Monday, January 16, 2012

Ronnie Liu Tipu Penduduk Kaum India Kampung Papan


Perayaan Ponggal yang disambut pada bulan ke-10 kalendar Tamil sepatutnya diraikan dalam suasana meriah tetapi bagi majoriti penduduk kaum India Kampung Papan di Pandamaran di sini, perayaan itu tidak memberi apa-apa makna.

Ini kerana mereka masih hidup dalam keadaan serba kekurangan dan daif berikutan kegagalan kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor menunaikan janji ditabur semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Paling mengecewakan kira-kira 200 penduduk yang menetap di situ sejak 40 tahun lalu ialah kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu untuk membina rumah kos rendah yang dijanjikan.


Turut tidak dilaksanakan, dakwa penduduk ialah janji untuk membaiki jalan dan menebas semak-samun di kawasan tersebut dalam tempoh 100 hari selepas beliau memenangi kerusi DUN Pandamaran empat tahun lalu.

Wakil rakyat DAP itu juga langsung tidak turun padang meninjau dan melihat perkembangan terkini penduduk dan kampung tersebut.

Wakil penduduk, C. Arasu, 42, berkata, Ronnie berjanji kepada penduduk untuk membina penempatan rumah kos rendah berharga RM99,000 kepada mereka selepas menang pilihan raya.

Menurutnya, wakil rakyat itu gagal mengotakan janji yang diberikan dan hanya berdolak-dalik dengan menyatakan masalah dihadapi oleh penduduk di situ telah pun selesai.

"Mana janji beliau? Lepas menang pilihan raya beliau langsung tak masuk kampung ini. Sudah empat tahun kami semua menunggu, janji hanya tinggal janji.

"Apa yang kami bimbangkan adalah keselamatan anak-anak dan isteri kerana rumah saya pernah dimasuki ular baru-baru ini," katanya ditemui pemberita selepas mengadakan bantahan bersama penduduk kampung di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MCA Bahagian Klang, Datuk Teh Kim Poh dan Pegawai Penyelaras DUN Pandamaran, Ching Eu Boon.

Penduduk turut menempelak Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan ADUN Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar yang menggelarkan diri mereka sebagai wakil komuniti India di Pandamaran kerana gagal membantu.

Malah, kedua-dua pemimpin itu didakwa lepas tangan berhubung masalah yang dihadapi penduduk India di kampung itu.

Terdahulu, penduduk yang berang dengan janji kosong wakil rakyat DAP itu berkumpul pada pukul 11.30 pagi dengan membawa poster tertera perkataan 'Jangan Tipu Kami', ' Kami Tolak DAP, PKR, PAS', Pakatan Rakyat Tipu Rakyat', 'Mana Charles MP Paling Malas' dan 'Mana Sudah Hilang Xavier'.

Sementara itu, Teh Kim Poh berjanji kepada penduduk untuk menghantar kontraktor bagi membersihkan kawasan semak-samun di kawasan itu dan merobohkan rumah usang yang tidak berpenghuni selepas perayaan Tahun Baru Cina.-Utusan

Sokongan BN: Mat Sabu Pembohong!


Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa mendapat sokongan pelbagai pihak dari Barisan Nasional (BN) bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang hanyalah pembohongan semata-mata, kata Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kenyataan itu tidak benar sama sekali dan tiada bukti menunjukkan ada anggota BNyang dikesan memberi sokongan kepada pakatan itu.

"Dia berbohong dan saya menafikan kenyataan itu. Jika ada sokongan dari pihak BN, saya minta dia tunjukkan senarai siapa orang BN yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Empat Peringkat Penerangan BN di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang ada pihak dalam BN, termasuk bekas menteri dan menteri, yang menawarkan sokongan untuk menumbangkan BN sekali gus membantu PR menguasai Putrajaya.

Mat Sabu berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PR Ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah, semalam.

Ahmad berkata: "Apa yang diucapkan atau dikatakan oleh Mat Sabu itu tidak boleh diguna pakai. Ia adalah sama seperti mana kenyataan beliau sebelum ini yang mengatakan bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan sedangkan Mat Indera itu merupakan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dan itu sudah pun terbukti." - Bernama

Berita terdahulu: Konvensyen PR: Pakatan Dapat Sokongan Orang BN, Mat Sabu Buat Lawak Bangang Mah...

Sunday, January 15, 2012

Mufti Perak Kecewa Pas Hasan Ali


Tan Sri Harussani Zakaria, antara personaliti yang cuba mewujudkan kerjasama politik antara Pas dan Umno selepas pilihan raya umum 2008, kesal kerana Datuk Dr Hasan Ali yang memperjuangkan Islam dibuang parti.

Menurut Mufti Perak itu, sebagai pejuang Islam yang sejati, Hasan tidak sepatutnya berputus asa, sebaliknya perlu meneruskan perjuangannya.

“Ini adalah risiko yang perlu dihadapi oleh pendakwah Islam dalam menyebarkan Islam.

“Sejarah dunia telah membuktikan bahawa orang kafir memang tidak pernah suka dan setuju dengan Islam, begitu juga dengan orang munafik.

"Jadi mengapa orang Islam sendiri perlu ikut kata mereka,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas tentang pengguguran Hasan sebagai Exco Selangor dan tindakan Pas memecat Hasan dari parti itu, Harussani bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Selepas pilihan raya umum 2008, Harussani dilaporkan menggerakkan usaha mengadakan perundingan dengan kepimpinan Pas dan Umno untuk membentuk kerajaan perpaduan khususnya di Perak dan Selangor.

Kerjasaman Umno-Pas yang dicadangkan Harussani itu berteraskan Melayu dan Islam.

Hasan dipecat oleh Pas Ahad lalu atas alasan melanggar kepentingan parti.

Nong Chik Hentam Nurul Izzah Tak Buat Kerja


Barisan Nasional (BN) yakin dapat menawan semula kerusi Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum berdasarkan prestasi wakil rakyat kawasan itu, Nurul Izzah Anwar yang menurutnya tidak turun membantu penduduk bahagian tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya menumpang usaha BN membantu penduduk Lembah Pantai.

“PKR hanya tahu mengkritik, tapi hampir empat tahun tiada perkara yang membina telah dibuat, hanya bila kita (BN) berjaya membuat sesuatu, mereka cuba menumpang, contohnya kita dapatkan peruntukan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk cat rumah di Taman Sri Sentosa dan Terminal Sejahtera pun, dia kata atas desakkan dia, bila dia desak, tak ada pun, dia tak buat apa pun selama dua tahun ini," kata beliau yang juga Ketua Umno Lembah Pantai.

Nurul Izzah menang di bahagian Lembah Pantai dengan menewaskan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada pilihan raya umum 2008.

Ia salah satu daripada 10 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dimenangi oleh komponen Pakatan Rakyat (PR).

“Selama ini, dia hanya ikut dan perjuangkan bapanya, bila dekat pilihan raya baru nak sibuk jadi pejuang rakyat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina di Padang Bola Sepak Dewan Bandar raya Kuala Lumpur, Taman Seri Sentosa di sini.

Beliau berkata, sikap pemimpin PKR itu menjadikan sokongan rakyat mula beralih arah kepada BN kerana yakin pengundi akan membuat pemilihan atas keupayaan BN yang membantu rakyat.

“BN, Umno, MCA dan parti komponen lain dah lama berjuang bertahun-tahun, malahan saya sendiri sudah 25 tahun di Lembah Pantai, kita tak guna platform untuk keluarga atau kepentingan sendiri.

“Kita ikhlas membantu penduduk Lembah Pantai, itulah perbezaannya dengan PKR," kata beliau lagi.

Raja Nong Chik menambah, "oleh itu, kita boleh lihat sambutan yang telah ditunjukkan oleh penduduk, BN yakin kita boleh rampas kerusi Lembah Pantai."

Ketika mengulas desas-desus akan bertanding di Lembah Pantai menentang Nurul Izzah, Raja Nong Chik berkata, beliau hanya menunggu keputusan pucuk pimpinan jika mahu meletakkannya sebagai calon.

Halalkan Seks Luar Tabii Jijis


Desakan Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) supaya kerajaan menghalalkan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dengan cara meminda undang-undang sedia ada adalah gesaan yang jijik, tidak bertamadun dan melanggar norma hidup masyarakat negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie berkata, rakyat Malaysia tidak akan menerima apatah lagi bersetuju untuk menghalalkan amalan seks songsang.

“Setiap negara mempunyai latar belakang sosial serta nilai budaya sendiri dan sebagai negara Timur, budaya songsang tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat negara ini.

“Ia (menghalalkan LGBT) tidak sesuai di Malaysia biarpun pilihan seks itu kita anggap hak dan kebebasan individu, tetapi budaya ini tidak harus digalakkan,” katanya selepas merasmikan Majlis 1Azam Niaga dan sambutan Tahun Baru Cina 2012 di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pu Nan, Bukit Bakri, di sini hari ini.

Ambiga dan Anwar menghalalkan seks luar tabii...

Ugut Bunuh DS Najib, Pelajar USM Ditangkap


Polis menahan seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) kampus kejuruteraan selepas membuat kenyataan berunsur ugutan menerusi laman blognya, di Georgetown hari ini.

Dalam kenyataannya pelajar terbabit dikatakan mahu meletakkan bom pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke kampus itu minggu hadapan.

Pelajar terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob yang dihubungi mengesahkan perkara itu dan akan mengadakan sidang media mengenainya esok.

- Bernama

Apa masalah Mahasiswa sekarang ni? semakin hari mereka bersama Anwar Ibrahim... semakin sewel diaorang ni nampaknya!!