Tuesday, October 9, 2012

NGO Desak SPRM Siasat Isu Bas Mewah MB Selangor


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu bas mewah yang digunakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam siri kempen pilihan raya, yang melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, Abdul Khalid masih berhadapan dengan proses mahkamah kerana gagal melunaskan pinjaman bank berjumlah RM67 juta dan tidak mungkin terdapat bank lain yang mahu membiayai beliau untuk membeli sebuah bas mewah berharga kira-kira RM900,000.



"Kami mengesyaki terdapat elemen-elemen penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pembelian, pemilikan dan penyewaan bas ini.

"Kami mencadang dan mendesak SPRM supaya menyiasat dan mendakwa kes ini seadanya," katanya kepada para pemberita di luar ibu pejabat SPRM di sini, Selasa.

Laporan yang dibuat oleh Hamidzun bersama beberapa NGO itu diserahkan kepada Penolong Penguasa SPRM, Roslan Derauh.

Hamidzun berkata, SPRM perlu menjalankan siasatan mengenai pembelian bas mewah tersebut sewajarnya sama seperti suruhanjaya itu melaksanakan siasatan terhadap syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).

"Kami memberi tempoh selama 30 hari untuk kes ini diselesaikan. Jika tidak, kami NGO-NGO di Selangor akan mengadakan 'lawatan sambil belajar' dengan bilangan yang sangat ramai untuk belajar dengan SPRM tentang bagaimana membuat siasatan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat," katanya.

Sebelum ini, sebuah laman blog, http://sel13.com menyiarkan laporan mempertikaikan pembelian 50 model lori kompaktor sampah bernilai RM14.5 juta oleh kerajaan PKR Selangor termasuk bas dua tingkat dan trak kontena serba guna untuk parti itu.

Selain itu, blog terbabit turut mempersoalkan kenyataan Abdul Khalid yang mendakwa bas mewah digunakan parti itu sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah disewa dan dibiayai sepenuhnya oleh beliau tanpa menggunakan wang kerajaan negeri.

Menurut Hamidzun, beliau menuntut jawapan daripada Abdul Khalid berhubung isu bas mewah itu seperti yang pernah didesaknya sebelum ini.

"Pertama, apabila lori kompaktor sampah itu dibeli, kenapa tidak dibuat secara tender terbuka. Kedua, kenapa lori sampah itu dibeli daripada syarikat yang membekalkan bas itu?

"Ketiga, kenapa lori sampah ini tidak dibeli terus dengan ejen syarikat berkenaan yang mempunyai kilang di Rawang. Keempat, beliau perlu menyatakan nama bank yang menyediakan pinjaman untuk bernilai kira-kira RM900,000 untuk membeli sebuah bas," katanya.

Hamidzun menambah, tuntutan kelima ialah penjelasan Abdul Khalid yang sebelum ini menyatakan bahawa bas tersebut disewa sedangkan pemilik bas itu adalah beliau sendiri.

"Oleh itu, kami mencabar Tan Sri Khalid untuk bersikap telus dalam soal pentadbiran negeri Selangor," katanya.

Selain GAPS, empat NGO lain yang turut serta adalah Waris Malaya, 4Justice, Jalur Tiga (Jati) dan Gerakan Masyarakat Prihatin Meru (GMP).-Mstar

PKR Selangor Desak Faekah Letak Jawatan


Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Borhan Aman Shah mendesak Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin meletak jawatan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan boleh mencetuskan kekeliruan dan salah faham dalam Pakatan Rakyat (PR).

Borhan berkata, desakan itu dibuat kerana Faekah didakwa mengkritik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali secara terbuka menerusi sebuah portal berita baru-baru ini.

Menurutnya, beliau berharap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

“Kami selaku pemimpin-pemimpin PKR Selangor mendesak agar pimpinan pusat mengambil tindakan keras terhadap Faekah.

“Faekah perlu meletakkan jawatannya dengan serta-merta dan kami faham kuasa penuh ada di tangan Menteri Besar untuk membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya pada sidang media di pejabat PKR Selangor di sini semalam.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Azmin mengeluarkan kenyataan Abduk Khalid akan dilantik sebagai menteri pusat sekiranya PR berjaya merampas Putrajaya.

Dalam pada itu, Azmin menafikan membuat kenyataan seperti itu dan Faekah mempersoalkan niatnya itu.

Tindakan Faekah itu menyebabkan beliau ditegur oleh Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Faekah diingatkan supaya tidak memberi kenyataan secara membuta tuli kerana boleh mengeruhkan lagi hubungan antara pimpinan parti.

Borhan berkata, beliau mempersoalkan tindakan Faekah mengkritik Azmin secara terbuka kerana dia tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam parti.

Katanya, Faekah perlu ingat bahawa Azmin mengeluarkan kenyataan berdasarkan kapasiti selaku timbalan presiden, pengerusi majlis pimpinan negeri merangkap pengarah pilihan raya.

“Perkara ini dah berlaku berulang kali dan kita harap Faekah lebih teliti pada masa akan datang sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Sebarang komen perlu dirujuk terlebih dahulu kerana kita khuatir perkara seumpama ini boleh menimbulkan pertelingkahan,” katanya.

Dalam pada itu, semalam Sinar Harian Online melaporkan Faekah mengambil pendirian tidak akan mengulas lagi isu melibatkan kedudukan Menteri Besar.

Faekah juga akur dengan teguran kepimpinan PKR supaya tidak membuat kenyataan balas mengenai isu berkenaan.

Karpal Mahu Teruskan Saman Nasharudin...


Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh menegaskan bahawa beliau tetap akan meneruskan prosiding fitnah terhadap bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Bagaimanapun beliau belum menetapkan tarikh kes itu akan difailkan.

Menurutnya, disebabkan kekangan masa dan kerja, beliau tidak mempunyai kesempatan untuk meneruskan prosiding menyaman fitnah terhadap Nasharudin.

Katanya, "Ya akan, mana boleh tak mahu, saya belum tetapkannya lagi bila."

"Saya ada banyak masalah dan kerja di mahkamah, ikut undang-undang saya ada masa selama enam tahun untuk membuat perkara itu (saman fitnah)," kata beliau kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Sebelum ini, pada Ogos lalu, Karpal memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin ekoran kenyataannya berhubung isu hudud dan Islam.

"Kenyataan Nasharudin bahawa saya bukan hanya menentang hudud malah menentang Islam, adalah tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan kejam," katanya sebelum ini.

Membalas kenyataan dua bulan itu, Nasharudin dilaporkan akan menunggu tindakan Karpal di mahkamah dan turut mencabarnya untuk terus mengambil tindakan di mahkamah.

Justeru, Karpal yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata prosiding akan diteruskan mengikut keadaan yang sesuai.

"Saya akan teruskan, dalam masa terdekat tetapi ikut keadaanlah.

"Saya bukan melewatkan hal itu, dan mungkin tidak berapa lama lagi," katanya lagi.

-SH

Kerjasama PAS-DAP Bercanggah Dengan Kehendak Islam


Perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh PAS sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota PAS seumur hidup berkata adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan PAS," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar PAS sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan PAS. Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama PAS dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan.

Terdahulu itu, beliau menghadiri perasmian pameran 'Shahnon Ahmad dalam Media, Persidangan Kebangsaan Shahnon Ahmad dalam Sastera, Budaya, Media' dan pelancaran buku serta prototaip e-novel "Mahabbah" di Universiti Sains Malaysia di sini.

Menyentuh e-novel 'Mahabbah', Shahnon berkata ia mengenai perjuangan seorang tua yang sudah tidak mempunyai kuasa tetapi ada hati yang kuat untuk menyatu padukan orang Melayu menerusi doanya kepada Allah.

Katanya e-novel itu turut melambangkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum tetapi bersatu walaupun masing-masing berpegang kepada cara tersendiri untuk hidup damai dan harmoni. -Bernama

Bank Diminta Longgar Syarat CTOS, CCRIS Bagi Golongan Muda Beli Rumah


Institusi perbankan disaran memberi kelonggaran kepada golongan muda yang namanya tersenarai dalam Credit Tip-Off Sdn Bhd (CTOS) dan Central Credit Reference Information System (CCRIS) untuk mendapatkan pinjaman perumahan.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) menyarankan agar syarat CTOS dan CCRIS itu tidak dikenakan kepada golongan muda yang ingin membeli rumah.

"Mereka ini mungkin tersilap langkah dalam mengurus kewangan di peringkat awal, akibatnya nama mereka disenarai dalam CTOS dan CCRIS dan menghadapi masalah untuk memohon pinjaman perumahan, jadi saya cadang Kementerian Kewangan dan pihak bank memberi kelonggaran kepada mereka," katanya.

Idris, yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), berkata langkah itu tidak akan menjejas golongan muda melabur dengan peluang lebih baik.

"Rumah ini merupakan harta tak alih, bukannya harta boleh alih seperti kereta dan motor, ia juga boleh dijadikan cagaran, jadi jika pemohon lari, bank boleh lelong rumah pada harga yang dia kerugian," katanya.

Selain itu, Idris turut menyarankan kerajaan agar memperkenal polisi harga siling terhadap pemaju perumahan mewah, khususnya di kawasan bandar, bagi mengawal kenaikan harga rumah dan mengelak spekulasi hartanah.

Idris turut mencadangkan tempoh cukai keuntungan pelupusan hartanah (RPGT)dipertingkat daripada lima ke sepuluh tahun bagi mengelak penjualan hartanah pada masa yang singkat.