Tuesday, October 30, 2012

Pemuda UMNO Desak Kerajaan Tangguhkan Pelaksanaan AES


Terima kasih kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin kerana mendengar dan berani memutuskan pandangan berhubung isu AES... dimana Pemuda terima kebaikan AES akan tetapi kerajaan juga perlu mendengar rungutan dari rakyat tentang soal pelaksanaannya dari segi lokasi kamera, had laju laluan tertentu, jarak pemberitahuan kamera AES.

Diatas sebab-sebab tersebut pemuda UMNO desak kerajaan tangguhan pelaksanaan AES dan kaji semula pelaksanaannya.

---

KUALA LUMPUR 30 Okt – Pemuda UMNO hari ini menuntut dan mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan mengkaji semula pelaksanaan sistem berkenaan kerana terdapat banyak rungutan dan persoalan mengenai sistem tersebut.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata terdapat banyak pandangan serta maklum balas daripada akar umbi mengenai sistem berkenaan dan pergerakan itu berharap mesyuarat kabinet pada minggu ini dapat membincangkan dan membuat keputusan berdasarkan desakan pergerakan itu.

Menurut beliau pihaknya telah membincangkan perkara berkenaan secara pro dan kontra dan kesimpulannya pergerakan itu mendapati terdapat banyak kelemahan yang ada pada sistem AES itu.

“Banyak rungutan mengenai lokasi kamera berkenaan…. Ada pandangan orang awam yang katakan lokasi itu tidak mencerminkan kebarangkalian berlakunya kemalangan. Banyak rungutan kawasan tersebut bukanlah kawasan yang dianggap tidak selamat atau bukan kawasan hitam.

“Keduanya ada tempat yang mana kamera diletakkan had lajunya tidak praktikal.. had laju rendah untuk diletakkan kamera dan banyak kenderaan yang melepasi had laju tersebut tanpa timbulkan masalah keselamatan. Ketiganya jarak kamera terlalu dekat dengan kawasan tertentu yang mana kawasan itu mudah untuk melepasi had laju.

“Kesimpulannya kami dapati bahawa ada banyak kelemahan pada sistem AES ini dan bukan kami tidak setuju kerana pada dasarnya sistem automatik adalah sistem yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeruskan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) seterusnya menambah sekiranya sistem berkenaan hendak dilaksanakan selepas ini, kerajaan perlulah mengkaji beberapa aspek seperti lokasi, had laju dan mengadakan pendidikan umum.

“Bukan kita tidak sokong AES ini untuk jalan raya menjadi lebih selamat dan kami memahami bahawa ini tidak menghalalkan mereka yang melanggar undang-undang tidak dibawa pengadilan….AES menimbulkan banyak masalah.

“Jadi Pemuda desak kerajaan tangguhkan pelaksanaan AES dan kami harap mesyuarat jemaah menteri pada minggu ini dapat membincangkan perkara ini dan membuat keputusan atas permintaan dan desakan kami,” katanya.

Dalam pada itu Khairy turut memberitahu Pemuda UMNO dan Pemuda BN akan berperanan sebagai pemduah cara dalam usaha membantu proses pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kita buat perkara ini atas semangat kesukarelaan sendiri dan tidak diminta oleh mana-mana pihak. Cuma kami dapati bahawa pengedaran BR1M kepada penerima baru terutama golongan bujang yang tidak tersenarai dalam BR1M pertama perlu kita permudahkan proses dan membantu mereka.

“Saya dah minta setiap bahagian edar borang dan skuad utusan pemuda pergi ke kawasan kilang-kilang, kawasan orang orang muda dan sasaran kita adalah 2,000 setiap bahagian. Kita akan pergi ke kawasan yang ramai orang muda untuk edarkan borang dan sekiranya perlu akan kutip dan hantar borang BR1M 2.0 ke LHDN.

“Walaupun borang ini mudah dimuat turun menerusi internet, boleh diisi secara elektronik tetapi contohnya ramai pekerja kilang yang tidak sempat untuk isi secara elektronik dan kami akan hantar Skuad Utusan Pemuda untuk bawa borang berkenaan kepada mereka yang layak,” katanya.

Sumber: http://www.rembau.com.my

Azizan MB Paling Lemah!


Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah dikatakan amat disenangi rakyat Kedah kerana sikapnya yang santai, suka berjenaka dan bersih. Bagi rakyat Kedah yang tidak berfikiran jauh, ketiga-tiga sifat ini sudah cukup untuk diberi undi. Mereka tidak sedar bahawa mentadbir negeri memerlukan lebih dari sekadar personaliti yang disenangi.

Bagaimanapun, Laporan Audit yang dibentangkan baru-baru ini seharusnya membuka mata rakyat Kedah mengenai kesilapan mereka memberi kepercayaan kepada pihak yang salah atas sebab-sebab yang salah. Jelas dari laporan tersebut bahawa negeri Kedah berada dalam keadaan ‘kehilangan arah’ akibat Menteri Besarnya tidak punya kawalan dan pengetahuan atas apa yang berlaku.

Masalah MB Kedah tidak tahu apa-apa bukan masalah kecil sepertimana yang cuba digambarkan oleh PAS kepada rakyat Kedah. Kelemahan beliau telah mengakibatkan Kedah kerugian atas sebab-sebab yang tidak sepatutnya atau sepatutnya dapat dielakkan sejak dari awal.

Audit mendapati bahawa MB Kedah telah gagal mengenalpasti projek yang berisiko tinggi seperti perladangan di Papua New Guinea. Entah bagaimana, projek sebegitu besar boleh diteruskan dengan pinjaman berjumlah USD44 juta dari luar negara tanpa tandatangan Lembaga Pengarah. Pinjaman pula dibuat tanpa dokumen yang lengkap.

Begitu juga dengan projek 99 East Langkawi yang mengalami kerugian hanya kerana tidak menepati perjanjian tanpa sebab-sebab yang pasti.

Dan tidak perlulah disebut lagi tentang lantikan kontraktor yang tidak berdaftar sepertimana yang didedahkan secara meluas di dalam akhbar. Dari situ pula, terdedah kemudiannya amalan kronisme dan korupsi serta kelemahan yang ketara di semua peringkat pentadbiran yang terlibat.

MB yang kononnya Ulama ini juga gagal memastikan perihal agama dititikberatkan. Buktinya, Laporan Audit mendapati bahawa sijil halal negeri Kedah bagi tahun 2011 telah diberikan tanpa dikemukakan kepada jawatankuasa kerana jawatankuasa telah TIDAK PERNAH BERMESYUARAT. Sebaliknya semua kelulusan sijil halal dilakukan oleh YDP secara bersendirian atas alasan untuk kepentingan industry yang mana membangkitkan persoalan mengenai korupsi.

Semua yang berlaku ini amatlah mengejutkan kerana ia melangkaui kelemahan biasa dalam sejarah audit negeri.

Kedah bukannya negeri yang besar malah besar sedikit sahaja dari Perlis. Dari segi perindustrian juga Kedah masih jauh jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, Selangor atau Johor. Dengan hanya beberapa projek setahun tentunya aktiviti kewangan Kedah juga tidaklah begitu rancak. Dalam ertikata lain, tidak seharusnya seorang Menteri Besar terlepas pandang atau tidak sedar akan apa yang berlaku dalam negeri yang kecil ini.

Justeru, tidak ada alasan bagi Azizan untuk menafikan kelemahannya. Azizan juga tidak dapat lagi untuk meletakkan kesalahan ke atas bahu kerajaan terdahulu memandangkan projek-projek yang mengalami masalah yang ‘pelik-pelik’ ini adalah bermula ketika pemerintahannya.

Sudahlah projek yang ‘diluluskan’ tidak masuk akal, kerugian yang dialami pula diakibatkan oleh masalah yang tidak masuk akal juga. Di masa yang sama pula, Azizan langsung tidak mampu mencari projek yang benar-benar masuk akal yang amat diperlukan oleh Kedah dan rakyatnya. Contohnya, memelihara, memulihkan dan membina pusat-pusat pelancongan serta peninggalan sejarah. Sehingga kini, pusat pelancongan yang boleh dibanggakan oleh rakyat Kedah, hanyalah Langkawi, itupun dicetus dari pemikiran Tun Mahathir yang amat dibenci oleh PAS.

Kedah sebagai tamadun tertua seharusnya mampu menjadi pusat sejarah namun usaha untuk menggali dan mengorek serta mendokumenkan sejarah lama masih gagal dilakukan. Malang bagi Kedah kerana pemimpinnya hanya berminat untuk meraih undi tanpa memikirkan tanggungjawab sebenar mereka terhadap negeri tersebut. Sedangkan Kedah mampu mengatasi atau menyaingi Melaka dalam menjadi negeri bersejarah.

Ini belum lagi dikira masalah sampingan seperti KUIN atau KCS sendiri yang mana perasaan tidak puas hati di antara orang bawahan dengan orang atasan serta orang sekeliling berterusan tanpa apa-apa tindakan atau keputusan dari Azizan. Perebutan jawatan dalam pentadbiran Kedah juga dibiarkan berlarutan seolah-olah Azizan sudah buntu atau mungkin benar-benar tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku.

Kini, setelah segalanya terdedah dengan bukti audit, kita tidak tahu sama ada Azizan sengaja buat tak tahu atau benar-benar tidak tahu. Beliau tidak pula memberi jaminan siasatan atau penambahbaikan akan dilakukan ke atas pendedahan audit.

Tetapi, apa yang beliau tahu ialah menuding jari kepada pihak lain serta mengangkat bahu mengaku tidak tahu. Langsung beliau tidak malu menjadi MB yang serba tak tahu.

Maka tidak hairanlah bila ada yang bertanya “Apa yang Azizan buat di Kedah?” Maka jawapan rakyat Kedah ialah “Azizan buat tak tau”.

Anwar Restui Azmin Ganti Khalid di Selangor


Sepintas lalu memang tidak mengejutkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan Tan Sri Khalid Ibrahim akan bertanding sekali lagi bagi mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada PRU ke 13 nanti.

Sebelum inipun Ketua Umum PKR itu sudah mengumumkan Naib Presiden, PKR N. SurendraN, akan bertanding di Padang Serai manakala Pengarah Strategi, PKR, Rafizi Ramli akan bertanding di Pandan.

Kerusi Padang Serai kini disandang N.Gobalakrishnan yang keluar PKR pada 29 Januari 2011 manakala kerusi Pandan diwakili ahli parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Cuma jadi tanda tanya kenapa Anwar hanya mengumumkan Menteri Besar Selangor itu akan mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak tidak sekali dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok yang dimenangi Khalid pada 2008?

Apakah ini mesej Anwar bahawa Khalid hanya akan mempertahankan kerusi Bandar Tun Razak di Wilayah Persekutuan dan tidak dicalonkan semula di DUN Ijok?

Menariknya, pengumuman Ketua Pembangkang itu yang juga penasihat ekonomi Selangor dibuat beberapa hari selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh mencadangkan wakil rakyat parti itu bertanding satu kerusi saja pada pilihan raya akan datang.

Namun, beliau berkata dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CEC), parti itu bersetuju bahawa hanya dalam kes "terkecuali", seseorang anggota parti itu dibenar menyandang dua kerusi iaitu kerusi DUN dan parlimen.

Karpal juga berpendapat Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng boleh dianggap sebagai antara kes terkecuali itu.

Lim kini wakil rakyat bagi kerusi parlimen Bagan dan DUN Air Putih.

Sepatutnya, Anwar boleh mengikuti cara Karpal bagi memastikan Khalid bukan sahaja kekal bertanding di Bandar Tun Razak tetapi di Ijok supaya Khalid kekal sebagai Menteri Besar sekiranya pembangkang kekal memenangi Selangor pada PRU ke 13.

Apabila beliau tidak berbuat demikian, timbul tanda tanya, apakah tindakan Anwar itu sebagai mesej awal kepada Khalid, yang disifatkan Anwar sebagai Menteri Besar paling ‘cemerlang’ bahawa Khalid tidak akan bertanding di Selangor lagi.

Apakah ini juga bermakna Anwar awal-awal lagi menghantar signal supaya timbalan presiden parti, Azmin Ali bakal menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar?

Lagipun sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pernah mengeluarkan pendapat bersetuju Khalid dipindahkan ke pentadbiran kerajaan pusat sekiranya pembangkang PRU ke13.

Beliau menyifatkan sebagai seorang yang berpengalaman luas dan sememangnya layak mentadbir di peringkat persekutuan.

Pandangan Shuhaimi dilihat selari dengan pendapat Azmin sebelum ini, yang menyatakan bahawa Abdul Khalid berkemungkinan akan ditukar ke peringkat pusat selepas PRU13.

Selain itu, sudah diketahui umum bahawa Azmin dikatakan sudah memasang angan-angan menggantikan Khalid sebagai menteri besar malah sudah mengambil alih jawatan pengerusi PKR Selangor daripada Khalid.

Dalam pada itu, pengumuman demi pengumuman bakal calon PKR dalam PRU ke 13 hanya mengesahkan Anwar berkuasa penuh dalam parti itu bukannya Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Walaupun sebagai Presiden PKR, Wan Azizah masih membisu mengenai calon-calon parti itu kecuali hanya mengumumkan beliau akan bertanding kerusi DUN di Pulau Pinang pada PRU nanti.

Wan Azizah mungkin tidak kisah suaminya itu mengumumkan nama-nama calon mewakili parti tetapi dalam isu membabitkan Khalid, pastinya Wan Azizah tidak senang duduk jika Anwar berkeras hanya mahu Khalid bertanding di Bandar Tun Razak sahaja.

Ini kerana Khalid dilihat rapat dengan Wan Azizah yang diketahui amat tidak menyenangi Azmin.

Namun, dengan mengumumkan Khalid kekal bertanding di Bandar Tun Razak dan ‘membisu’ pasal kerusi DUN Ijok atau DUN lain di Selangor, Anwar sudahpun membuka jalan kepada Azmin memburu cita-citanya sebagai Menteri Besar di negeri itu. -Agendadaily