Wednesday, October 17, 2012

Hasan Tetap Bersama PAS Tentang Kumpulan Anwarinas


Bekas Naib Presiden PAS Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau akan tetap bersama PAS walaupun terus mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam parti itu yang didakwanya hampir 75 hingga 80 peratus kepimpinannya dipengaruhi kumpulan Anwarinas.

"Saya akan tetap bersama PAS dan tidak akan menyertai Umno. Justeru, keputusan saya perlu dihormati semua pihak," katanya kepada Bernama selepas majlis dialog dengan penjawat awam anjuran Majlis Belia daerah di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Jalur Tiga (JATI) menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya 'dibeli' Umno bagi mengadakan ceramah di pentas Umno di seluruh negara.

"Sehingga sekarang, saya berceramah adalah atas prinsip menegakkan Islam di negara ini walaupun terpaksa menggunakan belanja sendiri," katanya.

Berhubung dakwaannya mengenai kumpulan Anwarinas dalam PAS, beliau berkata kumpulan itu kini bukan sahaja bertindak sebagai pelindung, penggerak malah sebagai jurucakap dalam PAS hingga menyebabkan kumpulan ulama semakin terpinggir dan tidak dipedulikan lagi.

Beliau berkata ramai golongan ulama semakin diperkecilkan peranan mereka dan termasuk dipecat kerana lantang bersuara dalam memperjuang agama
Islam.

"Justeru, orang ramai jangan hairan sekiranya dalam masa yang terdekat PAS akan memecat lebih ramai lagi golongan ulama termasuk (bekas Timbalan Presiden PAS) Nasharudin Mat Isa kerana memperjuangkan Islam," katanya.

Pemimpin PAS Mahu Nik Aziz Segera Berundur


Wakil rakyat PAS bagi kawasan DUN Gaal, Dr Nik Mazian Mohamed dalam satu ucapannya di Dewan Undangan Negeri Kelantan semasa membahaskan membahaskan bajet negeri secara 'lembut' telah menasihatkan pemimpin negeri yang sudah lanjut usianya untuk segera berundur bagi memberi laluan pula kepada orang muda untuk meneruskan perjuangan.

Menurut Dr Nik Mazian, amat tidak wajar bagi pemimpin yang sudah tua melepaskan 'baton' ketika lenguh di tengah jalan. Kenyataan tersebut lembut tapi sinis, jelas sekali merujuk pada masalah kesihatan yang sedang dialami oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat.

Katanya lagi, "Yang kita bimbang ialah Tok Guru sudah tua, ada sakit pula. Macam kita inilah sudah tua, ada penyakit pula. Kita akan mati, siapa yang akan mengganti, siapa yang akan meneruskan perjuangan kepimpinan kita ini, siapa ?

"Kita mesti timbulkan kepimpinan baru, muda-muda, hebat-hebat, sihat-sihat."

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Nik Aziz sememangnya agak kerap berulang alik keluar masuk hospital, disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya.

Nampak gayanya kemuncak kerjaya politik Mursyidul Am PAS itu sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Masakan tidak, apabila wakil rakyat PAS sendiri sudah bersuara mengungkit usianya yang makin tua lanjut usia, bermakna itu satu signal penting yang sepatutnya mudah untuk ditafsirkan sendiri oleh Nik Aziz.

Lagipun semenjak Kelantan diterajuinya, tidak banyak perubahan besar yang tampak kelihatan hasil jasa bakti pemimpin PAS itu, ada memang ada sekelumit dua misalnya pecah tanah sana sini sambil menanam batu asas itu begini tapi setakat jadi tanda sajalah.

Mujurlah dek kerana kemurahan hati para pemimpin Kerajaan Pusat meneruskan usaha-usaha pembangunan dan menggandakan langkah membasmi kemiskinan di Kelantan, setidak-tidaknya adalah juga sedikit sebanyak perubahan.

Harapnya teguran terbuka dan saranan penuh sinis oleh pemimpin PAS dari Gaal, Pasir Puteh ini tidaklah disalah anggap oleh para penyokong PAS sebagai mainan propaganda UMNO pula.

Bukan kita tak tahu dikalangan sesetengah penyokong dan ahli PAS, cukup pantang bila ada saranan supaya Nik Aziz mengundur diri, tak semena-mena terus mereka melatah menyalahkan UMNO. Sayang betul mereka dengan orang tua yang gemar menongkat langit tu.

Tuesday, October 16, 2012

Audit 2011: Banyak Aktiviti Salah Tadbir Di Pulau Pinang


DAP nampaknya begitu berbangga dengan laporan Audit 2011 yang menunjukkan penurunan hutang negeri tersebut antara 94 – 97%. Konon-kononnya penurunan ini ada kaitan dengan kehebatan mengurus parti rasis, cauvanis cina ini, dibanding dengan BN dan negeri-negeri lain dimana mereka memerintah.

Maka para penyokong Pakatan Rakyat dibawah yang tidak punya keupayaan berfikir yang hebat seperti orang lain, menerima sahaja berita ini tanpa terlebih dahulu merujuk kepada laporan audit tersebut bagi mendapatkan lebih maklumat bagaimana yang dikatakan penurunan hutang itu

Sebetulnya, yang tidak disebut DAP ialah, penurunan hutang ini dibantu kerajaan pusat melalui pengambilalihan pinjaman Projek Bekalan Air sebanyak RM655.25 juta telah diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) – organisasi dibawah Suruhajaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Selain dari itu, laporan audit mendedahkan begitu banyak kelemahan dan salah urus tadbir dalam pengurusan kewangan negeri Pulau Pinang.

Antara kelemahan yang ditemui adalah seperti kekurangan sistem pengurusan maklumat, penguatkuasaan, penyeliaan yang kurang rapi, ketiadaan pemantauan yang berkesan dan kekurangan peruntukan kewangan – sekadar menyebut beberapa perkara.

Beberapa projek yang dibina juga, terbukti hanya membazirkan wang rakyat kerana tidak dapat digunakan sehingga kini. Antaranya Kompleks Makanan Mutiara Height di Jelutung dan Kompleks Makanan Gold Coast yang terletak di Bayan Baru yang bukan setakat terbiar begitu sahaja, bahkan kerana kurangnya aktiviti pemantauan keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan, telah menyebabkan banyak kemudahan asas yang disediakan di kompleks ini telah hilang atau dirosakkan.

Sementara dalam masa yang sama, aktiviti perniagaan makanan di atas jalan raya awam yang ditutup pada waktu malam, semakin rancak dijalankan di Pulau Pinang sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Ada kompleks lebih selesa yang disediakan tidak mahu digunakan dan DAP sendiri tidak begitu bersungguh mahu memindahkan penjaja jalanan ini ke kompleks tersebut.

Projek CCTV yang dilaksanakan, kononnya bagi mengatasi masalah jenayah, meletak kereta secara haram oleh beberapa PBT di Pulau Pinang juga gagal mencapai prestasi yang ditetapkan mereka sendiri. Sistem yang digunakan tidak jelas, bilangan yang terhad dan beberapa perkara lain adalah antara kelemahan yang dikenali pihak audit.

Ini merupakan pembaziran wang yang jelas oleh DAP Pulau Pinang, kroni mana yang diambil untuk memasang sistem tersebut pun kita tak tahu, tapi wang rakyatlah yang membayar untuk hasil yang tidak sepadan.

Paling mencuri tumpuan penulis dalam laporan audit semalam ialah tindakan beberapa syarikat berkaitan kerajaan negeri yang membayar bonus kakitangan dikala syarikat itu sendiri mengalami kerugian.. Kalau tidak salah penulis, masalah sama pernah dikenal pasti di sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri di Selangor beberapa tahun lepas – untung tidak ada tapi bonus berkoyan.

PUNB Tidak Lagi Bergantung Kepada Dana Kerajaan


Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) tidak akan memohon pinjaman atau dana daripada kerajaan mulai tahun ini, kata pengerusinya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, PUNB, yang mempunyai aset bernilai lebih RM1.5 bilion, berupaya menggunakan sumbernya untuk kekal mapan dan berkeuntungan.

“Kami akan membayar balik pinjaman-pinjaman itu kepada kerajaan secara berperingkat. Semenjak 1992, PUNB telah menerima pinjaman sejumlah RM800 juta,” katanya dalam satu taklimat media di sini hari ini.

Khairy berkata PUNB, bagaimanapun, masih terbuka untuk menerima geran daripada kerajaan untuk tujuan dan inisiatif khas meningkatkan keusahawanan Bumiputera di Malaysia.

“Kita tidak patut bergantung kepada kerajaan untuk semuanya. Selepas saya mengambil alih sebagai pengerusi, saya fikir PUNB boleh memastikan kemapanannya sendiri.

“PUNB tidak diberikan peruntukan pada Belanjawan 2013 kerana kami tidak memintanya,” katanya.

Khairy dilantik sebagai pengerusi PUNB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April.

Beliau berkata semenjak penubuhannya pada 1991, PUNB telah memberikan pinjaman untuk membantu lebih 3,000 perniagaan di seluruh negara.

PUNB menyediakan satu rangkaian pinjaman untuk perniagaan Bumiputera, dengan tumpuan kepada pakej pembangunan usahawan bersepadu untuk membantu usahawan Bumiputera dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana.

Pakej-pakej tersebut direka bentuk untuk membantu usahawan Bumiputera memupuk kepintaran perniagaan, mengekalkan perusahaan yang menguntungkan dan membentuk perniagaan mereka. – BERNAMA

PUNB Biz Plan Challenge 2012. Win Cash Prizes of RM170,000!


PUNB Biz Plan Challenge 2012, terbuka kepada

1) Pelajar Bumiputera IPTA /Politeknik 18-25 thn.

2) Golongan awam 18 -25 tahun (termasuk IPTS) yang sedang bekerja, berniaga atau bekerja sendiri.

Di sidang media Pengerusi PUNB , Khairy Jamaluddin berkata kriteria biz plan antaranya yang berasaskan distributive trade, kearah Model Eko Baru, kreatif/inovatif dan lain lain.

PUNB Biz Plan terbuka kepada semua sektor, kecuali pertanian, penternakan dan franchais.

Khairy juga berkata PUNB Biz Plan dianjurkan utk pupuk semangat/terap budaya keusahawanan gol muda. Beri peluang utk mrk berjaya.

Khairy juga turut mengumumkan hadiah ialah dana perniagaan berjumlah -- tempat (1) RM30k; (2) RM20k; (3) RM15k; (4) RM10k; (5) RM10k

----

Don't keep a good business idea to yourself. Tell us about it! You may be an aspiring entrepreneur we are looking for. Submit your business plan and win cash prizes of RM170,000. Hurry up and grab this opportunity. Send your business plan by 15 November 2012. Click here for more.


Shahrizat Janji Bantu Seniwati Azean Irdawaty


Penderitaan yang dihadapi pelakon Azean Irdawaty akibat penyakit Lymphedema mendapat pembelaan apabila Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersedia membantu meringankan beban kos rawatan seniwati itu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bantuan itu mahu disalurkan sebagai menghargai jasanya dalam bidang seni selain bersimpati dengan penderitaan yang ditanggungnya sejak sekian lama

"Selepas mendapat tahu bebanan yang ditanggung Azean, saya terus bercadang mahu melawat serta melihat sendiri keadaan Azean dan ingin berbincang berapakah perbelanjaan yang dihabiskannya pada setiap bulan.

"Untuk hari ini (Selasa), pihak kami hanya menyumbangkan sedikit wang untuk kegunaan harian Azean dan akan melawatnya sekali lagi bagi menghulurkan bantuan daripada segi kos rawatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai rombongan YKN melawat Azean di kediaman pelakon itu di Bandar Utama dekat sini pada Selasa.

Azean mengidap Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.

Dalam pada itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno memuji semangat pelakon yang berusia 62 tahun itu yang tidak pernah berputus asa dalam melawan penyakitnya.

"Satu perkara yang membuatkan saya kagum dengan Azean kerana dia mempunyai pemikiran yang sangat positif dan semangat yang kuat.

"Malah, saya percaya menerusi lawatan seperti ini daripada pihak saya mahupun rakan-rakan Azean sendiri, dirinya akan rasa dihargai," ujarnya yang merupakan peminat setia pelakon tersebut.

Sementara itu, Azean pula berkata, dia bersyukur apabila pihak YKN tampil untuk membantu mengurangkan bebanan kos rawatan yang ditanggung selama ini.

"Bukan murah untuk membuat rawatan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

"Semangat saya yang mahu hidup lebih lama membuatkan saya buang rasa malu dan terpaksa meminta bantuan teman-teman untuk mencari sesiapa yang boleh menghulurkan sedikit bantuan.

"Alhamdulillah, kehadiran beliau (Shahrizat) membuatkan saya terharu dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak YKN yang sanggup mengurangkan bebanan saya dan keluarga," katanya. -Mstar