Friday, February 1, 2013

Majlis Syura Sudah Tidak Relevan, Perlu Dibubarkan


Majlis Syura Ulama PAS pernah diumpamakan sebagai Al-Quran buruk oleh Datuk Mohamed Daud Iraqi, salah seorang ahli Majlis tersebut sendiri. Sebuah Al-Quran buruk yang sudah kabur tulisannya tetap tidak mungkin dibuang, dan tetap akan diletakkan di tempat yang tinggi.

Namun, di mata DAP dan PKR, Majlis Syura Ulama PAS adalah umpama kain buruk sahaja yang digunakan untuk mengelap segala najis dan lumpur yang disepahkan oleh pemimpin PAS. Akibatnya, najis dan lumpur tidak lagi kelihatan tetapi kumannya masih terus bersarang dan merebak ke tempat lain yang dilap dengan kain buruk tersebut.

PAS juga nampaknya menerima sahaja kedudukan Majlis Syuranya sebagai sesuatu yang hidup tidak membawa makna, mati tidak boleh pula kerana ia menjadi tonggak kepada nama ‘Islam’ yang ada pada parti PAS. Tanpa Majlis Syura, Islam PAS hanya tinggal pada jubah dan serban semata-mata.

Bukan sahaja DAP dan PKR sahaja yang ‘mengabaikan’ Majlis Syura tetapi, Pengerusinya sendiri, iaitu Nik Aziz turut melihat Majlis Syura sebagai tidak lebih dari simbol semata-mata. Kerana itu, Nik Aziz dilaporkan membuat kenyataan di dalam akhbar The Star yang berkata bahawa pemecatan Nashruddin dari Majlis Syura bermakna pemecatan dari PAS. Atau dalam kata lain, Majlis Syura adalah kambing hitam penyamaran bagi mengelak penyokong-penyokong PAS mencurigai tindakan pemecatan tersebut.

Hakikatnya, Nik Aziz telah dengan terus terang mengabaikan Majlis Syura dan membuat keputusan berdasarkan emosinya sendiri atas kapasiti Pengerusi Majlis dan juga Mursyidul Am parti. Menurut Nik Aziz, talak telah pun jatuh oleh itu, Nasha dan PAS tidak lagi boleh dianggap ada hubungan.

Kita amat memahami sifat Nik Aziz yang merupakan seorang pendendam.

Dan lebih malang bagi Nasharuddin ialah apabila Hadi Awang pula seorang yang suka menghina orang lain. Memberi respon dalam isu ini, Hadi Awang telah menyifatkan Nasharuddin sebagai ahli biasa sahaja dan tidak ada signifikannya jika beliau mengiringi Perdana Menteri ke Gaza. Oleh itu, pemecatan Nashruddin dikatakan kerana beliau jarang menghadiri Majlis Syura dan bukan kerana bersama dengan PM di Gaza.

Namun, jika itulah alasannya, maka ramai lagi yang jarang menghadiri Majlis Syura malah hampir tidak pernah iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi dan Nik Aziz sendiri. Kenapa Nik Aziz tak pecat diri sendiri bagi menunjukkan kepimpinan Islam tulen yang adil lagi saksama?

Bukan itu sahaja, malah pemecatan Nasharuddin itu sendiri tidak menepati cara Islam. Pertuduhan telah dibuat tanpa kehadirannya, dan keputusan juga dibuat tanpa pengetahuannya serta hukuman pula dibuat tanpa memberinya peluang membela diri.

Sedangkan pembangkang merupakan pihak yang kuat menghentam Akta ISA atas alasan tidak memberi peluang tertuduh membela diri yang mana membelakangi cara Islam.

Justeru, apakah hukumnya bagi Majlis Syura untuk membelakangkan soal menghukum cara Islam? Siapakah pula yang berhak menghukum Majlis Syura?

Apapun, yang jelas di sini ialah kedudukan Majlis Syura yang tidak ada makna. Majlis Syura boleh membuat keputusan, tetapi ia tetap merupakan keputusan PAS sepertimana yang dijelaskan oleh Nik Aziz. Manakala, PAS pula boleh membuat keputusan atas apa saja, tetapi keputusan muktamad tetap berada di tangan DAP.

Maka, apa gunanya lagi Majlis Syura? Bukankah lebih baik ianya dibubar saja?

Majlis Syura bukan seperti Al-Quran buruk kerana Al-Quran buruk masih lagi punya nilai. Tetapi Majlis Syura lebih layak dianggap sebagai kain buruk, kerana langsung tidak bernilai, bukan sahaja di mata PKR dan DAP, tetapi juga di mata Nik Aziz sendiri.

Bilakah Akan Berakhirnya ‘Huru-Hara’ Akibat Kekalutan Berpolitik?


LIHATLAH sepanduk di sebelah ini. Ayatnya bukan berbunyi KERANAMU MALAYSIA tetapi KERANA MU GUAN ENG HABIS ORANG ISLAM HURU HARA. Huru-hara membawa pelbagai makna. Sila rujuk Kamus Dewan untuk mencari maksudnya. Sejauh manakah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang dikatakan penyebab orang Islam ‘huru-hara’? Rakyat yang ‘melihat, mendengar dan membaca’ boleh membuat tafsiran. Sehingga kini Guan Eng terus menutup mulut manakala demonstrasi bantahan berterusan. Apakah kesudahannya? Kata-kata yang terdapat pada sepanduk itu ‘dipersembahkan’ oleh sekumpulan 50 penduduk termasuk penyokong Pas di Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis lalu. Mereka membantah tindakan DAP mahu kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu. Mungkin setakat itulah yang termampu diluahkan oleh kumpulan peserta demonstrasi berkenaan yang rimas dengan suasana yang berlaku.

Guan Eng ibarat ‘melontar batu’ ke dalam sungai yang tenang. Lontaran itu membuatkan air berkocak dan mengejutkan ‘buaya’. Ada ‘buaya’ yang boleh terima lontaran batu itu dan ada pula yang berang kerana ‘diganggu’. Ada juga buaya yang tidak peduli itu semua. Ada juga yang terpedaya umpama kisah tipu muslihat sang kancil. Buaya yang ganas tiba-tiba menjadi ‘bodoh’ sehingga sanggup membiarkan badan dan kepalanya dipijak bagi memenuhi hasrat kancil untuk menyeberangi sungai. Itu hikayat sang kancil yang kecil memperdayakan buaya yang ganas.

Kembali menyelak isu kalimah Allah ini, tidak dinafikan perutusan Guan Eng sempena sambutan Krismas yang lalu mencetuskan pelbagai polemik. Dalam kalangan orang Islam, ada yang secara terbuka menyokong hasrat Guan Eng itu dan ada pula yang membantah secara terbuka atau senyap-senyap. Ada pula yang seperti berada ‘di atas pagar’. Cakap salah, tak cakap pun salah, macam dialog ketika Abang Ali (M.Zain) mahu ‘mengusir’ Kassim Selamat (P.Ramlee) daripada bawah kolong (rumah sewa) di Pulau Pinang dalam filem Ibu Mertuaku.

Lebih parah apabila dalam kalangan Pas pun ‘kecoh’ dengan kenyataan yang pelbagai, macam pasembor (rojak) atau ais kacang (air batu campur) dekat Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Ada yang setuju, ada yang tidak. Ada pula yang sanggup membuat ‘pusingan u’. Begitulah hanya sekadar kalimah Allah, orang Islam diuji sejauh mana keupayaan mereka untuk berfikir dan menunjukkan kepada khalayak tahap kecerdikan mereka atau sebaliknya.

Sekadar selingan, anggota DAP juga dalam keadaan ‘huru-hara’ kerana keputusan ‘misteri’ dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berikutan kesilapan dalam proses pengiraan undi. Ramai yang mendesak supaya diadakan pemilihan semula. Jumlah undi yang dikira hanya sekitar 1,823 undi dan melibatkan 63 calon. Jumlah itu lebih kecil berbanding 46,192 undi yang dikira oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kawasan Parlimen Bagan pada PRU lalu. Di seluruh negara SPR mengira lebih 500,000 kertas undi.Jumlah calon pula, di Pulau Pinang 82 di kawasan DUN dan 27 bagi Parlimen.

Bayangkan jika kesilapan itu dilakukan oleh SPR. Bukan setakat DAP yang akan ‘melompat’ malahan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan bangun ‘membelasah’ SPR, mencabar kredibiliti SPR, mencabar kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan badan itu. Mungkin ada desakan supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.

Kembali kepada topik huru-hara, sejak Guan Eng berada di Komtar (pusat pentadbiran kerajaan negeri), pelbagai peristiwa dapat disaksikan. Situasi ini juga boleh dianggap huru-hara. Di situlah, sebuah parti yang mendakwa sebagai demokratik menghalang beberapa media termasuk Utusan Malaysia daripada membuat liputan. Inilah erti kebebasan media ala DAP. Dulu ketika Dr. Lim Chong Eu dan Dr. Koh Tsu Koon menjadi ketua menteri, tidak kedengaran sebarang usaha untuk menyekat kebebasan media. Begitu juga hari ini jangan sesiapa di Pulau Pinang atau di luar negeri itu pandai-pandai menggunakan nama Pulau Pinang (Penang) dalam apa juga penganjuran acara. Kena minta izin kerajaan negeri umpama memohon permit daripada polis atau pihak berkuasa tempatan untuk menganjurkan perhimpunan atau menampal poster. Hebatnya Penang.

Jika diselak lagi dalam tempoh empat tahun lalu, Pulau Pinang mungkin menjadi negeri yang paling banyak mengadakan demonstrasi jalanan atau perarakan bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan negeri khususnya Guan Eng. Suasana seumpama ini hampir tidak dapat dilihat semasa era Chong Eu dan Tsu Koon. Jika ada pun hanya perarakan sempena menyambut kemerdekaan, Maulidur Rasul, Cingay, kereta berhias, Hari Wesak dan Thaipusam.

Menarik juga semasa era Guan Eng ini, banyak ‘hadiah pelik’ yang cuba memasuki Komtar untuk dihadiahkan kepada Guan Eng. Paling banyak tentulah kek. Pelbagai jenis diterima. Ada kek bersalut krim putih di luar manakala di dalamnya berwarna hitam (simbolik pentadbiran kerajaan DAP indah khabar dari rupa); kek replika najis manusia yang diperbuat daripada polisterin dan disalut krim coklat (simbolik pentadbiran yang disifatkan kotor dan hanya cantik di luar, nampak lazat tetapi tidak boleh dimakan). Guan Eng juga dihadiahkan seluar dalam wanita dan coli bercorak harimau (simbolik seorang peniaga yang mendakwa kerajaan negeri tidak adil, tidak telus kepada rakyat kerana tidak memulangkan semula tapak niaga di Komtar). Begitu juga dengan replika bengkel, tandas, jentolak dan kunci.

Sempena tiga tahun pentadbiran kerajaan DAP pula, ada pihak yang menghadiahkan keranda kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik. Komtar juga digemparkan dengan penemuan beg galas berwarna merah, biru dan hitam. Beg itu ditemui di tingkat 3 Komtar. Beg berwarna biru yang dilabel LGE mengandungi seekor biawak, beg hitam dilabel NWA ditemui seekor anak babi dan merah yang dilabel MK ditemui seekor itik hitam. Penutup kepada tahun 2012, dua batu nisan dibawa naik ke Komtar, juga tanda protes terhadap kerajaan negeri pimpinan Guan Eng. Begitulah hadiah-hadiah istimewa yang menggambarkan ‘huru-hara’ yang berlaku. Entah apa pula hadiah yang akan menyusul selepas ini.

-Oleh Hassan Mohd. Noor

Puluhan Laporan Polis Terhadap Guan Eng, Kenapa Ibrahim Ali Jadi Sasaran


Saya ingin membuat sedikit ulasan terhadap gesaan mantan Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman supaya segera mengambil tindakan dibawah Akta Hasutan berhubung dengan kenyataan berbentuk ugutan Dato Ibrahim Ali, Presiden Perkasa terhadap Bible versi Melayu yang menggunakan Kalimah Allah.

Saya menghormati pandangan mantan peguam negara tersebut tetapi mempunyai pandangan yang sikit berbeza dalam hal ini. Pertama, kenyataan Dato Ibrahim Ali hendaklah dilihat dalam konteks yang luas dan lebih dalam. Luas ertinya mencakupi 28 juta rakyat Malaysia dan 2 billion penduduk dunia beragama Islam. Sementara kedalaman impak isu ini merujuk kepada persoalan aqidah yang berhubung langsung dengan masalah ketuhanan umat Islam. Seperti yang diketahui atas nama keagungan Allah dan kehebatan Islam manusia Muslim sanggup melakukan apa saja hatta mengorbankan nyawa mereka.

Meletakkan kedua-dua luas dan dalamnya isu ini sudah tentu tidak semudah itu bagi kita untuk mencadangkan sesuatu tindakan seperti yang dicadangkan oleh Yang Arif Tan Sri Abu Talib itu. Dato Ibrahim Ali mempunyai sebab tersendiri berbuat demikian. Umat Islam di Malaysia pula termasuk penduduk Muslim dunia pun mempunyai sebab tersendiri untuk mengambil sesuatu tindakan atas nama kesucian Islam hingga sanggup menjadikan nyawa mereka sebagai galangannya.

Bagi saya mencadangkan tindakan dibawah Akta Hasutan terhadap Dato Ibrahim Ali adalah sesuatu yang secondary sifatnya. Yang primarynya ialah punca dan pencetus kepada isu Kalimah Allah terbaru hingga memungkinkan Dato Ibrahim Ali menyatakan bisikan keimanannya terhadap Allah dan Islam yang dicintainya. Yang primarynya juga ialah Bible versi bahasa Melayu yang menggunakan Kalimah Allah yang sudah dicetak dan diedarkan termasuk kepada orang-orang Islam di negara kita. Apakah kita boleh menutup mata kepada sumber yang menjadikan isu ini terus membara atau adakah kita sebagai seorang Muslim dan Mukmin sanggup melihat agama kita diinjak-injak dan pegangan agama generasi Muslim pengganti nanti diselimuti dengan kekeliruan aqidah.

Seperti yang dilaporkan, puluhan laporan polis telah dibuat ke atas Lim Guan Eng. Tetapi kenapa dan mengapa hanya Ibrahim Ali dijadikan sasaran.

Inilah di antara persoalan yang perlu direnungkan. Mencadangkan tindakan tegas terhadap Dato Ibrahim Ali mungkin mudah tetapi mengawal anasir-anasir pencemar aqidah yang terus bertali arus, gigih, istiqamah dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang serba canggih tidak semudah seperti mengenakan tindakan kepada Dato Ibrahim Ali.

Fikir-fikirlah.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI KL
1 Februari 2013

Pemimpin PAS Boleh Membaca Niat Seseorang?



Assalamualaikum. Saya ada terbaca baru-baru ini di dalam Facebook Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan Tantawi yang mana dia mengatakan: “Ziarah Hamas melalui pintu depan tetapi membuat hubungan intim dengan Israel melalui pintu belakang adalah merupakan satu sikap hipokrit tahap durjana”. Sebenarnya kenyataan ini ditujukan kepada lawatan Perdana Menteri ke Gaza. Bagaimana kita melihat masalah ini?

Jawapan:
Niat adalah pekerjaan hati. Ibnu al-Qayyim mengatakan dalam bukunya Ighatsatu allahafan (1/136): “Tempat niat adalah di dalam hati dan tidak berhubungan dengan lisan sama sekali.” Ini menjelaskan bahawa niat seseorang tidak boleh diketahui secara pasti. Pekerjaan jasmani seperti tangan dan kaki, boleh dilihat dengan mata, tetapi gerak hati iaitu niat, tidak ada seorang manusia pun yang mampu mengetahui, tanpa izin Allah. Sementara itu, manusia yang diberi izin oleh Allah hanyalah nabi.

Ingin saya bawa kisah yang diriwayatkan oleh Umar Al Khattab mengenai bagaimana Jibril datang berjumpa Nabi lalu bertanya mengenai empat perkara iaitu Islam, iman dan ihsan. Terakhir adalah soalan mengenai bilakah terjadi kiamat. Nabi menjawab: “Orang yang ditanya tidaklah lebih tahu daripada penanya,” kemudian Jibril pun bertanya apakah tanda-tanda kiamat. (Riwayat Muslim, no:10).

Daripada peristiwa yang dikenal sebagai hadis Jibril ini, ulama Ahli Sunnah menyimpulkan bahawa: “Sama ada manusia mahupun malaikat, tidak mengetahui hal ghaib, lalu jika ada manusia yang mengaku mengetahui perkara ghaib, maka dia telah menyalahi ajaran Allah Taala serta petunjuk Rasulullah SAW”. (lihat Fatwa al-Syeikh Abdul ‘Aziz bin Baaz, Nuur ‘ala al-Darb no:18068)

Hal ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah tiada sesiapapun yang mengetahui hal ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah.” (surah al-Naml: 65)

Sikap diajarkan Nabi
Umat Islam hanya diperintah untuk menghukum manusia secara zahir. Oleh sebab itu semua sahabat melakukannya secara zahir. Hanya Huzaifah Al Yaman saja yang menyimpan senarai nama kaum munafik, itupun diberitahu oleh Rasulullah SAW.

Jadi saya menilai saudara daripada zahir, lalu saya percaya bahawa saudara ikhlas bertanyakan soalan. Inilah sikap yang Nabi ajarkan, optimis dan berbaik sangka, bukan melakukan bacaan minda atau ‘mind reading’ serta buruk sangka, iaitu ‘su’uz dzan’. Dalam ilmu psikologi dan komunikasi, dua perbuatan tadi adalah terlarang. Malah dalam Islam ia adalah haram.

Menariknya dalam sebuah peperangan, Usamah Bin Zaid – (cucu angkat yang menjadi kesayangan nabi) membunuh seorang askar musuh walaupun askar itu sudah bersyahadah tatkala pedangnya terjatuh. Tetapi Usamah berfikir bahawa tentera itu hanyalah melakukan helah kerana takut dibunuh. Ketika Rasulullah mengetahui hal ini, maka Baginda berkata: “Tidakkan engkau belah dadanya dan lihat jantungnya?” (riwayat Muslim, no:95)

Justeru, saya ingin bertanya kepada semua manusia yang sudah boleh membaca niat seseorang, apakah kita ini lebih mulia daripada Usamah bin Zaid? Seorang pemuda yang membesar di dalam rumah Rasulullah SAW, diajar dan dididik oleh Baginda. Selalu dibawa membonceng di atas unta bersama-sama.

Kalaulah Usamah bin Zaid, pemuda yang tumbuh daripada ilmu dan tarbiah Nabi pun tidak dapat membaca niat manusia, apakah Ketua Pemuda PAS mampu membaca niat Perdana Menteri? Ini sungguh luar biasa.

Jawapan di tangan Nasaruddin

Sekiranya Ketua Pemuda PAS sudah dapat melihat gerak hati manusia, ingin saya bertanya kepada beliau, siapakah pemimpin PAS yang menganut Syiah dan mengamalkan taqiyah? Taqiyah adalah antara dasar agama Syiah. Dalam bahasa moden disebut sebagai hipokrasi.

Tetapi kita boleh buat tekaan bahawa beliau tidak akan menjawab sebaliknya akan membangkitkan isu lain. Sekiranya beliau bertanya kepada saya, maka saya akan jawab: “Kita tidak menerima Syiah. Kalau ada yang menyusup masuk secara senyap-senyap, itu di luar pengetahuan kita, lagipun kita tidak pandai membaca gerak hati nurani manusia.”

Ketiga, saya tidak tahu apakah Malaysia memiliki hubungan diplomatik dengan Israel tetapi yang pasti Tehran memiliki hubungan dua hala dengan Tel Aviv. Iran adalah negara yang dijadikan idola oleh banyak tokoh PAS, termasuk Mat Sabu. Harakah selalu memuji Iran dan Khomeini. Malah pernah dikhabarkan bahawa salah satu parti pakatan pembangkang memiliki hubungan dengan Singapura dan Israel. Umum mengetahui bahawa Singapura adalah sekutu Israel.

Pernah pada masa lalu Penasihat PKR menyatakan secara terbuka untuk mempertahankan kedaulatan Israel. Sementara hubungan atau sokongan Kerajaan Malaysia kepada Israel tidak dapat dipastikan secara jelas walhal kerajaan menafikan segala tuduhan terbabit. Seandainya spekulasi yang tidak dapat dipastikan kesahihannya ini diistilahkan sebagai pintu belakang, pasti ucapan Penasihat PKR di Wall Street Journal adalah pintu hadapan.

Lalu apakah yang akan dikatakan oleh Ketua Pemuda PAS kepada Penasihat PKR yang menggunakan pintu hadapan? Semoga Ustaz Nasaruddin akan memberi jawapan yang akan merungkai dua persoalan di atas.

Oleh: Dr Fathul Bari Mat Jahya


Hannah Yeoh Gagal Menjadi Wakil Rakyat Subang Jaya


Salah laku Hannah Yeoh telah banyak dibongkar. Salah satunya berkenaan peruntukkan membaiki jalanyang telah diberikan kepada Hannah Yeoh Adun Subang Jaya untuk menjaga kebajikan penduduk Subang Jaya namun atas salahguna kuasa adun DAP yang lalai menjalankan tugas maka jalan-jalan di sekitar penyeliaan MPSJ tidak dijaga dengan sebaiknya. Kejadian jalan rosak, lampu jalan tidak berfungsi masih terus berleluasa. Dan salah seorang mangsa adalah seorang warga emas koma selama seminggu selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Lestari Perdana, dekat Sri Kembangan.

Hakikat bahawa Hannah Yeoh hanya sekadar menjalankan tugas adun dengan berfungsi sebagai penulis di beberapa akhbar seperti STAR semata-mata ingin membina reputasi palsu di mata masyarakat Subang Jaya. Rakyat Selangor dibohongi seolah-olah Hannah Yeoh ini telah menjalankan tugas dengan cemerlang melalui propaganda penulisan beliau sedangkan hakikat sebenarnya tiada apa-apa pembaharuan dan pembaikpulihan yang Adun Dap ini jalankan. Begitu juga dengan propaganda yang mereka jalankan di blog-blog dan akhbar Cina di mana mereka telah suap secukupnya editor dan kakitangan untuk mengeluarkan berita palsu mereka. Kenyataan sebenarnya yang menjadi ukuran adalah MANIFESTO PRU12 dimana kurang dari 25% janji dapat mereka tepati kerana semua adun pakatan haram Selangor tidak menjalankan tugas.

Namun begitu pembohongan Hannah Yeoh di media sosial akhirnya terbongkar. Bagi menjaga reputasinya Hannah Yeoh sanggup “block” dan delete postingnya sendiri yang telah terbongkar. Itu yang kita tahu. Saya yakin banyak lagi perkara yang kita tidak tahu telah dimanipulasi oleh Hannah yeoh. Saya juga percaya segala kejahatan Hannah Yeoh bakal dibongkar dalam sedikit masa lagi.


1) @jasmeenz (seorang pengundi di kawasan Subang Jaya) tweet :

2) Ini pula reply Hannah Yeoh kepada pengundi tersebut :


3) Hannah Yeoh ‘deny’ kenyataan @jasmeenz dengan mengatakan beliau TIDAK PERNAH kata(memberi arahan) sebegitu ..Adakah @jasmeenz menipu?? Ini pula gambar yang dimuatnaik oleh seorang lagi rakan Twitter @seademon (juga pengundi di DUN Subang Jaya.

klik untuk imej jelas

Jadi siapa menipu?? Pengundi/Rakyat atau ADUN?

Apabila mereka sambut pendedahan @seademon , Hannah Yeoh telah bertindak ‘block’ mereka :




Persoalan kini mengapakah Hannah Yeoh “block” mereka yang berjaya membongkar penipuannya. Penakut kah dia? Namun apa yang pasti keburukkan Hannah Yeoh telah berjaya dibongkar satu persatu. Kejahatan yang dilakukan Adun Subang Jaya ini tak mampu terus disorokkan lagi. Bangkai gajah tetap akan dihidu juga akhirnya.k block ?kerana dilodeh??

Bukan sahaja block, Malahan Hannah Yeoh juga juga bertindak memadam tweet yang dihantar beliau…

aduuih! mana hilangnya tweet tu?


Hannah Yeoh tidak dapat menerima kritikan dan tak berani bertanggungjawab atas kesalahan diri sendiri lalu bertindak menyekat sesiapa sahaja yang menyoal beliau…

contoh tweet Hannah Yeoh yang ‘hilang’ dari timelinenya.

Timestamp tweetnya di bawah ialah 7.42pm, 23 Nov 2012.

Dia mendakwa sepanduk-sepanduknya “mysteriously removed” dan kemudiannya membayangkan benda itu dicuri.



Di bawah ialah screenshot aliran timeline bagi suapan Twitter Hannah Yeoh (23 Nov). Tweet yang di atas sudah dipadamkannya.

Komen oleh @mengoyee pada pukul 11.46 malam sebenarnya adalah tweet balas kepada tweet ‘hilang’ yang dibuat Hannah beberapa jam awal pada hari tersebut.



Sidang Dun Mac 2012

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh (DAP) sedang melayan facebook ketika dewan bersidang

Kalau dulu Yang Berhormat “Righteousness exalts a nation” (cogankata blognya) itu pernah menyalahkan Najib waktu dia dirakam CCTV sedang sibuk mengFacebook ketika DUN bersidang, kita boleh menjangka kali ini dia mungkin akan salahkan “kesilapan teknikal” Twitter pula.

Sama sepertilah yang telah berlaku dalam pengiraan undi pilihan CEC partinya.

Eh, eh, “mysteriously removed” juga kah?






Kesimpulannya Hannah Yeoh ini Adun Media Sosial di alam maya sahaja. Dia tidak mampu menjadi wakil rakyat untuk penduduk Subang Jaya.




-Selangordaily

Bubar DUN: Bukti Khalid Tertekan - Penganalisis


Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan hasratnya untuk mengadakan pilihan raya negeri selepas Tahun Baru Cina bulan depan sebagai tindakan tertekan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Ahmad Atory mendakwa ini kerana Khalid Ibrahim dilihat semakin tertekan dengan pelbagai kontroversi yang dipalitkan terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor selepas gagal menunaikan segala janji manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke 12 pada 2008.

Malah, Ahmad Atory berkata tindakan Khalid itu sengaja dilakukan bagi mengelirukan rakyat.

Ujarnya, ini kerana hasrat kerajaan Selangor untuk membubarkan DUN selepas sambutan Tahun Baru Cina bulan depan, bukanlah suatu masalah kerana dewan akan terbubar dengan sendirinya dalam masa dua bulan lagi.

“Besar kemungkinan Khalid Ibrahim ini pun cemas, jadi dia pun ceritalah tentang pilihan raya yang tidak sama dengan kerajaan Persekutuan.

“Saya rasa Khalid ini dalam keadaan tidak menentu sudah sekarang ini. Sepatutnya sebagai seorang pemimpin dia sepatutnya tidak membuat kenyataan tidak menentu. Sepatutnya dia diam dulu dan dia dilihat hendak menimbulkan satu lagi kekeliruan dikalangan rakyat sebenarnya,” katanya kepada Antarapos.

Beliau berkata demikian mengulas konsistensi Khalid dalam menyatakan pendiriannya bersabit mengadakan pilihan raya DUN berasingan dengan kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Dalam pada itu, Atory berkata tindakan Khalid mengumumkan hasratnya untuk mengadakan pilihan raya berasingan itu mempunyai agenda tersendiri apabila dilihat cuba menutup isu-isu nasional yang membabitkan kepentingan rakyat terutamanya dalam isu kalimah Allah yang ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Januari lalu.

“Saya banyak nampak cubaan untuk menutup kalimah Allah ini, saya lihat mereka (Pakatan Rakyat) hendak cuba tutupkan tetapi tidak tertutup.

“PAS pun cuba hendak tutupkan isu ini tetapi mereka tidak tertutupkan, kalimah Allah ini lebih besar isunya,” katanya.

Sehubungan itu, Atory mencabar Khalid dan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengadakan pilihan raya secara serentak dengan kerajaan Persekutuan sekiranya parti pembangkang benar-benar bersedia menghadapi kebangkitan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

“Khalid Ibrahim ini suka mengambil kesempatan atas perkara yang tidak betullah, nampak sangat tidak berani, penakut, jadi kalau betul-betul profesional, apa yang hendak ditakutkan dengan BN?,” tegasnya.

Untuk rekod, DUN-DUN akan terbubar secara automatik biarpun Menteri Besarnya tidak membuat sebarang pengumuman untuk membubarkan DUN sebelum memberi laluan kepada kerajaan persekutuan membubarkan parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13.

Tarikh pembubaran DUN bagi Johor (21 Mac) ini, Negeri Sembilan 26 Mac, Pahang 7 April, Selangor 22 April, Perak 24 April, Melaka 26 April, Perlis dan Kelantan 28 April, Sabah 29 April, Pulau Pinang, Kedah 2 Mei dan Terengganu pada 5 Mei.

Bagaimanapun pada 28 April ini Parlimen Malaysia secara automatik terbubar jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak membuat sebarang pembubaran dalam tempoh sepenggal ini.

-Antarapos