Wednesday, March 14, 2012

Isu Israel: KJ Palam Anwar di Dewan Rakyat


Suasana Dewan Rakyat petang Selasa gamat seketika bila Khairy Jamaluddin berentap dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu keselamatan Israel dalam interbiunya dengan akhbar Wall Street Journal baru-baru ini
Pertikaman lidah berlaku semasa Ahli Parlimen Rembau itu mencelah ucapan Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika membahas titah Diraja.

Ini gara-gara Anwar membangkitkan isu itu dalam perbahasannya dan dilihat cuba membersihkan dirinya dengan mendakwa kenyataan sebenarnya di akhbar itu diputarbelit oleh media tempatan.

Anwar mengulangi kenyataanya sebelum ini bahawa perkataan 'contingent' yakni bersyarat yang disebutnya bagi jaminan keselamatan Israel itu tidak diberi perhatian dalam laporan media.

Namun Anwar terbelit dengan penjelasannya itu bila Khairy sebaliknya menyifatkan beliau sebenarnya menyatakan sokongan mutlak kepada jaminan keselamatan rejim zionis berdasarkan kenyataannya.

Khairy kemudiannya membaca dua petikan kenyataan Anwar iaitu :"I support all efforts to protect the security of the state of Israel" dan kenyataan kedua berbunyi :"...stated that any change to the status quo would remain contingent on Israel recognising the aspirations of the Palestinians".

"Saya faham soal 'contingent' itu tetapi saya hendak tanya kenapa Yang Berhormat Ketua Pembangkang tidak baca sepenuhnya paragraf temu bual dengan Wall Street Journal itu sebab kalau dibaca sepenuhnya, maknanya berbeza.

"Maksudnya kenyataan ini ada dua bahagian. Apabila Yang Berhormat sebut "I support all efforts to protect the security of the state of Israel", itu tidak ada 'contingent', maknanya sokongan itu adalah 'blanket support', sokongan mutlak yang tidak ada syarat kepada kerajaan Israel," katanya.

Anwar kelihatan begitu emosi bila dipersoalkan begitu hingga kedengaran membebel hal-hal menyentuh peribadi Khairy yang tidak relevan dengan perbahasan mengenai isu itu.

Ramai pemerhati yang melihat perbahasan itu menerusi CCTV di luar dewan tertawa melihat gelagat Anwar seperti orang tenggelam punca.

Usaha Khairy untuk bangun lagi mencelah berbahas dengannya selepas itu langsung ditolaknya,

-Agendadaily

Tuesday, March 13, 2012

Pesakit Mual Busuk Sampah


PUCHONG – “Ingatkan pesakit sahaja datang mengunjungi klinik ini setiap hari rupa-rupanya ulat sampah juga turut ‘berkunjung’ sehingga petugas perubatan terpaksa membersihkan tetamu tidak diundang itu,” kata Pembantu Kesihatan Klinik 1Malaysia Puchong Permai, Abdul Hadi Che Awang berikutan lokasi klinik yang terletak kurang dua meter dari jarak rumah sampah.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih teruk ketika cuaca hujan kerana limpahan air busuk memasuki klinik dan mencemarkan ruang institusi perubatan yang terletak di blok F5, pangsapuri Puchong Permai di sini.

“Ramai pesakit dan pengunjung klinik mengadu bagaimana tempat yang memberikan rawatan kesihatan terletak sangat rapat dengan tong sampah. Setiap pagi apabila hendak memulakan operasi, kami dapati longgokan sampah melambak di depan klinik. Keadaan jadi lebih memualkan apabila hujan kerana orang ramai yang lalu lalang dan memasuki klinik akan membawa bersama air sampah sehingga menyebabkan ruang klinik berbau busuk,” katanya.

Wakil penduduk, Saiful Bahari Shahuddin, 31, berkata, penghuni pangsapuri dan dari kawasan sekitar mengalu-alukan kewujudan klinik berkenaan.

Namun dia mendakwa yang menjadi tidak cantik apabila kedudukan klinik berdepan dengan rumah sampah yang dipenuhi longgokan sampah setiap hari.

“Saya ada dengar ura-ura mengatakan rumah sampah ini akan dialihkan namun selepas sebulan klinik beroperasi masih tidak nampak apa-apa perubahan. Orang luar yang datang ke klinik juga mengadu terpaksa menghidu bau busuk setiap kali berkunjung ke situ,” katanya.

Pengunjung klinik, Siti Fatimah Abdul Rahim, 37, berkata, longgokan sampah dan pemandangan yang menjijikkan menyebabkan orang sakit yang datang ke klinik menjadi bertambah sakit.

“Apabila datang klinik harapan sakit akan menjadi lebih baik punah jika keadaan terus seperti ini,” katanya yang turut menggesa lokasi klinik berkenaan dialihkan.

Ibu Dirang: 'Kenapa Kasi Mati Anak Aku'


Ibu kanak-kanak hilang 1 Mac lepas, Roselyn Alan, 25, pengsan seketika sebaik dihubungi pihak polis yang mengesahkan rangka yang temui Khamis lalu adalah anaknya, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau dikenali sebagai Dirang.

Roselyn yang menangis tidak berhenti lebih sejam selepas menerima panggilan dari pihak polis kira-kira jam 6.40 petang tadi meraung sambil berkata, “kenapa kasi mati anak aku..!!!"


Usaha menemu bual Roselyn gagal apabila dia menangis tidak berhenti. Begitu juga dengan bapa tiri mangsa, Lima Medeng, 25, yang enggan ditemu bual ekoran masih terkejut.

Nenek mangsa, Milnah Jul, 56, berkata, dia dihubungi Roselyn yang ketika itu berada di bawah blok Flet Seri Delima Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini selepas keluar mencari Dirang.

“Roselyn hubungi saya sambil menangis memberitahu polis mengesahkan rangka yang ditemui adalah Dirang.

“Saya terkejut dan tidak menyangka rangka itu adalah Dirang kerana sebelum ini kami sekeluarga lega selepas dimaklumkan polis bahawa rangka yang ditemui adalah rangka orang dewasa,” katanya.

Suasana sedih menyelubungi kediaman mangsa apabila ahli keluarga dan jiran tetangga yang hadir turut menangisi pemergian Dirang yang ditemui dalam keadaan menyedihkan.

Jirannya, Noridah Juliri, 44, berkata, kehilangan Dirang yang dianggap seperti anak sendiri turut meresahkannya sekeluarga kerana keluarga yang dikenali sejak lebih 10 tahun itu seperti keluarganya sendiri.

Menurutnya, Roselyn dilihat tidak senang duduk sehingga mengabaikan anak bongsunya, Ainul Suhada Abdullah, dua bulan, sejak kehilangan Dirang 1 Mac lepas.

“Saya terguris dan tidak lalu makan sehingga sama-sama masuk ke ladang kelapa sawit mencari Dirang, apatah lagi ibu yang mengandungkannya tentu risau.

“Berita ini benar-benar menyedihkan kami sekeluarga kerana Dirang sudah seperti anak saya sendiri,” katanya.

Seorang lagi jiran, Merlinda Budin, 22, berkata, sebelum rangka ditemui Khamis lepas, dia bermimpikan Dirang berjalan dalam api.

“Saya bermimpi Dirang berjalan dalam api sambil berteriak ‘Mak cik.. tolong ambil saya...’

“Saya sangat sedih dan tidak menyangka mimpi itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.