Showing posts with label Pemuda. Show all posts
Showing posts with label Pemuda. Show all posts

Saturday, September 10, 2016

Ahli UMNO perlu setia bersama parti - @Khairykj

Anggota UMNO perlu menetapkan pendirian setia kepada parti dengan tidak menjadi golongan atas pagar kerana sokongan dalam politik tidak boleh dibahagi dua, tegas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata terdapat segelintir anggota UMNO yang menggunakan alasan hormat dan terhutang budi untuk memberikan sokongan kepada bekas pemimpin parti sehingga wujud perasaan berbelah-bahagi.

"Kena buat pilihan, tidak boleh berada di atas pagar... kita ahli UMNO mesti sokong pemimpin UMNO sepenuh jiwa dan raga kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sik di Sik Sabtu. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Sik Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.

Katanya walaupun tidak menafikan jasa bekas pemimpin tersebut namun tindakan mereka menubuhkan parti baharu jelas memberi isyarat bahawa mereka ingin melawan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Walau bagaimana hebat dan popularnya seseorang pemimpin itu, namun tanpa parti yang kuat, ia hanyalah sia-sia sahaja. Dalam politik tiada tempat untuk pemain individu, yang bergerak tanpa parti. Perlu ada gandingan hebat parti dan pemimpin," katanya.

Sementara itu, Khairy yang juga menteri belia dan sukan turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk kemudahan sukan di daerah Sik.

-Bernama

Thursday, December 20, 2012

Pemuda Gerakkan Inisiatif Bantu 240,000 Muflis Dapatkan Pembelaan


Komitmen kerajaan untuk mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 lalu diaplikasikan melalui gerak kerja yang dilaksanakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Menjelaskan perkara itu, Exconya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya terpanggil untuk menggerakkan inisiatif dengan beri kerjasama untuk mencari penyelesaian berikutan rekod sedia ada menunjukkan lebih 240,000 orang muflis termasuk kakitangan kerajaan dan usahawan tidak mendapat pembelaan.

“Kita mahu mereka ini tampil untuk memberikan pandangan serta bekerjasama dengan kita. Hasil daripada maklumat itu, kita akan bawa kepada pengetahuan pihak berkuasa dan saya yakin, akta baru nanti akan memberikan lebih ruang kepada orang yang bankrap untuk mendapat peluang kedua.”

Katanya, hasil pertemuan bersama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) di Putrajaya baru-baru ini, terdapat banyak ruang boleh diambil.

“Difahamkan, hanya dua puluh peratus saja yang berjaya dikenalpasti sementara bakinya tidak diketahui. Kita bimbang jika tidak dicegah, ia akan mengancam masa depan serta produktiviti negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Muflis @ Bankrap.

Menerusi pengumpulan maklumat di laman sosial facebook dan twitter, Pemuda UMNO bersama gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan membawa semua pendapat berkenaan ke pengetahuan pihak berwajib termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk pertimbangan selanjutnya.

“Terdapat ruang untuk mereka yang muflis kembali menjalani kehidupan seperti biasa terutama golongan muda bagi mendapatkan kembali hak serta bebas dari belenggu bankrap.

Sohaimi yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU), Pemuda Umno, berkata, orang ramai boleh melayari blog www.muflis-peluangkedua.blogspot.com atau facebook dan twitter Muflis Peluang Kedua bagi tujuan itu.

Menurutnya, satu forum berkaitan isu berkenaan akan diadakan penghujung Januari depan dengan menghimpunkan mereka yang muflis untuk berbincang mengenai masalah terbabit dengan penyertaan beberapa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menjawab segala perkara berbangkit.

“Kita juga melantik artis Fizo Omar sebagai duta kerana dia juga diisytihar muflis, jadi saya berharap orang ramai mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad dan Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Abdul Karim Said Khadaied.

Sumber: www.pemuda.com.my

Friday, November 30, 2012

Video : Pemuda Usaha Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) Untuk Orang Muda #PAU2012 #UMB



Inisiatif terbaru Pemuda Umno bernama Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang telah dijalankan secara perintis di Pekan. Pemuda akan bekerjasama dengan JPJ, PDRM dan agensi-agensi lain untuk menawarkan kursus lesen motosikal pada harga RM199 yakni 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran. Pemuda meminta supaya kerajaan menaja sebahagian dari pemohon BL1M yang datang dari keluarga pendapatan rendah agar mereka dapat lesen dengan percuma. Pemuda juga dalam proses berunding supaya mereka yang sudah kena tindakan mahkamah mendapat keampunan jika melalui BL1M dan mereka terlepas dari kebimbangan dipenjarakan. Ini hadiah istimewa bagi golongan orang muda yang tersepit, khas dari Pemuda Umno.

Thursday, September 20, 2012

UMNO dan PAS Bersolidariti: Protes Filem Hina Nabi Esok Di Masjid Kg Baru


Pemuda UMNO, BN & Pelbagai NGO akan mengadakan bantahan di perkarangan Masjid Kg Baru esok berhubung filem 'Innocence of Muslims' & karikatur yang menghina Rasulullah. Orang ramai dijemput untuk bersama menyatakan bantahan selepas solat Jumaat esok.

Khairy turut menjemput semua Muslim dan bukan Muslim untuk hadir ke himpunan esok atas semangat menghormati setiap kepercayaan (respect all faiths).

Manakala pada minggu hadapan Pemuda UMNO akan mengadakan Majlis Mencintai Rasul dan menjemput Pemuda PAS turut serta...

UMNO dan PAS Bersolidariti

Pemuda Umno membuat keputusan tidak bergabung dengan Pemuda Pas dalam himpunan aman esok bagi membantah penayangan filem "Innocence of Muslim" atas faktor keselamatan.

Keputusan dibuat secara bersama selepas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hasan berbincang, semalam.

Menurut Khairy, keputusan ini dibuat secara bersama selepas beliau dan Nasrudin berbincang dengan lebih mendalam kemungkinan yang bakal terjadi jika mereka bergabung dalam himpunan aman esok.

"Pada mulanya, memang Pemuda Umno berhasrat untuk bergabung dengan pemuda Pas dan kami terbuka untuk bergabung.

"Tetapi selepas berbincang dan memikirkan faktor keselamatan dan logistik, kami buat keputusan yang himpunan aman dibuat secara berasingan," katanya ditemui dalam sidang media, hari ini.

Monday, September 17, 2012

Khairy: Pemuda Umno, Pas Ganding Bantah Filem Hina Islam Jumaat Ini


BUKIT MERTAJAM - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin berkata pergerakan itu yang kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menerbitkan filem antiIslam Innocence of Muslims, bercadang mengadakan bantahan besar-besaran Jumaat ini.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab yang telah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditentang demi mempertahankan maruah agama Islam sejagat.

Pemuda Umno akan mengadakan bantahan secara besar-besaran pada Jumaat ini bagi menzahirkan rasa kesal terhadap penerbitan filem antiIslam itu, katanya.

Lokasi dan cara bantahan itu sedang dibincangkan dan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

"Bantahan ini dibuat tanpa mengira fahaman politik dan diharap ia akan menjadi platform kepada umat Islam menyuarakan kepada dunia bahawa perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tindakan menghina Islam dan Nabi Muhammad tidak boleh dipandang remeh.

"Sehubungan dengan itu Pergerakan Pemuda juga mengalu-alukan Dewan Pemuda Pas untuk turut serta mengadakan bantahan, ini adalah masalah sejagat yang perlu ditangani segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di Dewan Mutiara, Politeknik Permatang Pauh.

Beliau mengulas mengenai filem antiIslam Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad dan agama Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman YouTube, yang telah mencetuskan kemarahan orang Islam di seluruh dunia.

Khairy berkata, pihaknya sedang menunggu jawapan daripada Dewan Pemuda Pas mengenai pelawaan untuk bersama-sama mengadakan bantahan itu nanti.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan anggota Umno khususnya di Pulau Pinang agar tidak mengamalkan sikap cepat mengaku kalah sebelum berjuang kerana segala kemungkinan boleh berlaku di dalam politik.

"Setiap ahli perlu yakin dengan kemampuan untuk memberi saingan yang hebat pada pilihan raya umum akan datang, tidak mustahil kita boleh menang di kawasan yang diwakili pembangkang," katanya. - Bernama

Saturday, June 2, 2012

Himpunan Menjunjung Taat Setia Pemuda Umno Johor 10 Jun


Pemuda Umno Johor akan menganjurkan 'Himpunan Menjunjung Taat Setia' di Istana Pasir Pelangi di sini pada 10 Jun ini sebagai tanda sokongan rakyat terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Fadil Maskon berkata, himpunan yang disertai lebih 300 badan bukan kerajaan dari seluruh negeri itu juga diadakan sebagai tanda amarah terhadap tindakan

Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempertikaikan bidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh baginda.

Beliau berkata, himpunan itu yang akan disertai lebih 5,000 orang, termasuk sayap parti Barisan Nasional, adalah sebagai tanda sokongan rakyat Johor kepada baginda dalam menghadapi apa jua isu serta menyatakan kesediaan rakyat Johor pertahankan institusi diraja daripada diperkotak-katik.

"Baginda selama ini berbelas tahun sanggup mencemar duli melakukan Kembara Mahkota Johor untuk berjumpa rakyat di setiap pelosok negeri, jadi ini masa yang sesuai untuk kita pula sebagai rakyat turun untuk menyatakan sokongan terhadap baginda," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Fadil, yang ditemui dalam sidang media khas yang diadakan di sini hari ini, menyeru semua rakyat Johor agar sama-sama menyertai himpunan yang akan diadakan pada 12 tengah hari bagi menyatakan taat setia kepada Sultan Johor.

Fadil berkata rakyat Johor merasa amat sedih dan terhina dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohammad Nizar dan sehubungan itu mendesak beliau supaya segera meminta maaf kepada rakyat Johor kerana mendatangkan kemarahan dan fitnah itu.

"Kami juga meminta supaya beliau memperbetulkan keadaan dengan menyeru semua penyokongnya supaya lebih berhati-hati dalam melontarkan pandangan dalam apa jua bentuk media supaya tidak mengelirukan rakyat berhubung insitusi diraja, pemerintah dan kerajaan," katanya. - Bernama

Friday, May 18, 2012

Ketua Pemuda: Umno Masih Perlukan Khairy


Keputusan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang berhasrat mempertahankan jawatannya sebagai ketua sayap pemuda itu sesuai dengan keadaan semasa yang masih memerlukan kepimpinannya.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Khairy sebagai seorang pemimpin yang amat diperlukan parti ketika ini.

“Pemuda Umno kini berada dalam keadaan sangat baik bawah pimpinan Khairy di mana pelbagai cadangan yang telah dibawanya kepada kerajaan melalui usaha pemuda, antaranya Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN).

“Hasil daripada inisiatif yang dibawa beliau adalah suara pemuda bagi memenuhi kehendak rakyat negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Minggu lalu, Khairy berkata beliau berhasrat menawarkan diri untuk memimpin Pemuda Umno bagi tempoh satu lagi penggal di mana pemilihan akan dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Khairy menyatakan hasratnya melalui laman Twitter.

Khairy juga menyatakan pendirian akan cadangkan had umur ketua pemuda sehingga 40 tahun sahaja berbanding sebelum ini.

“Pendekatan dibawa Khairy berjaya menyatukan orang muda di bawah payung BN,” katanya.

Menurutnya, gandingan Khairy dan Naibnya, Datuk Razali Ibrahim serta seluruh Exco merupakan gandingan mantap, sekali gus Pemuda Umno mempunyai masa depan yang amat cerah dalam membantu BN terus memenangi majoriti dua pertiga dalam PRU13.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, mereka menghormati hak Khairy, bagaimanapun posisi pimpinan dalam parti banyak bergantung pada keberkesanan kita dalam mengembalikan sokongan rakyat pada Umno dalam PRU13.

“Mengenai had umur, saya setuju kepada 40 tahun kerana ia beri ruang lebih ramai pemimpin muda untuk diketengahkan,” katanya.

Berlainan nada dengan Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Husin yang menyarankan had umur sesuai bagi jawatan ketua pemuda adalah 45 tahun.

“Ini adalah bersesuaian dengan landskap politik negara yang sukar menerima perubahan secara mendadak. Umno adalah parti lama yang mempunyai seni yang tersendiri, jadi tidak boleh tergesa-gesa,” katanya.-Sinar Harian

Galery Gambar Perasmian Auto Forum PUNB 2012 klik di sini

Thursday, April 12, 2012

PRU13: Pemuda Umno Serah Senarai Calon Hujung April


Pemuda Umno akan menyerahkan senarai calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hujung bulan ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, senarai itu hampir siap tetapi belum muktamad kerana beberapa aspek seperti kelayakan calon yang akan dipilih perlu dinilai sebelum diserah kepada Perdana Menteri.

"Berapa ramai belum muktamad lagi... jadi saya tidak berani untuk umumkan lagi kerana kita perlu menyemak, menapis serta membuat rujukan dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyerahan resolusi Persidangan Meja Bulat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam.

Beliau berkata setiap calon dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk berkhidmat sebagai seorang pemimpin Pemuda Umno selama tiga tahun, selain penerimaan masyarakat umum dan parti terhadap mereka dan ciri ini amat penting bagi menentukan kelayakan calon tersebut.

"Calon yang kita pilih tidak hanya popular di dalam parti tetapi diterima masyarakat masyarakat.

"Kalau dia popular di kalangan masyarakat setempat sahaja tapi tidak popular dalam partipun ada masalah juga sebab nanti susah untuk gerakkan jentera, jadi kena ada kombinasi kedua-duanya sekali," katanya.

Khairy berkata calon juga mesti rajin menyelesaikan masalah rakyat serta berpengetahuan mengenai dasar kerajaan dan cara menyelesaikan sesuatu aduan.

"Kalau nak selesaikan masalah dengan Majlis Daerahpun tidak tahu, itu kira tiada ilmu pengetahuan.

"Tapi bagi saya, dia tidak perlu ada ijazah untuk tahu bagaimana hendak selesai masalah longkang, masalah orang kampung, kita mahukan calon yang serasi dengan agensi kerajaan serta tahu sedikit sebanyak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan pemimpin," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding, Khairy berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan akan tetap melaksanakan setiap arahan yang diberikan. - Bernama

Saturday, April 7, 2012

Isu PTPTN: Pemuda UMNO Adakan Rundingan Meja Bulat


Pemuda UMNO akan menjadi jambatan antara mahasiswa dengan kerajaan berhubung isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam usaha mencari mekanisme yang terbaik untuk kepentingan bersama.

Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pemuda UMNO, Syahrin Jamaluddin berkata bagi mencapai tujuan itu, pihaknya dengan kerjasama Biro IPT UMNO Malaysia akan mengadakan Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional yang akan dijadikan sebagai wadah untuk mencari jalan keluar mengenai isu-isu yang berbangkit mengenai PTPTN.

Menurut beliau pihaknya amat terbuka dalam hal berkenaan bagi mendengar secara dekat suara generasi muda dan menjadikan rundingan meja bulat tersebut sebagai jalan penyelesaian untuk mencapai resolusi yang terbaik.

“Kita akui PTPTN telah banyak membantu pelajar untuk menjayakan pembelajaran masing-masing tetapi pada masa yang sama tidak menolak kaedah bayaran balik PTPTN dan isu lain yang berkaitan mendapat rungutan dikalangan pelajar dan ibu bapa.

“Atas dasar itulah kita terpanggil untuk menjadikan meja bulat ini sebagai platform kepada kajian dan pada akhirnya kita mengharapkan satu resolusi yang terbaik untuk kita serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita mengharapkan keterbukaan Datuk Seri Najib dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana apa yang penting adalah untuk kebaikan bersama. Sebelum ini pun, Datuk Seri Najib telah memberikan perhatian yang cukup serius hasil Makmal Pemuda BN yang kita adakan dan itulah yang kita harapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Pemuda UMNO di sini, semalam.

Syahrin seterusnya menambah seramai 200 peserta yang akan terlibat daripada seluruh IPTA dan IPTS termasuklah wakil daripada pihak PTPTN.

Malah kata beliau lagi pihaknya juga turut menyediakan kemudahan facebook dan twitter bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir untuk sama-sama memberikan buah fikiran bagi menjayakan lagi rundingan meja bulat berkenaan.

“Orang ramai di seluruh negara boleh turut serta bersama-sama dengan kita menerusi media maya berkenaan. Oleh itu kita amat mengharapkan seluruh mahasiswa termasuklah ibu bapa memberikan cadangan yang terbaik untuk kita rumuskan dalam mencari resolusi yang terbaik berhubung perkara berkenaan.

“Kita akan adakan rundingan meja bulat itu selama tiga hari dua malam bermula pada 10 April ini di Grand Season Hotel, Kuala Lumpur. Mereka yang ingin memberikan pendapat bolehlah melayari facebook kami di www.facebook.com/mejabulatptptn dan akaun twitter pula #mejabulatptptn. Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin akan terlibat sama pada majlis penutup,” katanya. -MediaUMNO

Tuesday, February 21, 2012

Pemuda Umno Gempur Parit Perak


Suara Pemuda UMNO Malaysia bergema di Daerah Perak Tengah, kali ini lokasi dipilih adalah Pekan Parit untuk Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. Pekan Parit adalah antara pekan tertua dan lokasi Parlimen Parit terletak dalam bandar Ilmu iaitu bandar Seri Iskandar.

Mesyuarat Pergerakan Exco Pergerakan UMNO Malaysia yang julung kali diadakan di lokasi pinggir bandar antara aspirasi kini Ketua Pemuda Umno Malaysia YB Khairy untuk mencipta kelainan dalam mesyuarat Exco sebelum ini. Dipercayai mesyuarat ini adalah mandat terkini YB Khairy kepada exco pemudanya sebelum PRU 13.

Beberapa foto sempat dirakamkan penulis di Pekan Parit, Perak sebelum Mesyuarat Pergerakan Exco Pemuda Umno di Pejabat Bahagian Umno Parlimen Parit.




Sumber: Penaksj

Friday, February 10, 2012

Pemuda Umno Selangor Mahu Polis Siasat Kes Pasir


Pemuda Umno Selangor hari ini mahu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan laporan penulis blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin berhubung penglibatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam skandal perlombongan pasir.

Ketua Pemuda Umno Selangor Ungku Mohd Salleh Ungku Abdul Jamal dalam laporan polisnya berkata, di dalam blog tersebut terdapat pendedahan penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam Selangor oleh dua Adun, yang merujuk kepada Adun Batu Caves Amiruddin Shari dan Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei.

Katanya, isu ini harus dipandang serius memandangkan terdapat unsur jenayah rasuah dan berharap kes ini dapat disiasat secepat mungkin.

“Tujuan laporan polis ini dibuat untuk memastikan tindakan serta siasatan rapi dilakukan oleh pihak polis terhadap kesahihan artikel

ini,” katanya dalam satu laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam di sini petang tadi.
Semantara laporan kepada SPRM akan dikemukakan pihaknya Isnin ini.

Raja Petra dalam blognya semalam mendakwa Adun PKR Shuhaimi dan Amiruddin terbabit dalam rasuah untuk meraih kontrak industri pasir di Selangor.

Beliau mendakwa mempunyai rakaman telefon Shuhaimi yang meminta RM50,000 daripada seorang ahli peniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai SC, selain mendedahkan bukti Shuhaimi dan Amiruddin yang menggunakan kuasa sebagai ahli lembaga pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh SC untuk mendapat kontrak melombong pasir.

Walau bagaimanapun, Shuhaimi dan Amiruddin dalam sidang media pagi tadi menafikan penglibatan mereka termasuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dalam skandal itu dan menganggap Raja Petra cuba untuk memfitnah mereka.

‘Siasat semula kes Patrick Wong’

Sementara itu, Ungku Mohd Salleh yang ditemui pemberita diluar IPD Shah Alam berkata pihaknya turut menggesa polis menyiasat semula motif kematian ahli perniagaan Datuk Patrick Wong Kie Yik sama ada kemungkinan ia terlibat dengan kes pembunuhan.

Raja Petra dalam blognya juga mendakwa kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan pasir membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor.

Katanya, ia berdasarkan pertemuan antara beliau dengan mendiang di United Kingdom pada Oktober 2009 atau sebulan sebelum kejadian itu, di mana Patrick telah berjanji untuk mengumpul maklumat mengenai penyelewengan pasir.

Jelas Raja Petra, beliau percaya tiga perompak bersenjata parang yang memecah masuk rumah mendiang di Bukit Bandaraya, Bangsar, adalah pembunuh yang diupah oleh pihak yang terbabit dalam penyelewengan pasir kerana bimbang isu rasuah tersebut didedahkan Patrick.

Dalam kejadian pada 19 November 2009, Patrick, 57, yang ketika itu berada dalam bilik komputer dilaporkan maut apabila terjatuh daripada balkoni, ketika cuba menyelamatkan diri selepas panik melihat dua daripada tiga perompak menyerbu tingkat atas rumahnya.

Bagaimanapun, anak perempuan dan lelaki Patrick yang masing-masing berusia 18 dan 25 tahun serta pembantu rumah tidak diapa-apakan, sebaliknya perompak hanya melarikan dompet mangsa berisi USD300 (RM1,018) dan telefon bimbit milik anak perempuan mendiang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar hari ini meminta Raja Petra mengemukakan bukti dakwaannya bagi membantu polis kerana siasatan pihaknya setakat ini tidak menunjukkan sebarang kaitan pembunuhan itu dengan isu pasir.-FMT

Monday, January 23, 2012

Pemuda Umno - Buang Masa Serang Program ABU


Pemuda Umno Selangor menyangkal dakwaan ahli pergerakan itu terlibat kekecohan melibatkan program ceramah Asal Bukan Umno (ABU) anjuran Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), semalam.

Ketuanya, Ungku Salleh Ungku Jamal berkata, Pemuda Umno tidak diberikan tugas untuk mendengar dan memantau sebarang program yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat (PR) di Negeri Selangor.

Menurutnya, tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada Pemuda Umno adalah untuk memastikan program parti berjalan lancar termasuk, program bantuan kepada rakyat dan menggerakkan jentera pilihan raya.

“Buang masa sahaja, untuk kami pergi ke ceramah mereka, malah saya sendiri pun tidak tahu ceramah ABU ini diadakan.

“Kami masih lagi mempunyai tugas yang banyak untuk diselesaikan daripada datang ke program pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Umno terlibat dalam kekecohan di program ceramah yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, kelmarin.

Ungku berkata, walaupun wujud ceramah yang dianjurkan PR menyentuh isu tentang Umno, namun pihaknya tidak mahu melakukan sebarang tindakan.

“Sebaliknya, kami perlu terus memfokuskan terhadap tugasan yang telah diberikan terutama dalam program mendekati rakyat,” katanya.

Difahamkan, kejadian berlaku pada jam 9 malam, apabila lebih kurang 20 lelaki yang menunggang motosikal dengan bersenjatakan kayu menyerang orang ramai yang berada di dalam dewan tersebut.

Saturday, December 3, 2011

Lagi... Gambar Buat Orang Muda Mahu Tinggalkan Parti Pakatan Haram Jadah! #PAUMNO


SEORANG perwakilan Puteri mencuri tumpuan hadirin apabila melintasi sekumpulan perwakilan Pemuda semasa sesi perbahasan yang masuk hari kedua pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Dewan Merdeka, PWTC. - Utusan/MOHD NAIM AZIZ

Slogan ‘BN Untuk Orang Muda’ adalah bukti pengiktirafan pucuk pimpinan parti kepada golongan muda dalam memastikan bahawa kelompok tersebut terbabit dalam pentadbiran dan memajukan negara.

Slogan ini jelas sekali gambarkan bukan saja peranan yang dimainkan oleh golongan muda tetapi juga sesuai dengan peratusan golongan generasi tersebut yang tentunya mempunyai kuasa dalam memilih kerajaan bagi mentadbir negara selepas pilihan raya akan datang.

Slogan ‘BN Pilihan Orang Muda’ telah dilancarkan untuk Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia di depan lebih 4,000 orang perwakilan kedua-dua sayap itu yang mewakili setiap bahagian seluruh negara Ahad lalu oleh Datuk Seri Najib sendiri dalam majlis Amanat Presiden kepada pergerakan terbabit.

Pemuda PAS dan PKR ruang untuk anda bertaubat masih lagi terbuka...

Thursday, December 1, 2011

Pemuda UMNO Mahu Pemilihan Calon Pilihan Raya Bersih Daripada Sindrom Guna Kabel... #PAUMNO


Pemuda UMNO mahu pemilihan calon pilihan raya umum akan datang bersih daripada sindrom ‘guna kabel’, ‘harap simpati’, ‘peras ugut’ dan ‘golden handshake’ sebagai ganjaran bagi menghargai mereka yang kononnya telah berjasa.

Penolong Setiausaha pergerakan itu, Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, Pemuda UMNO akur dengan calon yang dipilih oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak namun calon-calon itu mestilah bebas daripada sindrom berkenaan.

"Pemuda akan akur dengan calon tak kira tua, muda, baru atau lama, yang dipilih oleh Presiden tetapi kita harap semuanya bersih,” katanya ketika berucap menyokong usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pemuda UMNO tidak mahu Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya disebabkan pemilihan calon yang salah dan berharap senarai calon boleh menang dimaklumkan awal supaya ‘tidak ada yang terluka sehingga berlaku perbuatan sabotaj’.

Megat Firdouz juga mencadangkan supaya individu yang melakukan sabotaj kerana tidak terpilih sebagai calon, dikenakan tindakan keras.

"Pemuda cadang mana-mana pemimpin yang sabo, yang mengamalkan (pendekatan) Si Kitol, mereka tidak dimasukkan dalam senari calon selama dua penggal dan jika mereka ada jawatan dalam parti, dilucutkan jawatan serta merta. Kami tak rela Si Kitol jadi pemimpin akar umbi,” katanya sambil menjelaskan perkara berhubung unsur sabotaj itu turut disebut oleh Najib semasa majlis Taklimat Presiden pada Selasa.

-Bernama

Monday, November 21, 2011

Amanat Presiden Beri Suntikan Motivasi Dapatkan Sokongan Lima Juta Pengundi Muda - KJ


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata Amanat khas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang julung kali diadakan khas bagi sayap Pemuda dan Puteri, semalam merupakan permintaan khusus kedua-dua sayap parti untuk memberi suntikan motivasi memandangkan pengundi muda adalah faktor penentu dalam pilihan raya umum akan datang.



“Selama ini amanat Presiden hanya diberi kepada ketua bahagian atau pemimpin atasan (peringkat) bahagian saja.

“Jadi hari ini kita dapat suntikan semangat sendiri daripada Presiden, dan ini menunjukkan bahawa jentera yang akan keluar untuk mendapatkan lima juta pengundi muda dihargai dan diberi semangat oleh Presiden parti,” katanya.

Beliau berkata Najib turut memberikan pengiktirafan terhadap semua program yang dilaksanakan pergerakan itu, seperti Karnival Kerjaya Pemuda BN, cuma Presiden UMNO mahukan beberapa tambahan dibuat untuk memastikan bahawa peralihan pengundi muda kembali kepada BN.

Jelas beliau lagi Pemuda dan Puteri UMNO turut mengambil berat saranan itu dan yakin hasrat yang dikehendaki Presiden parti mampu ditunaikan berdasarkan sokongan daripada generasi muda terhadap BN semakin baik dalam dua pilihan raya kecil terakhir, katanya.

Pada majlis itu, Pemuda dan Puteri melancarkan slogan baru ‘BN Pilihan Orang Muda’ sebagai identiti baru pergerakan itu dalam usaha memberi lebih pilihan kepada pengundi sasar menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Mulai hari ini semua gerak kerja tertumpu kepada slogan itu, di mana identiti baru itu akan menjadi teras kepada kita. Dari dulu kita ada ‘Undilah Barisan Nasional’ sekarang kita segarkan semula bahawa generasi muda ada pilihan, kuasa ada di tangan mereka, pilihan setelah mereka lihat apa yang telah BN buat dan ditawarkan selama ini,” katanya.

Amanat itu yang julung kali diadakan bermula pada 4.30 petang berakhir satu jam setengah kemudian dengan dihadiri oleh hampir 5,000 orang terdiri daripada seluruh peringkat kepimpinan jawatankuasa tertinggi Pemuda dan Puteri UMNO bahagian.

Friday, October 7, 2011

Suara Pemuda: Kerajaan Umum Pelbagai Insentif Miliki Rumah



Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku, dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.

"Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu membentangkan bajet 2012 di Dewan Rakyat petang ini.

Skim itu dilancarkan pada Mac 2011 untuk memenuhi permintaan rumah bagi golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000.

Perdana menteri berkata, bagi membantu mereka mencapai impian memiliki rumah pertama, kerajaan menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggara perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk mememuhi keperluangan golongan berpendapatan sederhana.

"PRIMA akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak pemilikan kerajaan.

"Justeru, kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa bidang tanah pemilikan kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk projek sedemikian.

"Kerajaan juga akan mengenal pasti kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam sebagai kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PRIMA," kata Najib.

Di samping itu, katanya, PRIMA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta untuk membangunkan projek sedemikian.

Rumah mampu milik berkualiti

Sehubungan, kata beliau, beberapa pemaju swasta juga telah menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti.

"PRIMA akan memainkan peranan supaya proses pengagihan untuk projek-projek ini dijalankan secara telus dan adil melalui sistem pengundian terbuka. Pada tahun 2011, sebanyak 1,880 unit rumah akan mula dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak," tambahnya.

Bagi tahun 2012 pula, katanya, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja.

"Harga rumah yang ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju.

"Sebagai contoh, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga RM150,000 berbanding dengan harga pasaran RM220,000.

"Kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program ini," tambahnya.

Pada kebiasaannya, kata perdana menteri, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana pembeli akan menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atauu lewat disiapkan.

"Bagi melindungi pembeli, kerajaan menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah menggunakan kadedah bina kemudian jual.

Bayar ansuran bila rumah siap

"Untuk tujuan ini, bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh syariah dan mengambil risiko pembinaan.

"Pembeli hanya membayar ansuran setelah rumah siap dibina. Skim ini akan dilaksanakan bagi rumah bernilai RM600,000 dan ke bawah," tambahnya.

Menurut Najib lagi, masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

"Justeru, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75,000 unit rumah mampu milik di bawah RMK-10.
"Bagi tahun 2012, RM443 juta diperuntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR dimiliki.

"Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah lebih selesa," katanya.

Di bawah program ini, kataya, mereka yang mempunyai tanah persendirian dan tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang, boleh mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri.

Menurutnya, SPNB akan diberikan peruntukan tambahan untuk membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun 2012.

Subsidi beli rumah

"Kos rumah yang berharga RM65,000 ini, akan dijual dengan harga RM45,000 sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah, kerajaan akan memberi subsidi sejumlah RM20,000. Sebanyak RM200 juta akan diperuntukkan untuk program ini.

"Selain itu, melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan berjaya memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82 projek yang melibatkan lebih 15,000 unit rumah.

"Kerajaan akan terus melaksanakan usaha murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan RM63 juta untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga memperuntukkan RM40 juta bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta," katanya.

Golongan ekspatriat, kata Najib, turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Jumlah ekspatriat yang bekerja di Malaysia telah meningkat kepada
lebih kurang 41,000 orang.

"Untuk menyediakan suasana kondusif bagi menggalakkan ekspatriat terus berkhidmat di Malaysia, kerajaan akan membenarkan golongan ini mengeluarkan caruman KWSP untuk pembiayaan pinjaman perumahan, sama seperti kemudahan yang diberi kepada warganegara. -Mkini

Friday, September 30, 2011

Karnival Kerjaya Pemuda BN Di Perak Tawar Lebih 5,000 Peluang Pekerjaan


Di atas permintaan rakyat, Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) sekali lagi bakal mengadakan BN Youth Job Fair 2011 dengan menyaksikan negeri Perak sebagai destinasi ke lima penganjuran karnival tersebut.

Pengerusi Sekreatariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda BN, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, karnival ini bakal berlangsung pada 1 dan 2 Oktober akan datang bertempat di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.

Karnival yang mendapat kerjasama Pusat Kerjaya Perak Amanjaya, akan disempurnakan oleh Menteri Besar sendiri, Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir.

“Karnival yang diberi nama ‘Perak Amanjaya Job and Career Fair 2011’ ini akan dibuka kepada pengunjung bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam. Ianya bakal menawarkan lebih daripada 5000 peluang pekerjaan daripada lebih 600 majikan yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat korporat dan institut-institut pengajian tinggi (IPT) di mana sebahagian besarnya daripada negeri Perak itu sendiri.

“Sudah pastinya karnival ini menjanjikan peluang pekerjaan yang menarik dan mengikut semua peringkat kelulusan bermula dari PMR/SRP hingga peringkat tertinggi. Golongan muda haruslah mengambil peluang ini untuk mendapatkan masa hadapan yang lebih baik serta memperbaiki taraf ekonomi diri,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Jelas beliau lagi menyedari kehendak masyarakat, Pemuda BN merasa bertanggungjawab untuk membantu menjadi pemudahcara kepada golongan muda di negeri Perak khususnya dalam membantu mengurangkan statistik pengangguran di negeri tersebut.

Pelbagia program turut diatur sebagai pengisian karnival antaranya bengkel kewartawanan, bengkel forografi dan taklimat kerjaya yang akan diberikan oleh Azhar Sulaiman, Noh Hujan dan YM Tengku Faris.

“Saya menyeru kepada orang ramai agar datang beramai-ramai ke karnival ini dan buatlah persediaan yang sepatutnya seperti menyediakan dokumen lengkap dan berpakaian kemas kerana temuduga terbuka turut diadakan,” katanya lagi.-MediaUMNO

Wednesday, September 28, 2011

Tindakan Biadap Guan Eng… Pemuda Akan Serah Memorandum Kepada DAP


Pemuda UMNO menerusi Pemuda UMNO Johor akan menyerahkan memorandum kepada DAP negeri itu berhubung kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang memburukkan negeri Johor baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata memorandum berkenaan akan diserahkan kepada DAP Johor agar Setiausaha Agung mereka menarik balik kenyataan tersebut serta memohon maaf kepada Sultan dan rakyat Johor serta rakyat Malaysia.

"Pemuda melihat kenyataan tersebut tidak bertangungjawab serta biadap apabila memburukkan negeri lain dalam usaha menarik pelabur ke Pulau Pinang.

"Cara beliau jelas memperlekehkan negeri lain dan saya melihat kenyataan beliau itu sama dengan apa yang pernah dikeluarkan Lee Kuan Yew sebelum ini.

"Justeru kita akan hantar memorandum dalam masa terdekat dan kita juga mahu tahu daripada mana Guan Eng mendapat statistik berhubung apa yang disebut itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Bangunan UMNO Shah Alam, di sini hari ini.

TV3 menerusi Buletin Utama semalam mendedahkan bagaimana Lim Guan Eng pada majlis makan tengah hari dengan persatuan Wartawan Asing Singapura telah memburukkan negeri Johor yang dianggap tidak selamat apabila berdepan kemungkinan diculik berbanding keselamatan di Pulau Pinang.

Khairy seterusnya menegaskan situasi di Johor sebenarnya jauh lebih baik daripada apa yang disebut oleh Guan Eng kerana Johor hari ini menjadi tumpuan rakyat Singapura untuk membeli belah dan sebagainya.

"Saya rasa kes penculikan bukanlah sesuatu yang berleluasa hingga beliau boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa,"

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata mesyuarat Exco Pemuda UMNO akan diadakan di setiap negeri sehinggalah pilihan raya akan datang.

“Hari ini Selangor telah dipilih sebagai lokasi pertama mesyuarat Exco Pemuda di Luar Kuala Lumpur. Menerusi kaedah ini, kita ambil kesempatan untuk berjumpa dengan kepimpinan Pemuda di peringkat negeri untuk mengetahui dengan lebih dekat persiapan menghadapi pilihan raya nanti.

"Menerusi kaedah ini kita harap jentera kita dapat menyalurkan maklumat serta masalah secara terus kepada keimpinan pusat," katanya. -MediaUMNO

Wednesday, September 14, 2011

Pemuda Berjaya Daftar 8,000 Ahlinya Sepanjang Program JOM Ramadhan


Pemuda UMNO berjaya mendaftarkan 8,000 anggotanya sebagai pengundi pada program JOM Ramadhan yang berlangsung di bulan Ramadan sehingga Aidilfitri minggu lepas.

Pengerusi Biro Pemilih dan Keahlian Pemuda UMNO, Hisamuddin Yahya berkata angka itu satu pencapaian memberangsangkan, sekali gus menambah keyakinan dapat mendaftarkan baki 51,000 lagi dalam masa terdekat.

Jelas beliau lagi Sabah mencatatkan jumlah anggota paling ramai belum mendaftar sebagai pemilih, iaitu kira-kira 21 peratus daripada angka tersebut.

“Perak dan Selangor pula masing-masing mencatatkan sekitar sembilan peratus”, katanya.

Beliau berkata Ketua Pemuda UMNO Sabah, Awang Kading telah memulakan usaha untuk mendaftar kira-kira 20,000 anggotanya.

Selain itu tambahnya lagi Pemuda UMNO juga bercadang untuk menghantar pasukan khas keSabahbagi membantu proses pendaftaran tersebut, terutama di kawasan pedalaman.