Thursday, August 2, 2012

Rumah Urut: Ronnie Liu Usah Tipu Rakyat



SUARA Keadilan atau biasa disebut sebagai Suara Penipuan ini sekali lagi tanpa malu menayangkan kebebalan dalam menjalankan fungsinya sebagai lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin sepenuhnya oleh keluarga Anwar Ibrahim, anak beranak.

Mana tidaknya, dalam keluaran terbaru akhbar tersebut, Suara Keadilan memetik kenyataan Exco Selangor yang bertanggungjawab bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ronnie Liu bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak pernah mengeluarkan waima satu lesen pun rumah urut dan pusat hiburan!!

Sebaliknya, kesemua lesen sedia ada kononnya dikeluarkan oleh kerajaan BN terdahulu.

Ramai di antara rakyat Selangor yang penulis temui ketawa tidak kering gusi dengan kenyataan terbaru ini. Tanpa berkata sepatah, mereka membawa penulis ke beberapa lokasi perniagaan yang dibangunkan sepanjang 4 tahun Pakatan Rakyat memerintah Selangor, iaitu di sekitar kawasan Seri Kembangan dan Puchong. Penulis berani kata baru kerana masih ada kerja-kerja pembinaan di beberapa tempat, malah banyak diantara kawasan tersebut baru sahaja diduduki peniaga beberapa bulan yang lepas.

Pada mulanya penulis menggunakan jari, tapi bila jumlah rumah urut, pusat refleksologi dan pusat hiburan yang ditunjukkan semakin bertambah dari lorong ke lorong, penulis terpaksa menggunakan kalkulator pula. Di penghujung ‘tour’ itu, penulis mengira, ada lebih dari 50 buah pusat urut, refleksologi dan hiburan yang dijumpai. Itu di 2 kawasan sahaja, belum seluruh negeri Selangor lagi.

Persoalan penulis, siapa yang keluarkan lesen untuk kesemua pusat-pusat maksiat ini?

Takkan kerajaan BN kot, sebab banyak dari lokasi perniagaan tersebut baru sahaja diduduki peniaga? Bagaimana BN boleh terlibat memberikan lesen-lesen operasi ini sekarang bila mana bukan mereka lagi yang berkuasa.

Kalau benarpun kerajaan BN yang keluarkan (walaupun tidak logik), kenapa PBT tidak menjalankan pemantauan serta menutup pusat-pusat maksiat ini? Adakah alasannya kerana kerajaan BN juga?

Itu yang berlesen, bagi yang tidak berlesen pula, masih lagi kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan. Masih lagi nak menyalahkan BN?

Jadi Ronnie Liu, usah temberang dan cuba memperbodohkan rakyat. Orang di Selangor tahu bahawa kenyataan Ronnie Liu itu tidak benar, malah kalau benar sekalipun (kalau), kerajaan Selangor masih boleh mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

Pendek kata, pusing macam mana pun, tetap kerajaan negeri sekarang yang perlu bertanggungjawab.

PAS Tetap Barua DAP


Dalam kenyataan terbaru Setiausaha Agung PAS dua hari lepas kepada media, sekali lagi khalayak umum 'dikejutkan' dengan hasrat PAS untuk menjadi tulang belakang kepada gerombolan PR.

"Pas tetap akan jadi tulang belakang bagi PR," demikian tegas dan yakin sekali bunyinya kenyataan Mustafa Ali.

Entah mimpi apa yang mengganggu Mustafa malam sebelumnya sehingga memaksa dirinya untuk mengulangi kenyataan tersebut untuk entah ke berapa kali.

Dalam jangka waktu sebulan dua ini kerap betul pemimpin PAS bermimpi nak jadi tulang belakang. Sebelum ini pun, Presiden PAS, Hadi Awang juga pernah beberapa kali mengeluarkan kenyataan bernada sama.

Tinggi sungguh angan-angan pemimpin PAS mahu menaiktaraf parti mereka supaya dilihat dan diiktiraf oleh khalayak sebagai tulang belakang kepada Pakatan Rakyat (PR). Elok-elok dilahirkan sebagai orang, tiba-tiba nak jadi tulang belakang, mimpi kot.

Sebetulnya, PAS sekarang berada dalam keadaan agak tertekan. Bukan sahaja tertekan dengan pelbagai isu kepimpinan dalaman parti yang sehingga menjerumuskan PAS kepada masalah kecelaruan prinsip, malah turut terbelit dengan masalah terlebih-lebih menjadi balaci.

Sejak PKR, DAP dan PAS bersekedudukan dan berkomplot mencipta pakatan pembangkang, umumnya masyarakat melihat komplot pakatan tersebut diketuai oleh PKR dengan bantuan dukungan kuasa disebalik tabir yang diterajui oleh DAP.

Sementara PAS pula kekal tarafnya sejak dulu hingga sekarang sebagai balaci merangkap barua paling setia kepada DAP dan PKR.

Pentingnya peranan PAS dalam gerombolan komplot pakatan tersebut boleh digambarkan seperti berikut, "tanpa PAS di sisi, bermakna sukarlah dicari ganti para barua yang setia mengikut kehendak ketua dan pendukungnya".

Itu identiti PAS semenjak berkomplot bersama DAP dan PKR yang sudah sebati dihayati oleh pemimpin dan penyokongnya. Setia dan sanggup menurut apa saja kemahuan ketuanya hatta kalau disuruh untuk meniarap atas jalanraya pun sanggup dilakukannya.

Namun kini PAS menyedari statusnya sebagai balaci dan barua bukannya membawa kebaikan melainkan lebih menjahanamkan lagi identitinya sebagai sebuah parti politik yang sepatutnya memiliki jatidiri sendiri, maka PAS cuba merubah persepsi umum.

Disebabkan itulah beberapa bulan kebelakangan ini, pemimpin PAS banyak bercakap perihal tulang belakang dan cuba menunjuk kekuatan melalui kerahan perhimpunan - segalanya dilakukan untuk mengikis identitinya sebagai balaci dan barua DAP.

Selepas kalimah Allah s.w.t digadai, stelah prinsip negara Islam dicampak ke longkang, setelah ranap akidah berpuluh muslim dan selepas jahanam anak bangsa dek kerana penangan LGBT, baru PAS cuba keluar dari tugasan sebagai balaci DAP?

Masalahnya, sama ada persepsi umum mahupun identiti hakiki PAS, sudah termaktub sukar untuk dikikis selagi para pimpinan PAS cuma berani seketika untuk tunjuk lagak kemudian terus menikus tunduk mengikut kehendak DAP setelah dihentam dan di brainwash dalam mesyuarat tertinggi.

Mahu tidak mahu, PAS perlu terima hakikat yang tersurat, tidak kira berapa banyak tulang belakang sotong mahu ditukar ganti oleh pemimpin PAS, realiti tetap realiti - PAS tetap balaci dan barua DAP.

Wednesday, August 1, 2012

Perjuangan BN Demi Rakyat, Demi Masa Depan


Sesuatu produk yang baik akan bertahan lama, biarpun begitu banyak produk baru yang muncul di pasaran. Malah, produk-produk baru itu juga tidak dapat tidak akan mencuba sedaya upaya untuk meniru atau menciplak produk lama itu. Seringkali terjadi, pengguna yang telah mencuba produk baru akan kembali menggunakan yang lama kerana tidak berpuas hati dengan kualiti produk ciplak atau tiruan. Produk asal yang asli dan berkualiti akan tetap di hati dan bertahan biarpun berdekad-dekad lamanya.

Begitulah halnya dengan Barisan Nasional yang tetap bertahan biarpun usia sudah menjangkau 55 tahun. Biar begitu banyak saingan dari parti-parti lain, termasuk parti-parti baru yang berusaha untuk meniru atau menciplak BN, namun produk tiruan tidak mungkin sama dengan yang asli.

Persoalannya, bagaimana BN boleh bertahan walaupun berbagai-bagai tohmahan dilemparkan bagi memburukkan imej dan reputasinya? Jawapannya, kerana semua rakyat dapat melihat bukti nyata, selama tahun demi tahun, bahawa perjuangan BN adalah demi rakyat dan demi masa depan negara, bukan demi individu atau kumpulan tertentu.

Ini sama seperti seorang peniaga yang berniaga dengan ikhlas, memberi khidmat terbaik atau memastikan kualiti terbaik produknya untuk kepuasan pengguna dan bukannya berniaga hanya kerana ingin untung besar.

Dan inilah yang tidak dapat difahami oleh musuh-musuh atau pesaing-pesaing BN di dalam politik.

Kebanyakan mereka, hanya ingin ‘untung besar’ iaitu memegang kuasa tetapi tidak punya keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat. Oleh itu, segelintir rakyat mungkin terpedaya sebentar dengan promosi, iklan atau lebih tepat, dakyah-dakyah mereka tetapi kemudiannya, rakyat akan tetap kembali kepada BN kerana percaya hanya produk BN yang benar-benar asli lagi berkualiti. Hanya BN yang mampu membawa Malaysia ke tahap ini.

Sejarah telah merekodkan bagaimana BN berjaya mengekalkan keamanan di saat kritikal. BN berjaya membawa kita mengharungi beberapa krisis ekonomi dunia dengan aman dan tanpa rakyat terjejas teruk.

Malah, hari ini, di kala dunia sedang dalam kritikal, sehingga Greece bankrap dan Sepanyol, Portugal dan Itali serta Britain juga sedang bergelut dengan krisis ekonomi tetapi Malaysia masih ‘bergaya’ dengan kadar pertumbuhan ekonomi di tahap empat ke lima peratus lebih baik dari Eropah dan Amerika.

Rakyat di negara Arab pula sibuk memberontak serta memusnahkan kehidupan sendiri, manakala sebahagian lagi negara di dunia menghadapi perang saudara, pembunuhan etnik, kebuluran dan berbagai-bagai lagi yang mungkin akan dapat diatasi jika kerajaan mereka lebih cekap dan prihatin. Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia walaupun kita hidup berbilang kaum dan berbagai agama.

Benar kita merasa sedikit ‘sesak’ kerana kos sara hidup yang semakin tinggi tetapi adalah munafik bagi sesiapa yang menafikan bahawa rakyat Malaysia amat mewah dengan makanan sehinggakan di bulan Ramadhan ini pembaziran berleluasa dan berbuka di hotel masih menjadi budaya.

Semua ini adalah mustahil sekiranya kerajaan BN bukan sebuah kerajaan yang baik.

Di celah-celah itu, walaupun seimbas pandang rakyat Malaysia sudah cukup mewah dan selesa, namun BN tetap memberikan bantuan langsung dalam berbagai bentuk seperti BR1M, KR1M, TR1M, Klinik 1Malaysia, durian runtuh untuk warga Felda, Bonus untuk kakitangan awam, Duit raya untuk warga Felda dan sebagainya, demi untuk meringankan beban rakyat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bantuan tersebut hanyalah untuk membantu rakyat untuk ‘mengekalkan kemewahan’ dan bukannya untuk mengurangkan penderitaan. Ini kerana, jarang sekali rakyat yang menerima bantuan itu berada di tahap begitu miskin sehingga tidak cukup makan dan menderita.

Hakikatnya, walaupun sering mengeluh akan kos sara hidup yang tinggi, namun, hampir kesemua yang mengeluh itu masih bermewah berbelanja di bazaar Ramadhan ini. Ertinya, tahap ‘menderita’ rakyat Malaysia tidak mungkin terbanding dengan tahap ‘menderita’ rakyat di Syria, Afrika, Rohingya, malah mungkin juga sebahagian rakyat Amerika yang berhadapan dengan kadar pengangguran yang tinggi sehingga memaksa mereka menjadi gelandangan. Sedangkan di Malaysia, walaupun menganggur, entah bagaimana, kita tetap cukup makan juga.

Inilah realitinya di Malaysia dan semua ini tidak mungkin menjadi realiti jika BN bukan sebuah kerajaan yang baik. Kita yakin, masa depan bersama BN akan kekal cerah dengan komitmen pemimpinnya untuk meneruskan cara berkhidmat atas dasar Demi rakyat dan Demi Masa Depan.