Wednesday, May 16, 2012

Bila Pilihanraya?


Perdebatan yang hangat di sebuah rancangan fantasi mengenai "Bila Pilihanraya".. Saksikan di you tube ini..



Bila sampai masanya.... janji undi!

Unit Media Baru UMNO : Ulasan Mengenai 'Tabiat' Pembangkang! @tunfaisal


Tindakan pihak pembangkang yang sering menuduh blogger-blogger Umno sebagai dalang menabur fitnah ke atas mereka disangkal oleh Pengerusi Unit Media Baru Umno (UMB), Tun Faisal Ismail.

Tun Faisal ketika ditemui baru-baru ini berkata, pembangkang dewasa ini seolah-olah sudah menjadikan ‘standard operating procedure’ (SOP) mereka untuk meletakkan semua kesalahan di atas bahu Umno sebagai usaha melepaskan diri mereka yang sudah tersepit akibat masalah moral sendiri.

Menurutnya, pimpinan pembangkang dalam Pakatan Rakyat amat jarang mengakui kelemahan dan kesalahan sendiri sebaliknya lebih selesa untuk menuduh orang lain.

Terbaru, katanya membabitkan isu penyebaran gambar seorang yang dikatakan mirip Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali yang dikatakan sedang menjalankan hubungan sulit. Pembangkang mendakwa Umno yang bertanggungjawab menyebarkan gambar yang tersebar meluas di internet itu.

“Kita kena faham, SOP pembangkang ini mudah. Mereka jarang nak mengaku, tak pernah nak mengakui kesalahan sendiri. Sebaliknya akan tuduh orang lain pada kesalahan yang dia buat.

“Samalah, kita tengok (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), (Datuk) Ambiga (Sreenevasan), (Lim) Kit Siang, termasuk yang baru, Azmin.

“Dia (pembangkang) akan tuduh. Kali ini masalahnya mereka tahu sebenarnya dalam Keadilan sendiri ada konflik. Ada pihak yang tak suka Azmin,” kata Tun Faisal.

Tambah beliau, mungkin kesempatan-kesempatan dan kelemahan-kelemahan Azmin telah dimanipulasikan oleh musuh-musuh politik dari partinya sendiri lebih-lebih lagi di saat pilihanraya umum semakin hampir.

Oleh itu katanya, Azmin harus mencerminkan dirinya terlebih dahulu sebelum mahu menuduh Umno yang mahu menjatuhkannya.

“Azmin tuduh bila ada video dan gambar yang seperti dia di internet, dia terus tuduh blogger Umno yang buat, sebar bahan-bahan ini di internet. Tapi sebenarnya Azmin kena lihat orang di sekelilingnya.

“Kalau tengok apartment yang dia pergi, tiada orang Umno yang tahu. Saya rasa hanya kalangan yang rapat dengannya sahaja yang tahu. Benda begini (apartment) tiada orang Umno atau Barisan Nasional yang tahu melainkan org Keadilan sendiri.

“Sama macam Anwar, yang dedah bukan orang Umno. Yang dedah adalah sahabat Anwar sendiri, (Datuk) Nallakaruppan dan Datuk (Shazryl) Eskay. Jadi samalah dalam kes Azmin ini, musuh-musuh beliau ada di dalam parti yang mungkin adalah sahabat beliau,” tegas Tun Faisal.

Exco Pemuda Umno Malaysia itu turut menambah yang Azmin telah bertindak secara melulu dengan menyalahkan blogger-blogger Umno dalam perkara tersebut sedangkan UMB sendiri menurutnya, tidak akan tergamak untuk memainkan perkara sedemikian.

Ini katanya adalah berdasarkan fakta bahawa setiap blogger di bawah naungan UMB mempunyai etika dan peraturan yang perlu diikut kerana mereka membawa nama parti yang perlu dijaga.

Sebagai jentera parti katanya, peranan sebenar UMB adalah untuk memberi penerangan tentang kebaikan dasar-dasar kerajaan melalui media social seperti Facebook, Twitter dan blog.

Selain itu katanya, UMB turut berperanan di dalam menangkis serangan-serangan yang dilakukan oleh pembangkang terhadap kerajaan.

“Bila dasar diserang, diperlekeh pembangkang, mereka memperlekehkan tanpa fakta dan penipuan. Ini masalahnya. Dan mereka guna kaedah-kaedah yang tak baik. Mereka melabel pemimpin-pemimpin kita menggelar itu dan ini dan akhirnya menyebabkan kita terpaksa beri respon.

“Dan dalam banyak keadaan, kita menangkis penipuan itu dengan fakta dan kita menangkis dengan kaedah-kaedah kita sendiri. Sebab itu peranan kita adalah, pertama kita menyebarkan maklumat, kedua, kita tangkis fitnah pembangkang,” katanya. - AntaraPos

Ariff Sabri Ganti Tunku Aziz?


Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang juga Naib Pengerusi DAP dan bekas Pengerusi Transparency International Malaysia yang sejak 2008 bersama DAP kerana yakin parti tersebut benar-benar telus, adil dan ikhlas memperjuangkan demokrasi berparlimen akhirnya terpaksa mengundur diri.

Semuanya gara-gara perbezaan pandangannya dalam isu penganjuran demonstrasi BERSIH 3.0 yang tidak dipersetujuinya kemudian membawa kepada bantahan pemimpin atasan DAP yang menyifatkan Tunku Aziz telah melanggar prinsip kepimpinan DAP selain memalukan parti.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng merangkap Setiausaha Agung DAP yang meningkat naik dalam hierarki kepimpinan parti hasil hubungan kekeluargaan dengan Lim Kit Siang (anak & ayah) merupakan antara pemimpin utama DAP yang mengkritik teguran Tunku Aziz berkaitan BERSIH 3.0.

Ringkasnya, apa yang menimpa Tunku Aziz menambahkan lagi koleksi bukti dan kebenaran betapa tempangnya amalan demokrasi dalam kepimpinan DAP. Demokrasi dan kebebasan yang dilaungkan tidak lebih sekadar retorik politik.

Persoalan sekarang, siapakah lagi yang akan menggantikan kekosongan dan kemudian bakal menjadi mangsa 'ketelusan dan kebebasan ala DAP' selepas Tunku Aziz mengundur diri?

Adakah benar ura-ura sumber dalaman DAP yang mahu mengangkat naik bekas ahli UMNO, Ariff Sabri sebagai galang ganti kepada Tunku Aziz benar-benar akan menjadi kenyataan bagi menampakkan betapa multiracialnya DAP selain melanjutkan satu lagi episod 'ketelusan ala DAP'?

Jika diambil kira dari segi strategik kepartian, Ariff Sabri boleh dikira cukup layak memandang pengalaman luasnya sebagai pemimpin pertengahan UMNO suatu ketika dulu yang jika pandai dimanfaatkan oleh DAP tentu saja memberi keuntungan politik.

Pun begitu, seorang lagi Melayu liberal & berfikiran 'terbuka' iaitu Hatta Watari yang juga bekas wartawan Utusan walaupun tidak termasuk dalam senarai, juga berpeluang mengisi kekosongan jawatan 'dummy' yang ditinggalkan oleh Tunku Aziz.

Siapa saja yang bakal menggantikan Tunku Aziz, keputusan muktamadnya hanya akan diketahui beberapa ketika nanti. Yang pastinya pemusatan kuasa kepimpinan sama sekali tidak akan beredar dari tangan Dinasti Lim.

Tuesday, May 15, 2012

Polemik Negara Islam PAS-DAP Akan Kuburkan PAKATAN


Nampaknya setiap kali hampir demam pilihan raya, isu negara Islam akan timbul semula.

Yang menjadi karektor dalam adegan polemik isu negara Islam ialah PAS sebagai protaganis atau pelopor dan DAP yang menentang atau antagonis.

Setiap kali PAS membuka mulut cuba menghidupkan impiannya untuk membentuk Daulah Islamiyah a ala acuan politiknya, DAP akan segera menghentam.

Lebih dua dekad lalu semasa kedua-dua parti masih menjadi seteru ketat politik, Karpal Singh mencabar pemimpin PAS supaya 'langkah mayatnya dahulu' jika berani menampilkan cita-cita perjuangan mereka.

Kini perkelahian mereka masih berterusan; yang berbeza hanya kedua-duanya kini menjadi rakan kongsi dan kawan baik dalam Pakatan Rakyat.

Terkini, Karpal yang sudah menjadi Pengerusia Kebangsaan DAP mengkritik Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kerana bercakap mengenai cita-cita PAS mahu menubuhkan negara Islam.

Abdul Hadi berkata sekiranya parti itu menjadi rakan kongsi terkuat dalam kerajaan pusat apabila memerintah kelak, impian itu akan menjadi realiti.

Malah PAS mahu meminda Perlembagaan Persekutuan untuk merealisasikan cita-citanya itu.

Bagi DAP, negara Islam versi PAS akan bermakna berkuburnya parti yang memperjuangkan slogan 'Malaysian Malaysia' - satu perjuangan yang hanya berlandaskan kepada konsep rasisme Cina.

PAS dan DAP hanya bersatu di dalam Pakatan Rakyat atas peranan pujukan PKR yang diterajui Anwar Ibrahim.

Tanpa Anwar, tidak mungkin PAS dan DAP akan duduk semeja apatah lagi tidur sebantal.

Dengan masalah dalaman melanda PKR yang semakin parah dan kucar kacir, ia tidak lagi mampu menjadi simen yang mencantumkan perkahwinan antara PAS dan DAP.

Tambahan lagi, Anwar yang dibebankan dengan skandal seks songsang berpanjangan tidak mungkin dapat mempertahankan maruah, moral dan kredibilitinya sebagai pemimpin Pakatan Rakyat.

Mungkin api persengketaan dapat diredakan pada permukaannya tetapi perkelahian PAS-DAP adalah seperti api dalam sekam yang akan membakar seluruh Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.

Setelah lima wakil parlimen PKR melompat menjadi anggota bebas dalam Dewan Rakyat, PKR tidak lagi menjadi blok terbesar dalam pakatan pembangkang.

Jawatan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dalam Parlimen hanya dikekalkan sebagai tanda hormat PAS dan DAP, tidak lebih daripada itu.

PAS dan DAP muncul sebagai dua parti yang lebih kuat daripada PKR.

PKR dilihat sebagai parti ang tidak boleh diharap untuk memimpin pakatan pembangkang kerana kualiti pemimpin-pemimpinnya yang lemah serta tidak kukuh prinsip perjuangan.

Maka dalam pertembungan PAS-DAP kali ini dalam isu negara Islam, mereka mungkin tidak mendengar lagi nasihat Anwar, dan tidak mustahil mengambil haluan masing-masing.

Lagi pun PAS berpendapat mereka tidak lagi memerlukan PKR untuk terus berkuasa di Kedah dan Kelantan, sementara DAP yakin kekal memerintah di Pulau Pinang dan beranggapan pengaruhnya melebihi PKR di Sabah dan Sarawak.

Natijahnya, akan berlaku perebutan kuasa hebat antara PKR, PAS dan DAP menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti.

Mimpi gah mereka untuk menawan Putrajaya hanya akan tinggal mimpi dan fatamorgana yang semakin pudar dan akhirnya lenyap.

EGM Majlis Peguam Tidak Sah: Rusuhan di Rumah Lim Chee Wee Pula?


Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam yang diadakan Jumaat lepas untuk membincangkan Perhimpunan BERSIH 3.0 menyaksikan pertelagahan pendapat di antara ahli-ahli yang hadir.

Beberapa orang ahli majlis tersebut mengkritik sifat berat sebelah dan tidak professional Majlis Peguam dalam membincangkan resolusi kerana jelas pihak jawatankuasa telah menyembunyikan sebahagian fakta dari dibentangkan dalam perbincangan. Dalam mesyuarat tersebut, hanya video yang menunjukkan polis memukul perusuh yang ditayangkan sementara video yang menunjukkan keganasan sengaja dicetuskan oleh perusuh langsung tidak ditunjukkan walaupun pihak mereka memilikinya.

Berdasarkan pembentangan fakta yang tidak lengkap itu, Majlis Peguam kemudian telah memutuskan resolusi yang seratus-peratus menyalahkan pihak polis. Kesalahan pihak penganjur dan perusuh yang mengingkari undang-undang pula langsung tidak diambilkira.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga rungutan mengenai kehadiran pelajar ‘chambering’ di EGM tersebut yang turut mengundi usul yang dibentangkan sedangkan mereka tidak layak untuk mengundi. Ini menyebabkan ramai ahli yang tidak puas hati dan mendesak agar Mesyuarat tersebut diumumkan sebagai tidak sah.

Menurut Presidennya, Lim Chee Wee, resolusi tersebut tidak boleh dipertikai tetapi pihak yang mempertikai boleh membawa perkara tersebut ke mahkamah. Alasan beliau, ahli-ahli punya hak untuk bertentangan pendapat. Dalam ertikata lain, Majlis Peguam berhak membuat keputusan apa saja walaupun terdapat fakta yang disembunyikan serta dikira di atas undi yang tidak sah.

Jika Majlis Peguam sendiri tidak menitikberatkan undang-undang, atas dasar apa lagi harus kita hormati mereka sebagai pengamal undang-undang?

Walaupun Majlis Peguam cuba menafikan tetapi umum sedia maklum bahawa Majlis Peguam adalah proksi kepada Pakatan Rakyat.

Justeru, tidak mustahil tindakan Majlis Peguam ini adalah berdasarkan undang-undang baru yang bakal diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat (PR) jika mereka memerintah.

Dalam undang-undang PR ini, mana-mana rakyat yang tidak puas hati terhadap sesuatu perkara boleh berarak di mana saja, mengganggu sesiapa saja dan menceroboh mana-mana kawasan larangan bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Jika dihalang oleh pihak berkuasa, maka mereka berhak mengganas dan pihak berkuasa tidak boleh sama sekali mengambil tindakan terhadap mereka.

Selain itu, undang-undang baru ini juga membenarkan pihak pengamal undang-undang untuk menyembunyikan mana-mana bukti atau fakta yang tidak memberi keuntungan atau tidak menepati kepentingan mereka. Hukuman juga boleh dijalankan dengan hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja.

Kita telah pun menyaksikan undang-undang ini dipraktikkan oleh Majlis Peguam sendiri hari ini, serta dalam pemilihan parti PKR suatu ketika dahulu di mana membawa kepada pergaduhan besar dan memaksa beberapa pemimpin dan ahli keluar parti.

Mungkin Majlis Peguam perlu ‘merasa ubat mereka sendiri’ (a taste of their own medicine) sepertimana yang dilalui oleh Ambiga, bekas Presiden mereka serta Penganjur BERSIH 3.0 baru-baru ini.

Apabila Ambiga ‘disuapkan’ dengan Perhimpunan Aman oleh para peniaga di hadapan rumahnya, beliau tiba-tiba melenting dan meroyan marahkan para peserta.

Justeru, kita agak, mungkin Lim Chee Wee juga ingin sangat merasa ubat yang sama iaitu mengundang Perhimpunan Aman di hadapan rumahnya pula. Lebih elok jika perhimpunan tersebut bertukar ganas dengan para peserta memprovok, mencabar, menghamun, mencacinya, dan kemudiannya melompat dan memusnahkan keretanya serta mencederakannya.

Dalam pada itu, pihak polis adalah dilarang sama sekali untuk masuk campur atau akan didakwa oleh Majlis Peguam sebagai ‘keganasan polis’. Apa kata Lim Chee Wee?

Senaman Punggung 1.0 Depan Kediaman Ambiga




Persatuan Veteran Tentera Melayu Selangor dan Wilayah Persekutuan (PVTM) mengadakan demonstrasi di luar rumah Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga di Bukit Damansara pada Selasa.

Kira-kira 10 ahli PVTM membuat senaman ‘menonggeng’ pada pukul 8.30 pagi sambil menggelarkan Ambiga dengan ‘musuh negara’ yang telah merosakkan imej Malaysia.

Ambiga kemudiannya keluar dari rumahnya untuk menerima poster yang diberikan oleh kumpulan berkenaan.

Ini merupakan demonstrasi kedua yang dibuat di rumah Ambiga.Pada 10 Mei lalu, sekumpulan peniaga mengadakan ‘protes burger’ di luar rumahnya kerana kecewa pendapatan mereka yang merosot kerana Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu .

Cakap tak serupa bikin da...