadir pada perhimpunan tersebut beberapa NGO, antaranya AMAN MALAYSIA, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Sementara itu, ditanya kenapa pihaknya tidak menyertai demonstrasi anjuran Pakatan Rakyat di Masjid Kampung Baru, Khairy berkata, mereka tidak menyertainya kerana ia kelihatan seolah-olah demonstrasi Pakatan semata-mata.

"Jadi saya rasa biarlah mereka menjalankan protes mereka. Kita (saling) setuju, dan tidak salah jika tujuan mereka untuk mengutuk Israel. Jadi kita buat kita punya protes. Lebih banyak lagi bagus," jelasnya.

Sementara itu, AMAN MALAYSIA dalam kenyataannya yang diedarkan dalam perhimpunan tadi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pemuda Umno bagi melancarkan kempen 'SMS Untuk Gaza'.

Menurut kenyataan dua halaman itu, kempen itu bagi memudahkan orang ramai menderma kepada rakyat Palestin melalui SMS.

SMS boleh dihantar dengan taip 'GAZA' dan hantarkan ke 32928. Ia akan dicaj sebanyak 50 sen.

No comments: