Thursday, April 12, 2012

Pemuda Umno Mahu Kriteria Calon Bukan Dasarkan Kuota Parti


Pemuda Umno meminta supaya prinsip dan kriteria bagi pemilihan calon kali ini bukan berdasarkan kepada kuota parti komponen tetapi daripada segi calon boleh menang, kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pergerakan itu memohon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), berpegang kepada prinsip bahawa calon yang akan dipilih bagi pilihan raya umum akan datang adalah calon yang diiktiraf sebagai calon boleh menang.

"Maksudnya, kita kena betul-betul tengok setiap kawasan, bukan pengagihan kerusi berdasarkan kepada parti lagi. Kita kena cari calon yang boleh menang.

"Kalau dulu, kerusi tersebut dikhaskan untuk salah satu komponen parti dalam BN, kita buat andaian bahawa selama-lamanya kerusi itu akan ditandingi oleh calon daripada parti tersebut.

"Jika calon itu datang daripada parti yang biasa bertanding di kawasan itu, adalah baik, (tetapi) jika calon itu datang daripada parti yang lain, kita minta parti yang biasa bertanding di situ beri laluan kepada calon berkenaan kerana

calon itu juga datang daripada BN walaupun parti komponen, semua bertanding di bawah lambang BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di sini, semalam.

Khairy turut meminta parti komponen BN dapat bersetuju dengan prinsip itu kerana yang penting adalah kemenangan BN dalam pilihan raya umum ke-13 dan bukan untuk meneruskan kuota atau sistem lama.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, siri pelancaran jentera Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno serta parti-parti komponen dengan tema "BN Pilihan Orang Muda" akan bermula pada Sabtu ini di Ipoh bagi peringkat negeri Perak yang akan dirasmikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, ini diikuti pelancaran jentera Pemuda dan Puteri Umno Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak pada 22 April ini yang akan disempurnakan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala di peringkat negeri

Johor pada 1 Mei ini.

"Kita akan menjelajah ke seluruh negara untuk memastikan bahawa pelancaran jentera ini dapat dilaksanakan dan disasarkan kira-kira 15,000 jentera akan hadir di setiap lokasi.

"Kita akan bawa pelancaran jentera ini sampai kepada kemuncaknya iaitu pelancaran bersama Perdana Menteri pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian," katanya.

Mengulas mengenai Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan yang dibentangkan di Parlimen semalam, Khairy berkata rang udang-undang baru itu adalah penambahbaikan kepada Akta Keselamatan Negeri yang boleh dikatakan lapuk dan tidak relevan lagi.

"Akta baru ini yang bakal dibahaskan di Dewan Rakyat minggu depan, mempunyai ciri-ciri menghormati hak asasi setiap rakyat iaitu tiada mana-mana pihak boleh ditahan dan ditangkap atas sebab politik.

“Selain itu, sesiapa yang ditahan dan ditangkap di atas akta baru ini, mereka mempunyai peluang untuk membawa kes ke mahkamah berbanding sebelum ini," katanya. – Bernama

PRU13: Pemuda Umno Serah Senarai Calon Hujung April


Pemuda Umno akan menyerahkan senarai calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hujung bulan ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, senarai itu hampir siap tetapi belum muktamad kerana beberapa aspek seperti kelayakan calon yang akan dipilih perlu dinilai sebelum diserah kepada Perdana Menteri.

"Berapa ramai belum muktamad lagi... jadi saya tidak berani untuk umumkan lagi kerana kita perlu menyemak, menapis serta membuat rujukan dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyerahan resolusi Persidangan Meja Bulat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam.

Beliau berkata setiap calon dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk berkhidmat sebagai seorang pemimpin Pemuda Umno selama tiga tahun, selain penerimaan masyarakat umum dan parti terhadap mereka dan ciri ini amat penting bagi menentukan kelayakan calon tersebut.

"Calon yang kita pilih tidak hanya popular di dalam parti tetapi diterima masyarakat masyarakat.

"Kalau dia popular di kalangan masyarakat setempat sahaja tapi tidak popular dalam partipun ada masalah juga sebab nanti susah untuk gerakkan jentera, jadi kena ada kombinasi kedua-duanya sekali," katanya.

Khairy berkata calon juga mesti rajin menyelesaikan masalah rakyat serta berpengetahuan mengenai dasar kerajaan dan cara menyelesaikan sesuatu aduan.

"Kalau nak selesaikan masalah dengan Majlis Daerahpun tidak tahu, itu kira tiada ilmu pengetahuan.

"Tapi bagi saya, dia tidak perlu ada ijazah untuk tahu bagaimana hendak selesai masalah longkang, masalah orang kampung, kita mahukan calon yang serasi dengan agensi kerajaan serta tahu sedikit sebanyak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan pemimpin," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding, Khairy berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan akan tetap melaksanakan setiap arahan yang diberikan. - Bernama

PTPTN: 11 Resolusi Rundingan Meja Bulat Anjuran Pemuda Umno #MejabulatPTPTN


Berikut adalah 11 resolusi yang dicapai pada Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional 2012 anjuran Pemuda Umno.

Dari aspek pinjaman:

1. Meja Bulat mencadangkan bayaran perkhidmatan 1% yang dikenakan ke atas peminjam PTPTN dihapuskan.

2. Bagi menampung keperluan Meja Bulat mencadangkan agar kerajaan menyediakan dana dibawah perbelanjaan mengurus tahunan atau mendapatkan tajaan daripada GLC dan syarikat-syarikat utama dalam Negara

3. Skim insentif pertukaran pinjaman kepada biasiswa yang diberikan kepada pelajar cemerlang hendaklah dihentikan atau dikaji semula menggunakan mekanisma yang lebih rasional bagi memastikan keadilan kepada semua peminjam disamping mengelakkan hakisan dana PTPTN yang berkonsepkan pinjaman.

4. Kemudahan pinjaman PTPTN juga hendaklah dipanjangkan kepada pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran di luar negara khasnya di Timur Tengah.

5. Pinjaman bagi peminjam dari Sabah dan Sarawak untuk belajar ke semenanjung dan sebaliknya hendaklah meliputi harga tiket penerbangan 2 kali setahun.

Dari aspek pembayaran:

6. Rombakan terhadap sistem bayaran balik pinjaman hendaklah dilakukan dengan mengambil kira perkara-perkara berikut:

a) bayaran pinjaman mula dibuat apabila peminjam telah berkhidmat melebihi 6 bulan atau telah mempunyai pendapatan RM3,000 ke atas yang mana terkemudian bagi menjamin tempoh kelegaan peminjam.

b) kaedah bayaran balik hendaklah dikaji semula dengan mengambil kira mekanisma pembayaran seperti KWSP dan LHDN disamping kemudahan pembayaran melalui sistem e-payment sedia ada.

c) Insentif pelepasan cukai diperkenalkan kepada majikan-majikan yang bersedia menjelaskan bayaran PTPTN pekerja mereka.

d) kaedah menyenarai hitam peminjam yang menyebabkan kebebasan peminjam seperti urusan keluar negara atau membuat lainilain pinjaman hendaklah dimansuhkan.

Dari segi tabungan SSPN:

7. Kerajaan hendaklah menyalurkan dana RM100 yang diperuntukkan kepada murid-murid sekolah terus kepada PTPTN bagi tujuan pembukaan akuan SSPN.

Dari aspek komunikasi:

8. Peminjam dan PTPTN hendaklah melaksanakan ucapan akad untuk memastikan peminjam sedar bahawa pinjaman PTPTN perlu dibayar semula.

9. PTPTN hendaklah melaksanakan promosi dan menyebar luas segala maklumat yang tepat kepada peminjam dan masyarakat agar kefahaman terhadap fungsi dan kedudukan PTPTN dapat difahami.

10. PTPTN hendaklah menggunakan secara maksima media baru agar segala aktiviti promosi dan penyebar luas maklumat akan lebih berkesan.

11. PTPTN perlu bersedia untuk menyediakan pinjaman bagi sara hidup seandainya kerajaan memutuskan untuk memberikan pendidikan percuma diperingkat pengajian tinggi.

Wednesday, April 11, 2012

Isu PTPTN: Rafizi Ramli Hanya Pandai Menyalak... #MejabulatPTPTN Cadangan Pemuda BN Lebih Berhemah!


Dari dulu sampailah sekarang, cadangan Pakatan Rakyat tak habis-habis dengan guna duit Petronas. Kalau dulu PRU12 turunkan minyak guna duit Petronas. Kini hapuskan PTPTN pun pakai dana Petronas

Ini budaya membunuh angsa yg tetaskan telor emas atau reckless governance

Dakwaan pembangkang kata lebih 40% pendapatan negara dari duit minyak, tapi tak segan silu guna minyak untuk tampung idea populis mereka. Ke situ juga akhirnya.

Kalau ikut perancangan Buku Jingga, kita kaji dan rumus negara boleh muflis dalam tahun ke 2 pemerintahan

Ini bukan soal kemampuan atau affordability, tapi soal keputusan bertanggungjawab - responsible decision. Setiap sen yang Kerajaan belanja ada opportunity costnya, kalau kita hapuskan hutang 25 bilion, maka 25 bilion hilang untuk kebajikan rakyat. Rafizi Ramli gagal untuk memikirkan perkara seperti ini.

Kalau PR hadap sangat untuk jadi hero kebajikan, kenapa Selangor tidak mansuhkan yuran Unisel dan Kedah tidak hapuskan yuran Kolej Insaniah? Buat dulu barulah ada kredibiliti nak pressure.

Cadangan Pemuda BN selesai isu PTPTN lebih berhemah iaitu, hapuskan caj/upah dlm PTPTN. Dengan cara ini PTPTN is a principal based loan, sama seperti MARA dan lain-lain.

Kita akan minta yg disenaraihitam dikaji semula, supaya yg bergaji RM3k sahaja baru dikenakan bayaran, yang study di sabah dan sarawak dan dari semenanjung, vice versa, diberi tambahan pinjaman dan lain-lain.



Antara resolusi Meja bulat PTPTN:

1) PTPTN hapuskan kos pengurusan 1%. Yang perlu dibayar balik adalah jumlah yg dipinjam (principal).

2) Pembayaran balik hanya perlu dimulakan apabila peminjam mendapat gaji minima 3 ribu setiap bulan.

3) Pendekatan penyenaraian hitam disemak semula termasuk sekatan keluar ke luar negara. Cari kaedah lain.

4) Peminjam dari Sabah & Sarawak yg belajar di Semenanjung dapat jumlah pinjaman yang lebih untuk kos penerbangan.

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin akan mengemukakan resolusi #mejabulatPTPTN kepada YAB Mohd Najib Tun Razak sebagai cadangan realistik utk dilulus oleh Kerajaan.

P/S: Akhirkata kesian pelajar Unisel dikerah hadir ad-hoc meeting PR bincang PTPTN kerana ada goyang dengan rundingan meja bulat Pemuda BN.

Gempa Bumi Kuat Gegar Aceh, Gegaran Dirasai Di Semenanjung Malaysia


Beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia merasai gegaran ekoran gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter di Acheh, Sumatera Utara Indonesia hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kepada orang ramai menjauhi kawasan pantai di Kedah, Perlis, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang berpotensi berlakunya tsunami.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan berkata gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak.

Gegaran dirasai kira-kira pukul 4.50 petang.

Beliau berkata pihak bomba dari lima balai di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur bergegas ke beberapa kawasan yang merasai gegaran itu selepas menerima maklumat dari orang ramai.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira 4.47 petang mengenai gegaran yang dirasai di beberapa tempat seperti Ampang dan Jalan Tun Razak.

Dalam pada itu, warga kerja di bangunan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut merasai gegaran yang berlaku selama kira-kira 10 minit.

Di Kangar, gegaran kecil turut dirasai di beberapa lokasi di Perlis, antaranya di Flat Seri Sena di Kampung Bakau yang menyebabkan penghuni flat 12 tingkat itu meninggalkan kediaman mereka dan berkumpul di tempat letak kereta bangunan itu.

Petugas di Bangunan KWSP yang turut menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut merasai gegaran kecil selama beberapa minit.

Gegaran turut dirasai penduduk di Kampung Behor Lateh dan kawasan Kuala Perlis. - Bernama