Friday, November 23, 2012

Khairy: Anwar Terdesak, Hargai Pendirian Australia



Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon campur tangan negara luar dalam pilihan raya negara ini dilihat sebagai tindakan terdesak.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan yang dilakukan oleh Anwar amat memalukan dan tidak bermaruah.

"Saya lihat beliau berada dalam keadaan terdesak dan cuba mencari sokongan dari kuasa asing, ini perbuatan yang amat memalukan.

"Kenapa perlu campur tangan dari pihak luar, negara kita mengamalkan demokrasi. Anwar perlu menghentikan usaha sebegini, kita mempunyai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) satu badan yang memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara adil dan saksama," katanya.

Semalam, Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr mendedahkan tindakan Anwar menulis surat kepada beliau untuk meminta Australia membantu dalam memastikan pilihan raya umum akan datang bebas daripada penipuan dan rasuah.

Carr menjelaskan Australia tidak boleh dan tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum patut dilaksanakan di Malaysia walaupun menerima rayuan berhubung perkara itu daripada Ketua Pembangkang.

Carr memberitahu bahawa pilihan raya di Malaysia merupakan urusan rakyat Malaysia sendiri.

Khairy berkata, Pemuda Umno menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Australia yang menolak permohonan itu dan mendedahkan tindakan yang dibuat oleh Anwar.

"Kami (Pemuda) amat berterima kasih dengan Kerajaan Australia yang mendedahkan taktik yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu, dan menolak permohonan yang dibuat oleh beliau.

"Pemuda mencabar Anwar untuk mendedahkan dan menyenaraikan semua negara yang beliau meminta campur tangan dalam proses demokrasi negara ini, saya percaya banyak lagi negara diminta campur tangan," katanya.-Sinar

Thursday, November 22, 2012

Manifesto Olok-Olok: Ibu Tunggal Saman Kerajaan Negeri Selangor


Seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman berjumlah RM10.9 juta terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana gagal memberikan elaun ibu tunggal seperti dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12.

Tuntutan itu difailkan melalui tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, pagi tadi.

Murtini Kasman, 58, selaku plaintif telah menamakan Kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai defenden pertama dan kedua.

Kesemua plaintif terdiri dari penduduk 11 kawasan Parlimen, antaranya Shah Alam, Tanjung Karang, Hulu Langat, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

Kira-kira 50 wakil ibu tunggal turut hadir di kompleks mahkamah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

September lalu, seramai 711 pengguna air Selangor, memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM405,270 daripada Kerajaan Negeri Selangor berhubung tunggakan air percuma, yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008.-Agendadaily

Rakyat Kelantan Gesa Nik Aziz Tarik Balik Kenyataan Murtad



Seramai 10,000 rakyat Kelantan akan dikumpulkan oleh pihak Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) jika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menarik balik kenyataan Umno parti murtad.

Presidennya, Che Azmi Mohd Ali berkata, Nik Abdul Aziz perlu menarik balik ungkapan itu kerana boleh mengelirukan serta beri kesan negatif kepada perpaduan umat Islam.

“Jika dalam beberapa hari ini Nik Abdul Aziz tidak menarik balik kenyataannya itu, kami akan berkumpul sebagai tanda kecewa dengan sikap pemimpin tersebut,” katanya kepada media di sini, semalam.

Isnin lalu, Nik Aziz menafikan laporan media memetik beliau mengatakan 'Umno murtad". Beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.

Sebelum itu, Che Azmi bersama dengan Setiausaha Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sharif Mahmood serta 100 ahli mereka menyerahkan memorandum kepada Pegawai Eksekutif Pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), Yasman Hashim.

Menurutnya, tindakan Pas berbuat demikian amat bertentangan dengan kehendak atau tuntutan agama Islam pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya juga memohon Maik agar menyiasat kes tersebut kerana ia bersabit dengan kesalahan Seksyen 6 dan Seksyen 24 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985.

Che Azmi berkata, Seksyen 6 merujuk kepada perkataan tidak sopan, di mana sesiapa yang dengan sengaja mengeluarkan atau menyebar kata-kata yang bertentangan dengan hukum syarak yang mungkin boleh memecahkan keamanan di mana-mana tempat adalah bersalah atas suatu kesalahan.

Che Azmi berkata, perkara tersebut harus diambil tindakan segera kerana tidak sewajarnya menjadikan agama sebagai salah satu modal untuk berpolitik.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga turut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, di sini selepas menyerahkan memorandum di Maik. -Sinar