Saturday, March 23, 2013

291 Anggota Tinggalkan PKR, Sertai BN


RAWANG: Seramai 291 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR)kawasan Hulu Selangor hari ini bertindak menyertai Barisan Nasional (BN) selepas kecewa dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu.

Mereka meluah kekesalan apabila termakan pelbagai janji manis PKR sehingga sanggup memilih parti itu dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Bekas Ketua Cawangan PKR Kampung Asa, Hulu Bernam, M.Peter, 40, berkata beliau kecewa dengan kepimpinan PKR yang didakwa langsung tidak turun menjenguk penduduk di kawasan itu dan permintaan mereka yang memerlukan bantuan juga tidak diendah.

"Saya kerja dengan PKR, saya lihat sangat susah orang sakit, minta bantuan pemimpin PKR pun tidak dapat, mereka tidak peduli langsung.

"Tidak seperti pemimpin BN yang selalu datang tengok penduduk dan beri bantuan yang diperlukan," katanya kepada pemberita. Seorang lagi bekas anggota PKR, M.Devi, 35, dari Estet Changkat Asa berkata beliau benar-benar sedih kerana memberi kepercayaan kepada PKR yang hanya tahu menabur janji tetapi tidak menunaikannya. "Saya hidup susah, suami isteri kerja sebagai penoreh getah, anak kecil tetapi mujur BN banyak tolong beri bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M)," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan berkata kemasukan anggota PKR ke dalam BN memberi satu suntikan semangat kepada BN Hulu Selangor untuk mencurah lebih banyak khidmat kepada rakyat.

"Dalam perbualan kami tadi, mereka kata antara sebab yang membuatkan mereka menyertai BN ialah kerana menaruh kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, satu-satunya pemimpin yang dapat membantu mereka tidak kira apa masalah pun.

"Datuk Seri Najib berjaya mengotakan janji dan sentiasa membantu semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama mahupun ideologi politik. Ini yang mereka nampak," katanya.

Beliau optimis lebih ramai anggota pakatan pembangkang akan menyertai B Nkerana semakin sedar akan kesungguhan parti komponen itu membantu rakyat.-BERNAMA

Anak Lelaki Bekas Ketua Kg Tanduo Merupakan Penyelaras Kumpulan Pengganas Sulu


LAHAD DATU: Anak lelaki kepada bekas Ketua Kampung Tanduo dipercayai merupakan orang tempatan yang menjadi penyelaras kepada kumpulan pengganas bersenjata Sulu.

Dia merupakan seorang daripada empat orang yang ditahan, merupakan individu yang memainkan peranan penting dengan kumpulan pengganas yang ditahan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Seorang lagi ialah komander tentera kumpulan pengganas Sulu, ditangkap ketika bersembunyi di kawasan paya di Semporna ketika pihak polis sedang melumpuhkan kumpulan pengganas Sulu yang beroperasi di sana dan Lahad Datu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kedua-dua individu penting itu ditahan bersama-sama isteri masing-masing.

Sementara itu, Khalid mengesahkan lelaki tempatan yang ditahan berusia awal 40-an itu, itangkap bersama isterinya di satu kawasan di kampung tersebut pukul 10 malam Jumaat.

Beliau berkata lelaki berkenaan memiliki kad pengenalan Malaysia, katanya kepada pemberita.

Komander tentera yang ditahan itu kini ditahan di bawah Akta Imigresen bagi mengesahkan identiti serta dokumen pengenalan dirinya.

"'Local coordinator' itu dikenal pasti sebagai individu yang bertindak mengatur makan dan minum, tempat tinggal, kenderaan serta perubatan kepada militan Sulu sejak daripada awal pencerobohan.

"Dengan penahanan 'military commander' atau pemerintah tentera Sulu serta tali barut pengganas ini, saya berpendapat kumpulan militan kini lumpuh dengan tertangkapnya dua individu terbabit," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16 pada Sabtu.

Khalid berkata dengan penangkapan dua individu terbabit, beliau percaya pergerakan saki-baki pengganas kini semakin terbatas dan lemah ekoran kehilangan arah selain tidak lagi mendapat bantuan daripada warga tempatan.

Sambil merakam penghargaan kepada masyarakat yang membantu memberikan maklumat sehingga tertangkapnya individu paling dikehendaki itu, Khalid berkata Operasi Daulat yang memasuki hari ke-19 hari ini tetap diteruskan dan membayangkan masyarakat sekitar Lahad Datu akan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa tidak lama lagi.

Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, beliau berkata sehingga kini 408 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah pengganas yang ditembak mati kekal 63 orang.

Katanya sejumlah 38 mayat berjaya dikeluarkan dari kawasan operasi termasuk lapan yang dikeluarkan dari Kampung Tanjung Batu semalam dan sedang melalui proses bedah siasat di Hospital Lahad Datu.Berkenaan kejadian di Kembara Sakti semalam, Khalid berkata jumlah pasukan keselamatan di perkampungan itu kini ditambah bagi memberi keyakinan kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Tidak ada sebab untuk mereka merasa takut dan saya nasihatkan semua ahli masyarakat, penduduk dan pekerja ladang di Kembara Sakti supaya kembali ke rumah masing-masing kerana pasukan keselamatan sentiasa melindungi mereka," katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati perkara itu hanya satu khabar angin yang diperbesar-besarkan sehingga mendatangkan kerisauan kepada penduduk.

Kira-kira 1,000 penduduk di kampung Kembara Sakti dilapor bertindak berpindah ke sekolah agama serta masjid berdekatan selepas seorang suri rumah mendakwa dia yang bersendirian di rumahnya didatangi empat pengganas yang kelaparan dan mengikat kedua-dua kaki dan tangannya.Wanita itu bagaimanapun dikatakan berjaya melepaskan diri ketika militan terbabit leka mencari makanan.-Mstar

72 Ahli Dan Penyokong Pas DUN Alor Mengkudu Sertai Umno


Seramai 72 anggota dan penyokong Pas dari Taman Tunku Yaakub dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu bertindak keluar parti dan menyertai UMNO hari ini.

Salah seorang bekas ahli Pas yang ditemui, Ahmad Man, 47 berkata, mereka sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan parti pembangkang itu lalu bertindak keluar secara beramai-ramai.

Katanya, dia yang menjadi ahli Pas selama 22 tahun kecewa apabila tiada bantuan disalurkan kepada penduduk di kawasan berkenaan sejak Pas mentadbir negeri Kedah.

"Saya tidak takut jika kawan-kawan saya yang menyokong Pas tidak lagi berkawan dengan saya selepas ini kerana menyertai UMNO adalah keputusan saya sendiri.

"Saya kecewa dengan Pas kerana apa yang mereka janjikan kepada kami tidak ditepati dan saya yakin hanya dengan UMNO nasib rakyat negeri ini akan terbela," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan borang menyertai UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah di Taman Tunku Yaakub, Alor Mengkudu di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata penyertaan 72 anggota dan penyokong Pas di dalam UMNO hari ini bukan satu gimik politik yang direka oleh UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Saya tahu pakatan pembangkang akan kata ini gimik politik, tapi ini bukan UMNO reka, mereka sendiri yang rela hati menyertai UMNO kerana telah hilang keyakinan terhadap pakatan pembangkang.

"Lima tahun Pas perintah Kedah, penduduk di kawasan ini tidak dapat apa-apa, sebab itu mereka ambil keputusan untuk menyokong UMNO," katanya.

-Utusan