Lagu Getaran Jiwa dendangan P Ramlie dalam filem Antara Dua Darjat begitu berkesan sekali. Ia menggambarkan betapa resahnya jiwa apabila kebahagiaan yang diharapkan akhirnya musnah berkecai atas angkara seseorang yang hidupnya penuh delusi.
Delusi dikaitkan dengan rasa cemburu yang keterlaluan. Akibat cemburu jugalah menyebabkan seseorang itu terus menyimpan dendam, dan sentiasa mencari jalan untuk membalasnya.
Itulah juga yang berlaku dalam kehidupan berpolitik di Malaysia. Akibat delusi, maka pakatan pembangkang terus berusaha menghumban parti yang masih sah kekuasaannya dengan pelbagai dakwaan buruk sehingga suatu ketika rakyat seakan-akan resah dan percaya, hanyalah pakatan pembangkang sahaja parti yang boleh mengembalikan kemakmuran negara.
Pakatan pembangkang dianggap terbaik dan mampu selesaikan banyak masalah termasuk ekonomi. Setelah berlalu hampir lima tahun lamanya, kini pakatan pembangkang resah sekali lagi kerana rakyat semakin sedar haknya. Mereka bangkit beramai-ramai menagih janji, kerana janji itu tidak ditunaikan dan seringkali diputarbelitkan. Ia bukanlah janji, hanya manifesto politik. Maknanya, janji yang dibuat itu hanyalah retorik dan bukan kepastian.
Kecewanya orang Melayu bukan kepalang. Bahkan mereka mempersoalkan apakah mereka yang berjanji itu tidak tahu dosa dan pahala. Orang berjanji, kalau tidak ditepati, maknanya berdosa dan sah berstatuskan pembohong.
PRU-13 semakin hampir, maka sekali lagi pemimpin berkenaan bermain dengan kata-kata. Mereka akan lakukan yang lebih baik lagi apabila rakyat memberikan mereka peluang, yakni mengundi mereka. Namun, kali ini rakyat sudah tidak lagi membuka ruang simpati. Mereka seakan-akan serik dan tidak mahu mengulangi kesilapan.
Dengan menggunakan muslihat agama, Mursyidul Am PAS menulis: Islam itu bukannya singgah pada pepohon atau bumi tetapi kepada manusia. Sedangkan manusia itu ditempatkan oleh Allah SWT di muka bumi. Untuk menyelamatkan Islam ialah dengan menjaga manusia, untuk menyelamatkan manusia dengan cara menjaga keselamatan bumi. Ia merupakan tugas bertali-tali antara kewajipan menjaga Islam, manusia dan bumi.” (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, “Ciptaan daratan, lautan sumber rezeki,” Harakah, Bil. 1817: 11-14 Februari 2013).
Sudah empat dekad sebagai wakil rakyat dan lebih dua dekad sebagai Menteri Besar, Mursyidul Am PAS masih merayu sedangkan rakyat semakin terhimpit hidup dalam kesukaran peluang kerja, kekurangan prasarana dan penuh politicking. Rakyat mula bertanya, kenapa air bersih tidak muncul juga setelah berjanji akan melakukannya sejak tahun 1997; kini rakyat terhimpit dengan warna air sungai seperti teh tarik, kerana hutan di hulu sudah digondolkan.
Peneroka Felda Paloh 4 semakin khuatir, ladang rakyat yang dijanjikan masih belum menjadi kenyataan. Lebih 4,000 ekar tanah pula diberikan kepada pemimpin DAP untuk ditanam semula hutan walhal rakyat yang sekian lama mengusahakan tanah tidak diutamakan. Tapi Menteri Besar terus bermain kata-kata: ..kepada orang yang lidahnya fasih dan pintar akan mendorong manusia bekerja kuat dan rajin, bukan atas dorongan kerajaan atau mana pihak.”
Tidak juga dijelaskan apakah peranan beliau sebagai pemimpin sudah terlaksana sepenuhnya? Apakah kerajaan pimpinannya sudah sediakan ruang dan peluang untuk rakyat mencari rezeki dengan tenang? Semuanya dikelirukan dengan menyatakan bahawa kerajaan yang dipimpinnya telah banyak buat, tapi rakyat tetap bertanya: Mana? Apa?Bila?
Ketara berbeza. Setelah mengambil alih pentadbiran negara pada bulan April 2009, Datuk Sri Najib tetap tidak percayakan pakatan pembangkang mampu laksanakan yang terbaik untuk rakyat. Hari ini, setelah empat tahun memegang tampuk pemerintahan, terlalu jauh perbezaannya. Rakyat sudah dapat melihat hasilnya. Manakala pakatan pembangkang masih terkial-kial membuat janji baharu sedangkan janji lama masih banyak yang belum ditunaikan.
Datuk Sri Najib telah berjaya meletakkan dasar pembangunan yang tegas dan penuh makna. Ini memperlihatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjwab dan kuat bekerja, bukannya kuat mencerca.
Langkah pertama yang beliau ambil ialah meletakkan dasar memperkukuhkan semula perpaduan antara kaum yang mula tercabar oleh selekoh politik. Dengan memberikan wajah baharu kepada perpaduan dalam gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, hasilnya lahirlah pelbagai jenama yang membawa faedah meluas. Kini sudah ada BR1M, SL1M, TR1MA, PR1MA, Klinik 1 Malaysia, Asrama 1 Malaysia, 1M4U, 1MD, dan sebagainya sehingga menyebabkan pakatan pembangkang kian gelisah dan resah.
Semuanya dilaksanakan dengan tanggungjawab mensejahterakan rakyat dan bukannya “me biuskan” pemikiran rakyat menerusi ekstasi politik. Kumpulan yang susah dibantu, keluarga yang susah dicari dan mereka yang jauh didekatkan. Semuanya dilakukan atas nama tanggungjawab dan kesedaran, berdosa kalau membiarkan rakyat hidup menderita dan melarat.
Di peringkat nasional pula dilakukan pelbagai bentuk perubahan yang kemudiannya dijenamakan sebagai Model Ekonomi Baharu. Peraturan yang dilihat sebagai penghalang dimansuh atau diubahsuai. Kemudiannya dipatenkan menjadi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Ia dirangka secara menyeluruh berdasarkan segmen ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan seterusnya dirangkumkan ke dalam suatu istilah khusus, iaitu Najibnomics.
GTP sudah memasuki fasa kedua. Pengiktirafan antarabangsa diterima dan Najibnomics dilihat sebagai landasan yang betul dan tepat bagi berhadapan dengan kelemahan ekonomi dunia. Kini, meskipun ekonomi dunia masih lembab, menurut banyak pihak, ekonomi Malaysia tetap terus berkembang dan tumbuh sekadar lima peratus setahun.
Ketika menjelaskan Najibnomics, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Dr M0hd Irwan Serigar Abdullah menjelaskan, program-program transformasi dan sosial di bawah Model Ekonomi Baharu (MEB) berjaya meningkatkan ekonomi, pelaburan swasta, produktiviti, peluang pekerjaan dan pengurangan kadar jenayah.
Kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, “Najibnomic ialah satu set dasar ekonomi yang merangkumi idea-ide kreatif dan inovatif, strategi dan program Najib untuk mengakat negara kea rah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.”(Mohd Ridzwan Iman, Najibnomics Merubah Ekonomi, Utusan Malaysia, 12.02.2013).
Hal yang sama tidak berlaku dalam negeri-negeri yang diperintahkan pakatan pembangkang. Sebaliknya semakin banyak aset kerajaan negeri dicair dan dipindah milik bagi membolehkan kerajaan negeri mendapat hasil. Kalau dahulu, kawasan tanah tinggi direzabkan sebagai kawasan tadahan air, sejak terdesak untuk “menunaikan janji” digondolkan bagi mendapatkan hasil balak.
Semuanya kerana tidak mahu mengingatkan impak masa depan. Bila bukit dan tanah tinggi digondolkan, banyak habitat semula jadi pupus manakala hakisan mudah berlaku. Kesannya, air sungai keruh dan bekeladak manakala hak rakyat mendapatkan sumber air semakin terjejas. Bukit Pedu sudah bertukar dari kesegaran fauna dan flora menjadi bukit botak. Tanah Tinggi Lojing semakin menyesakkan kehidupan suku kaum peribumi di Hulu Kelantan, mereka sudah kehilangan kawasan rayau untuk mendapatkan sumber rezeki.
Gugusan Paloh, Gua Musang sudah bertukar dari pemilikan peneroka kepada ladang rakyat yang belum pun mendatangkan apa-apa hasil. Janjinya belum tertunai, rumah mampu milik belum juga terbina dan banyak lagi. Semuanya itu menggambarkan situasi ngeri akibat hanya “janji manis” tetapi tidak dilaksanakan meskipun kepercayaan sudah diberi. Kini, kepercayaan itu semakin tipis dan hampir robek.
Pemimpin pembangkang ibarat lelaki tua yang bernafsu mahu kahwin dengan wanita muda. Kini, semakin giat mempersiapkan diri dengan mengambil pil kuat, sama ada dari jenama Viagra ataupun Calais, kerana momentum sedemikian perlu ditunjukkan jika tidak mahu dikecewakan. Gadis sekarang semakin bijak membuat keputusan, bersuamikan lelaki tua yang hanya bergantung kepada “ubat kuat” sudah tidak boleh diharapkan, kerana mereka bukanlah ikhlas dan jujur.
Ulama politik banyak mencari kesalahan orang lain sehingga tidak sanggup memperbetulkan kesalahan sendiri. Kebencian dirinya sampai ke tahap paling maksimum sehingga tidak mampu lagi berfikir secara rasional, semuanya keputusan dibuat berdasarkan keputusan emosional. Kalimah Allah menjadi salah satu bukti, akhirnya sanggup pula mengetepikan pemimpinnya sendiri yang tidak setuju dengan pendirian Presiden dan Mursyidul Am PAS.
Mereka amat bijak bermain dengan alasan dan mencipta fakta. Hasilnya, rakyat dijadikan sasaran melulu sehingga di berikan pula kata-kata, perjuangan dalam bentuk tahaluf siyasi bukanlah sesuatu yang salah dan berdosa. Bahkan, sejak berzaman lagi Islam memberikan hak kepada bukan Islam. Tetapi, tidak mereka jelaskan, kenapa dalam tahaluf siyasi, bukan Islam boleh memperlekehkan Allah? Di manakah kewajarannya, sedangkan bukan Islam tidak boleh menerima PAS sebagaimana asal dan bentuknya yang asli?
Hasrat rakyat seringkali diketepikan dan sebaliknya dibangkitkan emosi rakyat untuk bersatu membina semula kekuatan dengan melakukan protes jalanan termasuk bakal menagih tindakan ala Arab Spring. Sudah kedengaran, jika pakatan pembangkang kalah, Arab Spring akan berlaku? Tidakkah ini bermakna, pakatan pembangkang sebenarnya yang mencintai kekecohan manakala BN mencintai kehidupan yang aman, damai dan sejahtera?
Persoalan seperti ini sudah terbukti dengan beberapa siri tindakan anarkisme dalam siri Bersih, KL#112 ataupun Gerakan Mansuhkan ISA. Setelah kesemuanya sudah tidak lagi menjadi halangan, kenapakah Arab Spring mahu dibawa masuk? Tentunya, Arab Spring tidak akan berjaya di Malaysia, kerana rakyat Malaysia lebih bijaksana.
Rakyat Malaysia sedar, untuk meruntuhkan sesuatu yang sudah ada adalah lebih mudah berbanding untuk mengembalikan keamanan. Pergolakan semula di Tunisia dan Mesir banyak memberikan pengajaran, ada tangan-tangan ghaib yang sedang bermain untuk mencetuskan huru-hara kerana mereka bencikan Islam. Mereka takut kebangkitan Islam bakal menjadi kuasa politik dan ekonomi yang kuat.
Kalaulah itu kaedah yang hendak dilakukan oleh pakatan pembangkang, lebih baik mereka lupakan hasratnya. Rakyat Malaysia amat tidak bersetuju, kerana revolusi lebih banyak mengundang bahaya dan bencana, yang untungnya ialah mereka yang penuh curiga, cemburu dan ingin membalas dendam. Delusi bukan menyebabkan manusia semakin baik, ia boleh menyebabkan kehidupan menjadi semakin sukar dan terhimpit.
Tuduhan awal bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang selamat, akhirnya terjawab dengan sendirinya apabila World Justice Project pada tahun lalu meletakkan di tangga ke-12 sebagai negara paling selamat. Kedudukan itu berjaya mengatasi Amerika Syarikat dan Britain. Akhir tahun lalu, The Earth Institute meletakkan Malaysia di tangga kelapan dalam senarai negara-negara dalam “Ranking Kegembiraan”.
Semuanya ini kerana dasar dan keupayaan kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Ia bukan seperti pakatan pembangkang yang hanya tahu menimbulkan kekeliruan bagi membangkitkan persepsi buruk, dan kini persepsi buruk sedang mereka alami. Rakyat sudah mula sedar, pakatan pembangkang tidak melakukan apa-apa untuk faedah rakyat, kecualilah mendesak dan menuduh, walaupun apa yang dibangkitkan itu hanyalah tuduhan dan bukannya fakta.
Berlainan dengan kaedah berpolitik yang dilakukan oleh pakatan pembangkang. Dengan hanya sedikit kekuatan kesan kemenangan PRU-12, pakatan pembangkang mengheret rakyat ke kancah politik kebencian sehingga menampakan seolah-olah merekalah yang sebenarnya berkuasa dan berupaya menentukan proses bernegara selanjutnya.
Mujurlah situasi itu tidak menjadi, kerana rakyat masih rasional untuk mengesan secara jelas apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh pakatan pembangkang. Hasilnya, dalam tempoh empat tahun (April 2009-Februari 2013), belum berlaku perubahan kerajaan dan rakyat semakin sedar, yang mana permata dan yang mana pula kaca.
Dalam pakatan pembangkang, hampir setiap masa berlakunya provokasi dan penghinaan. Tetapi, usaha menyembunyikannya sudah tidak dapat dibendung lagi. Akhirnya pelbagai kebohongan terserlah. Antara pemimpin tiada muafakat, semuanya mempertahankan pendirian masing-masing dengan berasaskan matlamat politik walaupun terpaksa menjual diri dan maruah.
Ini tidak berlaku dalam kepimpinan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Sri Najib. Mereka terlebih dahulu akan mencari kata sepakat dan mempertimbangkan fakta dengan cermat. Keputusan yang dibuat menggambarkan suasana muafakat, maka itulah BN semakin kembali mendapat tempat di hati rakyat.
Janji kepada rakyat sudah ternyata membawa rahmat. BR1M akan diteruskan sampai bila-bila, tetapi pakatan pembangkang masih terkial-kial untuk membawa Buku Jingga walaupun sebahagian solusinya sudah lapuk dan ketinggalan. Pakatan pembangkang sebenarnya sedang berada dalam situasi antara sedar dan koma, kerana delusinya kian hebat dan terdesak. Delusi dalam dirinya sudah tidak terkawal, dan mungkinkah PRU-13 menjadi medan mereka dikuburkan?
Lebih 13 juta pengundi akan menentukannya, maka bermacamlah ketakutan dan janji manis yang bakal mereka berikan. Mereka takut delusi itu akhirnya menjadikan nyawa politik pakatan pembangkang ditamatkan secara tragic, hanyalah sekadar pangkahan di atas kertas undi. Itulah sebabnya, PRU-13 dianggap nyawa dan ibu kepada semua parti politik yang bakal memasuki arena pertandingan merebut kuasa.
Oleh Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Terangbulan.net