Monday, July 26, 2010

Kerajaan Selangor taburkan RM15 juta untuk membuat fitnah, rakyat Selangor terus diabaikan!

Oleh: Bro Jinggo

Tindakan Kerajaan Selangor memperuntukkan RM15 juta untuk program penerangan, menunjukkan ianya seperti 'cacing kepanasan'!! Pengumuman Khalid yang akan menyediakan sejumlah kewangan besar berjumlah RM15 juta untuk memperkuatkan media internet dan cetak tajaannya semata-mata bagi menangkis dan lawan media BN adalah sesuatu kerja gila.

Dari mana datangnya sumber dana berjumlah RM15 juta diperoleh, adakah dari hasil penjualan pasir yang sedang berleluasa sekarang ini atau daripada judi haram yang banyak terdapat di Selangor.



Sepatutnya Khalid mengutamakan keperluan rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka menerajui negeri termasuk mengurustadbir kepentingan masyarakat tempatan seperti isu bekalan air yang akan menjadi masalah besar penduduk negeri Selangor menjelang 2013.

Apa yang dilakukan oleh Khalid ini adalah satu lagi bukti kepincangan pentadbiran pakatan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai hasrat dan matlamat mereka sendiri.



Selangor habis tanah dikorek dan pasir disedut, mereka mahu taburkan duit untuk membuat fitnah, provokasi dan propaganda yang memburuk-burukkan kerajaan sedangkan bukankah lebih baik jika ia dibelanjakan bagi membantu masyarakat dan penduduk tempatan.

Sokongan Ahli Politik Dalam Permohonan Kepada Kerajaan

Dari Meja Ketua Pemuda UMNO

Kita dimaklumkan hari ini, kakitangan awam kini diarahkan melaporkan sebarang kes di mana ahli politik cuba mempengaruhi pemberian kontrak Kerajaan melalui surat sokongan mahupun secara lisan.

Pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Y.Bhg Tan Sri Sidek Hassan baru-baru ini menegaskan bahawa sebarang keputusan dalam hal pemberian kontrak Kerajaan - baik Kementerian, agensi mahupun jabatan - perlu berdasarkan merit dan kelayakan sesuatu permohonan, bukan sebarang hubungan politik.

Pada dasarnya saya menyokong sepenuhnya usaha membanteras penyalahgunaan kuasa serta mengutamakan merit dan keperluan dalam apa jua permohonan kepada Kerajaan.

Kita sedia maklum pada masa lalu memang wujud kes-kes di mana pemohon-pemohon yang mempunyai hubungan politik diberi kontrak Kerajaan atas dasar sokongan dari ahli politik. Saya juga bersetuju dengan Presiden Cuepacs Omar Osman bahawa fenomena ini adalah tidak adil bagi pemohon-pemohon lain yang tidak mempunyai 'kabel' hubungan politik ini.

Namun, berdasarkan pengalaman selaku seorang wakil rakyat, saya juga menyedari bahawa bukan semua yang datang meminta surat sokongan adalah mereka yang tidak layak dibantu jauh sekali bergantung harap kepada sokongan dari ahli politik semata-mata.

Malah, terdapat beberapa kes di mana pemohon yang ternyata berkelayakan terpaksa datang meminta sokongan saya selaku wakil mereka di Rembau kerana permohonan mereka gagal atas sebab-sebab kelemahan birokrasi.

Mereka ini bukanlah kenalan saya jauh sekali mempunyai hubungan politik dengan saya. Mereka berkesempatan berjumpa saya sewaktu saya berada di Pusat Khidmat Masyarakat Rembau. Maka, adalah tidak benar sekiranya kita mengatakan bahawa setiap daripada surat sokongan yang ditulis seorang ahli politik adalah 'salah guna kuasa' untuk kenalan-kenalan politiknya.

Seringkali sesuatu sokongan diberikan atas kapasiti seorang wakil rakyat yang hanya menjalankan tugas mahu membantu rakyat yang tidak mendapat bantuan yang sewajarnya.

Mungkin ada yang akan mempersoalkan keperluan surat sokongan atau sokongan secara lisan oleh ahli politik, biarpun untuk mereka yang tidak mempunyai hubungan politik. Jika sesuatu permohonan itu mempunyai merit seperti kelayakan teknikal dan rekod kerja yang baik atau kerperluan yang mendesak, bukankah ia akan dipertimbangkan sewajarnya tanpa perlu sebarang campurtangan ahli politik?

Sama juga bagi permohonan-permohonan lain yang perlu melalui sistem awam seperti permohonan kerja, kediaman kos rendah mahupun biasiswa - bukankah semuanya boleh ditentukan oleh kakitangan awam berdasarkan merit dan keperluan?

Di sini, saya ingin mengatakan bahawa suka atau tidak, di kalangan penjawat awam juga terdapat 'Napoleon Kecil' yang bertindak atas motivasi tertentu. Hakikatnya, kakitangan awam juga tidak terlepas daripada kemungkinan salah guna kuasa melalui tindakan ‘pilih kasih’ atau favouritism.

Akibat dari kelemahan birokrasi ini, ramai pemohon yang layak dan melalui saluran biasa ditolak. Dalam erti kata lain, sistem awam yang sedia ada telah menggagalkan mereka, lantas mereka terpaksa meminta bantuan dari wakil rakyat.

Dalam hal ini juga, saya ingin membangkitkan persoalan mengenai peranan ahli politik yang dipilih rakyat. Apa guna kita mengadakan pilihanraya untuk memilih wakil rakyat sekiranya perkara seperti menulis surat sokongan pun tidak dibenarkan?

Jika seorang wakil rakyat gagal membuktikan kebolehan membantu dan membela rakyat, maka beliau akan diundi keluar, manakala kakitangan awam pula tidak dipilih. Oleh itu, janganlah kita terlalu cepat memandang serong peranan wakil rakyat dalam menyokong sesuatu permohonan kepada Kerajaan.

Bukan niat saya untuk memburukkan kakitangan awam. Malah, saya yakin sebahagian besar daripada mereka mempunyai integriti dan keikhlasan yang tinggi. Namun, selagi wujud fenomena 'Napoleon Kecil' di kalangan kakitangan awam, kita tidak boleh menolak langsung peranan ahli politik yang mewakili kepentingan rakyat.

Di sini saya ingin mencadangkan satu jalan tengah yang dapat menangani isu-isu berhubung pemberian kontrak. Cadangan saya, jika penjawat awam berperanan melaporkan sebarang surat sokongan dari ahli politik, maka ahli politik juga perlu diberi ruang untuk memanjangkan sesuatu permohonan apabila dirasakan sistem birokrasi telah menggagalkan permohonan itu sungguhpun mempunyai merit untuk diterima.

Saya melihat kaedah ini dapat membantu dalam memantau penyalah gunaan kuasa di kalangan mereka yang mempunyai hubungan politik, serta kegagalan birokrasi atau juga rasuah dalam perkhidmatan awam.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa cadangan ini dibuat bukan berasaskan dasar campurtangan politik, tetapi atas prinsip merit dan keperluan.

Khairy Jamaluddin

BN Youth Lab: Tangani Pengundi 'Atas Pagar' Yang 'Muda Dan Resah'


Seramai tujuh juta pengundi muda akan menjadi faktor penentu dalam keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) atau Parti Pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Bagaimanapun, kajian terbaru oleh Makmal Pemuda BN telah memberi wawasan tentang pemikiran golongan pengundi muda dengan kebanyakan mereka mengambil pendiriran 'non-partisan' (tidak memihak) berhubung politik negara.

Berikutan majoriti golongan belia bukan penyokong mana-mana parti, kajian itu mendapati tiga daripada lima pengundi muda atau 62 peratus daripada mereka masih 'duduk atas pagar' mengenai parti pilihan mereka.

Hasil kajian ke atas kira-kira 1,000 responden dari seluruh negara itu serta cadangan dasar telah disampaikan oleh Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.

Kajian itu dijalankan oleh sekumpulan penyelidik khas selama dua bulan mulai Mac lalu itu adalah bagi membantu parti pemerintah menggubal dasar bersesuaian dengan keperluan generasi muda di negara ini.

Hasil laporan itu akan diumumkan kepada awam pada satu mesyuarat bersama Perdana Menteri dijadual pada 20 Ogos ini.

Kebimbangan utama yang disuarakan oleh responden adalah berkaitan dengan pekerjaan, pendidikan, peningkatan kos hidup dan pengangkutan awam.

"Golongan belia ini akan mengundi mana-mana calon yang mereka fikir adalah lebih baik pada pilihan raya umum akan datang," menurut hasil kajian itu.

Hasil kajian itu adalah serangkai dengan arah aliran politik semasa yang ditonjolkan oleh pelbagai pemerhati dan penganalisis politik termasuk pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah.

"Pengundi muda kini lebih berpandangan terbuka dan membina dan mereka tidak menilai sesuatu isu berdasarkan ideologi politik. Sokongan mereka mudah berubah atau bertindak kepada situasi pada bila-bila masa," kata Abu Hassan.

Menurutnya generasi muda tidak lagi berpegang kepada kata-kata atau janji ahli politik tetapi sebaliknya menilai bagaimana parti-parti berkenaan menangani pelbagai isu.

Bagi Khaw Veon Szu, pengarah Institut Pembangunan Sosioekonomi dan Penyelidikan (SEDAR), iaitu kumpulan pemikir Parti Gerakan, pula, beliau percaya kebanyakan belia di negara ini masih cenderung kepada pembangkang, walaupun perangkaan 60 peratus pengundi belia 'atas pagar' seperti dilaporkan oleh Mahkamah Pemuda BN.

"Saya percaya pengundi muda 'atas pagar' sebenarnya pada kadar 30 peratus dan saya tidak kata ia akan mencecah sehingga 60 peratus," katanya.

"Pengundi sentiasa berubah secara bulanan tetapi ia hanya sekadar mana tahap perubahan itu.

"Konsensus secara umum bagi golongan muda dan ligat itu pada amnya mereka memihak pembangkang," katanya.

Khaw berkata pembangkang mempunyai sedikit 'simpanan tetap' dalam masyarakat Cina dan ini dijelaskan mengapa mereka begitu gigih mendaftar pengundi baru dan muda kerana mereka menganggap golongan itu adalah tambahan kepada 'simpanan tetap' mereka.

Bagi memenangi hati pengundi muda, katanya, BN tidak mempunyai masa tetapi sebaliknya perlu mempunyai rancangan drastik bagi mengejar usaha pembangkang mendaftar pengundi baru.

Salah satu sektor yang boleh membawa impak segera dan berkesan yang boleh meninggalkan kesan mendalam dalam minda dan hati pengundi muda adalah rombakan dasar pendidikan.

Bagaimanapun, sebilangan pemerhati politik dan ahli parti berpendapat bahawa apa yang BN perlu sekarang ialah penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan oleh golongan ini dan bukan satu lagi kajian untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh belia.

"Anda tidak perlu menjalankan satu kaian untuk mengetahuinya. Sebagai seorang pemuda, saya boleh beritahu apa yang golongan pemuda inginkan -- pekerjaan, keselamatan, kualiti hidup yang lebih baik dan urus tabir yang cekap," kata seorang pemimpin pemuda dari sebuah parti komponen BN.

Bagaimanapun, sebarang bentuk kajian adalah penting dan dapat membantu BN merangka strategi bagi membantu golongan itu di peringkat bawahan.

Usaha kajian seperti itu adalah langkah tepat seperti dilakukan oleh Pemuda MIC di mana lebih ramai pemimpin muda diberi tanggungjawab di peringkat cawangan dan bahagian.

Ketua Pemuda MIC, T. Mohan, berkata pada 21 Ogos ini, sebanyak 50 cawangan pemuda baru dengan pemimpin baru akan dibentuk selain mendaftar ahli baru sebagai pengundi jika mereka mencapai umur 21 tahun.

"Sebelum ini, kita terpaksa menunggu sehingga seseorang itu melepaskan jawatan atau meninggal dunia. Tetapi kini, kita melakukan rimbakan dan maklum balasnya adalah baik.

"Kami kini mempunyai pengerusi cawangan berusia antara 20an dan 30an," katanya.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Anthony Loke Siew Fook menjelaskan kecenderungan pengundi muda kepada parti pembangkang sebahagian besarnya disebabkan faktor 'tolakan' dari BN dan bukan faktor 'tarikan' oleh pembangkang.

"Perebutan mendapatkan sokongan pengundi muda masih terbuka luas. Pengundi muda akan memilih calon yang dapat membuktikan kelebihan yang ada pada diri mereka," katanya.

Oleh itu Loke, berkata pembangkang menumpukan kepada dua pendekatan iaitu pendafataran pengundi baru secara agresif dan memaklumkan kepada golongan itu bahawa mereka boleh membuat keputusan dengan apa yang mereka fikirkan penting.

Pensyarah Sains Politik, Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI) Dr Ong Kian Ming berkata Pemuda BN tidak mempunyai rancangan bersepadu untuk membabitkan golongan pemuda serta gagal mempertengahkan dasar untuk mereka.

"Misalnya, isu biasiswa. Kita tidak lihat sebarang usaha bersepadu untuk menyelesaikan isu itu sehingga pengumuman oleh Perdana Menteri," katanya.

Pada 10 Julai lalu, Najib mengumumkan bahawa semua pelajar yang memperoleh keputusan 9A+ dan ke atas pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan atau luar negara.

Ong berkata golongan muda nampaknya lebih cenderung kepada pembangkang tetapi parti pembangkang tidak boleh mengambil mudah berikutan keputusan pilihan raya umum lepas menunjukkan sedikit peningkatjkan sokongan golongan muda kepada BN.

Pada PRU 1999 dan 2004, corak pengundian golongan muda menunjukkan penurunan sokongan terhadap BN tetapi pada 2008, terdapat sedikit peningkatan sokongan kepada BN khususnya dari generasi selepas reformasi berusia antara 21 dan 30 tahun, katanya.

Bagaimanapun, masih ada banyak cabaran bagi pihak pembangkang dan pemerintah tetapi kedua-dua pihak itu telah menampilkan beberapa pemimpin muda yang berjaya mendekatkan diri dengan golongan belia di negara ini, katanya.