Friday, April 10, 2009

KJ - Barisan Kabinet Baru Kerajaan

Saya mengucapkan tahniah kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, dan barisan jemaah menteri yang dilantik oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini. Di samping itu, saya berterima kasih di atas pengiktirafan yang diberi kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan perlantikan YB Dato' Razali Ibrahim, selaku Naib saya, sebagai Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan.

Saya percaya barisan jemaah menteri ini mampu membantu YAB Perdana Menteri dalam usaha beliau membawa perubahan berdasarkan pendekatan 1Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Saya telah dipanggil dan dimaklumkan oleh YAB Perdana Menteri semalam bahawa beliau mahu saya menumpukan perhatian mengukuhkan Pemuda UMNO. Berdasarkan kepada kemerosotan sokongan pengundi muda kepada Barisan Nasional, kami berdua sepakat dan bersetuju bahawa tanggung jawab dan gerak kerja memenangi pengundi muda adalah satu komitmen sepenuh masa yang menuntut gandingan tenaga dan dedikasi untuk kerja-kerja parti tanpa sebarang tanggung jawab dalam pentadbiran kerajaan.

Kepada YAB Dato’ Seri Najib, saya ucapkan terima kasih di atas amanah yang diberi dan berikrar untuk memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada kepimpinan beliau dan saya juga berjanji untuk bekerja keras untuk memperkasa dan mengukuhkan Pemuda UMNO.

Kepada ahli-ahli pergerakan Pemuda UMNO, terimalah pengumuman ini dengan hati yang terbuka dan terimalah juga cabaran yang diberi kepada kita untuk memenangi dan mengembalikan sokongan pengundi muda dengan penuh iltizam dan kesungguhan. Kita semua hendaklah menyokong kerajaan dalam usahanya untuk mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka dengan berkesan dan menyeluruh.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Sumber : www.rembau.net.my

1 comment:

Anonymous said...

Bapa yang pilih kasih (Najib) akan menyebabkan anak tidak selesa dan tidak puas hati dalam rumah sendiri (UMNO). walaupun di mulut anak yang disisihkan (Khairy) masih menyokong bapanya tapi dihati mesti bernanah. adiknya (Razali Ibrahim) mendapat bahagian tetapi abang diketepikan begitu sahaja. kenapa la najib mencemarkan imej UMNO kat mata rakyat dengan tindakan yang tidak profesional dia 2.nampak kecelaruan dalam keluarga UMNO. jiran-jiran (Pembangkang) nampak krisis keluarga kita ni dari luar rumah. Hampas....