Thursday, February 21, 2013

Ada Apa Bila Parti Serpihan Pas, BERJASA Sertai PRU 13


Kalau tanya generasi muda sekarang pasti ramai yang kata tak kenal langsung apa itu BERJASA. Ini kerana sudah lebih 17 tahun parti politik serpihan PAS itu menyepi.

Tiba-tiba muncul berita baru-baru ini mengenai pengumuman parti BERJASA untuk bertanding semula dalam PRU ke 13.

Pengumuman itu sudah tentu menimbulkan tanda-tanya dan menarik perhatian berbagai pihak terutamanya pemerhati politik semasa.

Semua orang tahu PAS kini berkecamuk dengan berbagai masalah ekoran hubungannya dengan DAP dan PKR.

Apakah ia hendak mencelah masuk melihat situasi itu?

Jika PAS menggunakan lambang bulan, BERJASA menggunakan lambang bintang. Warnanya sama hijau dan putih.

Kali terakhir BERJASA bertanding PRU ialah pada tahun 1995 bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU).


Lebih menarik dengan pengumuman NGO yang menjadi wadah aktivis Islam, Ikatan Muslimin Malaysia atau ISMA untuk bertanding di atas tiket BERJASA.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkira-kira untuk bertanding di 20 kerusi DUN dan Parlimen seluruh negara.

Dengan fokus yang jelas “Bukan kerusi yang ditandingi UMNO atau PAS,” katanya.

“Calon-calon ISMA masuk bertanding untuk menang, dan berharap dapat memainkan peranan Kuasa Ketiga sebagai pendesak, penentu dan pengimbang kuasa,” ujarnya.

Tambah beliau, kawasan-kawasan yang dipilih pula adalah demi memastikan kuasa politik orang Melayu kekal utuh sebagai faktor penentu kedudukan Islam di negara ini.

“Jentera pilihanraya di kawasan-kawasan ini telah pun bersiap siaga dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” kata beliau.

Komitmen ISMA untuk bersama dengan BERJASA sudah pasti menjadi satu nafas baru kepada parti yang beralamat di No 17, Jalan Besar Pasir Mas Kelantan itu.

Ini kerana ISMA mempunyai jaringan ahli dan penyokong yang berteraburan di seluruh Malaysia sebagai NGO, apabila pertubuhan itu menyertai parti politik, ia secara tidak langsung akan menggerakkan ahli-ahlinya menjadi kader parti di kawasan-kawasan tersebut.

Formula itulah yang digunakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menukar sebuah parti kecil Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) yang beralamat di Terengganu kepada Parti Keadilan Nasional pada tahun 1999.

Anwar kemudiannya menggunakan NGO ABIM dan JIM sebagai ahli asas kepada parti dan menggerakkan penubuhan cawangan serta bahagian di seluruh negara.

Jentera asal PKR adalah aktivis ABIM dan JIM sebelum dikembangkang lagi dengan penggabungan antara PKN dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menjadi PKR seperti yang wujud hari ini.

Manakala berdasarkan sejarahnya BERJASA atau nama penuhnya Barisan Jamaah Islamiah SeMalaysia bukan parti baru dalam politik tanahair di negeri-negeri majoriti Melayu sebelah Pantai Timur terutamanya Kelantan.

Parti ini ditubuhkan oleh bekas Menteri Besar PAS Kelantan Datuk Muhamed bin Nasir selepas dipecat PAS pada tahun 1977 berikutan pertelingkahan dengan Presiden PAS masa itu Datuk Asri Muda.

Pernah menyertai BN dan mentadbir Kelantan, dua penggal. Pada tahun 1978 di mana parti tersebut menang 11 DUN dan membentuk kerajaan bersama BN Kelantan dan PRU 1982, di mana parti itu menang enam kerusi DUN.

Bagaimanapun pada PRU 1986, parti itu tidak meletakkan sebarang calon selepas keluar dari BN dan menjadi pembangkang sebelum kembali berkerjasama dalam APU pada 1990 dan 1995.

Bagi orang-orang lama di Kelantan ia merupakan parti alternatif kepada PAS.

Dalam PRU 13 ini ada 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN akan dipertandingkan.

Antara kerusi yang bakal ditandingi BERJASA mengikut maklumat yang diterima Agendadaily adalah Parlimen Subang, Puchong, Seremban, Tapah, Wangsa Maju, Segamat dan DUN Gurun serta Derga.

Parlimen Subang hampir 50 peratus adalah pengundi Melayu, Cina 35 peratus, India 13 peratus selebihnya kaum-kaum lain.

Penyandangnya dari PKR R Sivarasa yang mengalahkan calon MIC S Murugesan dengan majoriti lebih 7 ribu undi di kawasan yang mempunyai lebih 60 ribu pengundi.

Lihat pula Parlimen Seremban, di mana peratusan kaumnya Melayu 45 peratus, Cina 45 peratus, India 12 peratus selebihnya lain-lain kaum.

Berdasarkan keputusan PRU 2008, Calon DAP John Fernandes menang dengan majoriti 3 ribu undi mengalahkan Datuk Yu Chok Tow dari BN. Juga ada lebih kurang 60 ribu pengundi.

Atau Parlimen Padang Serai di mana peratusanya kaum Melayu adalah 54 peratus, Cina 22 peratus, India 22 peratus dan selebihnya lain-lain kaum.

Kerusi itu dimenangi oleh PKR pada 2008 dengan majoriti lebih 11 ribu undi selepas calon PKR N. Gobalakrishnan mendapat 28,774 berbanding calon BN Datuk Boey Chin Gan 17,036.

N Gobalakrisnan bagaimanapun keluar dari PKR dan menjadi wakil bebas di Parlimen pada 2010.

Dalam kata mudah, BERJASA menjadi alternatif kepada orang Melayu/Islam di kawasan-kawasan yang mana UMNO dan PAS tidak bertanding dan jangan terkejut jika calonnya adalah seorang tokoh Islam yang berwibawa, mungkin juga bakal mendapat undi dari kaum-kaum lain.

Beberapa aktivis Islam memberitahu Agendadaily, akan ada kejutan dari segi calon-calon yang ditampilkan oleh BERJASA nanti.

Presiden BERJASA, Mohd. Yusoff Haron sendiri awal Febuari lalu menawarkan tempat untuk bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa untuk bertanding di atas tiket parti tersebut.

“BERJASA boleh bekerjasama dengan semua pihak yang boleh menyumbang kepada kebaikan negara dan rakyat,” katanya.

Pengarah Eksekutif Markas Pilihan Raya BERJASA, Brig Jen (B) Datuk Hashim bin Abdul Karim pula dilaporkan berkata, parti itu mengambil keputusan untuk kembali bertanding pada PRU 13 demi memperkasakan hak orang Melayu dan agama Islam.

Beliau juga berkata, langkah meletakkan calon kali ini bukan bertujuan memecahkan undi orang Melayu, sebaliknya mahu meramaikan wakil kaum itu di Parlimen.

Berdasarkan faktor-faktor itulah kemunculan semula BERJASA menarik perhatian berbagai pihak, apatah lagi ketika PRU 13 akan datang dilihat sebagai ‘ibu segala pilihanraya’.

Perang di atas gelanggang sudah pasti bukan lagi antara BN dan pakatan pembangkang, tetapi juga kemunculan parti baru yang dijenamakan semula, selain calon-calon bebas di 222 kawasan Parlimen dan 505 DUN seluruh negara.

Semua sudah bersiap sedia hanya menunggu tarikh Parlimen dibubarkan sahaja, dari SMS terkini yang disebarkan ‘kononnya’ tarikh yang dicadangkan adalah pada 4 Mac nanti. Wallahualam...

-Helmi Hanafi

Mufti Perak : Pas Dan UMNO Masih Ada Ruang Bersatu


Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Pas dan UMNO masih ada runag untuk bersatu disebabkan kedua parti itu mengucap dua kalimah syahadah yang sama.

“Saya nampak masih ada harapan untuk mereka (Umno dan Pas) bersatu selagi mereka ada iman,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sambil menyifatkan pihak yang tidak mahu bersatu dan mahu memecahbelahkan umat Islam seolah-olah membawa ajaran sesat, Harussani berkata usaha memutuskan hubungan silaturahim sesama Islam, hukumnya adalah haram.

“Kita tidak boleh putuskan silaturahim sesama Islam semata-mata untuk bekerjasama dengan kafir harbi yang terang-terang menolak Islam.

“Tahalluf siyasi (kerjasama politik) tidak boleh dibuat jika benarkan perkara yang dilarang oleh syarak,” katanya.

Harussani berkata, dalam al-Quran jelas menyatakan golongan kafir itu adalah golongan orang-orang yang zalim.

Beliau berkata, jika sekiranya timbul rasa marah atau tidak puas hati terhadap kepimpinan Islam yang sedia ada, wajib untuk menegur untuk membetulkan mereka.

“Kalau marah sekalipun, wajib betulkan dan menasihati mereka, bukan menjatuhkan atau membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Akibatnya, agama dan bangsa akan hancur. Sebab itulah setiap orang Islam wajib bersatu padu,” katanya

Kelmarin, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah terdapat andaian jika dua kabilah politik Melayu yang saling berpengaruh kembali bercantum, akan tercapailah perpaduan ummah di negara ini.

PAS Kedah Kini Berdepan Sindrom Rebut Kerusi MB... Phahrolrazi Tak Tersenarai, Mahfuz Omar Naik!


Belum pun bermula PRU 13, rebutan kuasa sudah berlaku di negeri rejim Pakatan...

Berita terbaru yang terhangat di pasaran kini ialah rebutan kuasa siapa yang layak jadi MB negeri Kedah... Ibaratkan yang dikejar tak dapat yang di kendong ni tak tau la cicir tah kemana hahaha!

Krisis demi krisis yang tidak pernah padam dalam kerajaan Kedah menjadi pembuka mata kepada rakyat untuk menilai parti mana yang layak menerajui negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dikatakan tidak tersenarai sebagai calon Menteri Besar Kedah sekiranya Pakatan Rakyat kekal sekali lagi menerima mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

Pas sebaliknya dikatakan meletakkan harapan kepada Naib Presiden parti, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Hayati Osman untuk jadi Menteri Besar Kedah yang baru.


Sumber dalaman Pas memberitahu, Mahfuz dan Dr. Mohd Hayati disenaraikan bersama seorang lagi tokoh akademik yang masih dirahsiakan namanya.

"Tiga nama ini merupakan nama yang telah dipersetujui oleh Pas Pusat untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar baru," kata sumber tersebut.

Bagaimanapun sumber itu memberitahu, hubungan baik Phahrolrazi yang juga ADUN Pengkalan Kundor dengan 'pihak tertentu' di Kedah mungkin menyebabkan senarai tersebut ditolak.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dikatakan akan bertanding salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimennya manakala Dr Mohd Hayati disebut-sebut akan bertanding di DUN Tokai dalam kawasan parlimen Pendang.

Kawasan Parlimen Pokok Sena mempunyai 3 kerusi DUN iaitu Bukit Lada, Bukit Pinang dan Derga. Dalam pilihan raya umum yang lalu, Pas menang 2 daripada kerusi DUN tersebut iaitu Bukit Pinang dan Bukit Lada.

Laporan media sebelum ini menyebut, ADUN Bukit Pinang, Datuk Mohd Roshidi Osman bakal melepaskan kerusi yang disandang sejak dua penggal lalu.

Phahrolrazi baru-baru ini menyatakan kesediaan untuk memegang jawatan Menteri Besar Kedah namun menyatakan tidak akan melobi jawatan tersebut yang kini dipegang oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Azizan dalam pada itu dilihat berdepan tekanan selepas sekumpulan ahli PAS mendesak beliau berundur daripada menerajui parti itu di peringkat negeri.