Tuesday, July 3, 2012

PM Mahu Kakitangan Kerajaan Contohi 'Kelainan' Sepanyol di Euro 2012


Jangan lihat perlawanan akhir Euro 2012 antara Sepanyol dan Itali pagi Isnin hanya dari sudut bola semata-mata.Ini harapan Datuk Seri Najib Tun Razak pada kakitangan kerajaan.

Perdana Menteri mahu kejayaan Spanyol menumpaskan Itali 4-0 awal dijadikan teladan.

Katanya ia dalam aspek mencari idea-idea yang ada kelainan

Najib yang yang memang dikenali ramai sebagai 'peminat bola' itu menilai kejayaan Sepanyol kerana pasukan itu menampilkan pendekatan baharu dengan beraksi tanpa pemain penyerang, sebaliknya bergantung kepada enam pemain tengah untuk menjaringkan gol.

"Ia adalah satu bentuk formation yang 'unconventional', 'untested', tapi akhirnya berjaya menjadikan dia (Sepanyol) sebagai juara Eropah. Sebagai sebuah kerajaan juga kita sentiasa mencari idea-idea yang ada kelainan,' katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya Isnin.

Najib Tun Razak berkata, penjawat awam perlu sentiasa mengambil sikap Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) sebagai panduan dalam melaksanakan tugas harian.

Beliau berkata sikap ini pula perlu disokong dengan satu lagi akronim - PCI- 'Productivity, Creativity an Inovation', supaya perkhidmatan awam tidak dilihat bagai sentiasa cepat berpuas hati dengan pencapaian serta urusan harian, atau selesa dengan "business as usual".

Katanya, sektor perkhidmatan awam perlu terus berusaha gigih secara terancanguntuk meningkatkan prestasi supaya rakyat berasakan kerajaan dan perkhidmatan awamnya sentiasa dapat memberi kepuasan yang kian meningkat kepada masyarakat.

"Dua akronim ini mencerminkan proses pembaharuan yang perlu kita lakukan, yang lebih inovatif, yang kita inginkan sebagai sebuah perkidmatan kerajaan yang sentiasa mencari idea-idea baru yang lebih bernas untuk rakyat," katanya.

Dalam memberi contoh kejayaan PCI ini, Najib merujuk kepada kejayaan kerajaan mewujudkan 'Urban Transformation Centre' di Melaka baru-baru ini, yang menurutnya dapat dibangun dengan pantas sekali.

Beliau berkata, ia merupakan satu pembaharuan yang ketara apabila badan-badankerajaan pusat dan juga negeri dapat dihimpun di bawah satu bumbung bagi memudahkan orang ramai berurusan.

Katanya, menerusi usaha itu, orang ramai boleh membuat pelbagai urusan, seperti membayar zakat, cukai, tukar MyKad, urusan pasport, bayar saman dan sebagainya di satu kawasan sahaja.

"Tempoh waktu pejabat ialah antara 8.30 pagi dan 10 malam tiap hari. Ini satu pembaharuan mungkin tidak ada negara lain di dunia yang ada perkhidmatan sebegini, yang mampu kita sediakan untuk memberi kepuasan dan keselesaan kepada rakyat," katanya.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri atas kejayaan mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), apabila badan dunia itu memberikan anugerah 'United Nations Public Service Awards' (UNPSA) 2012, kepada usaha ICU dalam membasmi kemiskinan.

Beliau berkata, anugerah itu pengiktirafan ke atas inisiatif ICU membangunkan sistem e-Kasih, yang diberikan di bawah kategori 'Advancing Knowledge Managementin Government'.

Menurutnya, anugerah itu merupakan satu kebanggaan kepada perkhidmatan awam dan kerajaan, walaupun semasa ada pihak-pihak tertentu yang cuba menafikan apa jua kejayaan yang dicapai, semata-mata kerana tujuan politik.

"Kita mesti yakin dengan usaha kita, dengan niat yang baik kita boleh capai kejayaan dan dapat pengiktirafan di peringkat nasional, kita akan teruskan usaha bagi mencapai kejayaan demi kejayaan," katanya.

Perdana Menteri seterusnya memberi contoh penyenaraian Felda Global Ventures, yang peringkat awalnya berhadapan dengan pelbagai usaha pihak tertentu yang cuba menggagalkannya, namun apabila disenaraikan ia mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan.

Sistem e-Kasih ialah satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional dan ia boleh diakses serta diguna oleh semua agensi kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkaitan bagi tujuan perancangan, koordinasi dan memantau program membasmi kemiskinan di Malaysia, dan unit ICU mendapat anugerah berkenaan daripada PBB pada 25 Jun lepas. - Agendadaily

Monday, July 2, 2012

Azan Ismail: Sampah PKR Yang Tidak Laku


Penulis agak tersentak bila membaca akhbar semalam mengenai Ahli Parlimen Indera Mahkota daripada PKR, Azan Ismail yang mendakwa pernah ditawar jutaan ringgit oleh BN untuk lompat parti. Katanya, habuan itu ditawar oleh seorang individu yang ditemui di sebuah hotel pada 27 Januari 2010.

Penulis bukan tersentak kerana percayakan berita tersebut tetapi kerana pemikiran penulis menjadi kosong bila cuba mengingatkan siapakah Azan Ismail. Jarang sekali didengar namanya, jadi apakah signifikannya personaliti ini dalam politik Malaysia? Jika menurut laporan akhbar tersebut, Azan ada mengatakan bahawa ada beberapa lagi ahli parlimen lain yang turut menerima tawaran lumayan yang sama dan mereka terdiri daripada wakil pembangkang yang dianggap berkualiti. Penulis ulangi, BERKUALITI.

Justeru, penulis tertanya-tanya bagaimana pula penulis tidak dapat mengingati seorang pemimpin pembangkang yang berkualiti dan benarkah ada pemimpin pembangkang yang berkualiti? Kerana tidak puas hati, penulis pun melayari nama Azan di internet.

Antara berita mengenai Azan yang paling popular ialah pada 29 April 2008 apabila beliau telah bertindak biadap apabila dengan sengaja tidak bersalam dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam satu majlis rasmi. Lalu, penulis pun mendapat gambaran bahawa Azan adalah seorang manusia yang tidak dididik dengan adab, dan tidak tahu mengenai etika dalam majlis.

Berita lain mengenai Azan, penulis dapati dari sebuah laman web SuaraKuantan pada 20 May 2010 di mana rakyat Kuantan menyatakan pada Azan bahawa mereka telah bosan dengannya.

Suka penulis memetik kata-kata rakyat Kuantan di sini: “Kepada saudara Azan Ismail, kami pengundi di parlimen Indera Mahkota dah tak tau nak cakap macam mana. Jika saudara tidak boleh membantu kami, elok sahaja saudara letak jawatan sebagai ahli parlimen. Untuk makluman semua rakyat Malaysia, saudara Azan Ismail langsung tidak pernah menunaikan tamggungjawab sebagai ahli parlimen…”

Marah benar rakyat kawasannya terhadapnya sehingga melemparkan kata-kata yang tidak enak didengar di mana tak sanggup untuk penulis petikkan kembali di sini.

Satu lagi berita mengenai Azan yang wajib diketahui semua ialah beliau telah ditolak oleh partinya sendiri. Pada 18 Jun lalu, akhbar Sinar Harian melaporkan, Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau mencalonkan Lee Chean Chung untuk bertanding di kawasan Azan iaitu di Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Alasan yang beliau beri ialah “Saya bukan penilai prestasi, tetapi menyenaraikan calon berdasarkan kehendak pucuk pimpinan termasuk keperibadian dan akhlaknya.”

Bukankah ini merupakan isyarat jelas bahawa PKR sendiri menolak Azan dan menganggap beliau tidak mempunyai keperibadian dan akhlak yang ‘memuaskan’?

Maka, inikah Azan Ismail yang kononnya ‘berkualiti’ sehingga mendapat tawaran lumayan untuk lompat parti? Apa kejadahnya BN ingin membeli Ahli Parlimen biadap, tidak berguna dan tidak berakhlak seperti Azan?

Sebenarnya, Azan telah menyedari yang dirinya sudah menjadi barangan yang tidak diperlukan dan kerana itu beliau berusaha menarik perhatian kepimpinan PKR dengan cuba bermain tarik tali.

Pesan penulis, jika Azan ingin bermain tarik tali, tak perlulah mengajak BN bermain sama kerana BN tidak perlu membeli sesiapa apatah lagi orang yang tidak berkualiti.

Sedangkan semua yang tidak berkualiti di dalam BN pun ramai yang sudah ditendang atau lari keluar dengan sendirinya seperti Kadir Sheikh Fadzir.

Justeru, Azan perlu terima hakikat bahawa orang yang tidak berkualiti adalah tidak laku, dan tempat mereka adalah di dalam tong sampah sahaja. Dan tong sampah itulah parti PKR yang mana Azan telah pun berada di dalamnya.

Anwar Dan Azmin Hadapi Tuduhan Baru


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; timbalan presidennya Azmin Ali dan seorang lagi pemimpinnya, Badrul Hisham Shaharin berhadapan dengan satu lagi tuduhan hari ini, berkaitan dengan perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu.

Ketiga-tiga mereka dikenakan tuduhan bersubahat berkaitan dengan perhimpunan itu, yang diadakan di kawasan berhampiran Dataran Merdeka.

Pada 22 Mei lalu, Anwar, Azmin dan Badrul meminta dibicarakan atas tuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu di twitter seperti biasa Anwar menundingjari terhadap Umno..