Sunday, March 24, 2013

Kerajaan N.Sembilan Masih Sah Walau DUN Terbubar Selasa Ini



PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan sedia ada masih sah mengikut sistem demokrasi berparlimen atau Westminster yang diamalkan di negara ini, walaupun selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik, Selasa ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata menerusi sistem tersebut, kuasa pemerintahan sama ada negeri atau persekutuan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu perundangan, kehakiman dan pentadbiran atau eksekutif.

Katanya jika DUN mencapai tempoh genap lima tahun, hanya perundangan iaitu kuasa oleh wakil rakyat yang akan terbubar sementara kehakiman dan pentadbiran masih ada dan perlu dijalankan.

"Kita mengamalkan pemisahan kuasa dan apabila sampai tarikh itu (26 Mac)hanya DUN iaitu perundangan yang akan terbubar tapi eksekutif dan kehakiman masih ada," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada pesara tentera dan merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Bekas Anggota Perisai Kuala Lumpur di Kem Sunggala, di sini, Ahad.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang menyatakan kerajaan negeri ini akan menjadi kerajaan haram jika terus beroperasi selepas 26 Mac, seperti disiarkan beberapa portal berita pembangkang, baru-baru ini.

Mohamad berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan serta mencetuskan kebimbangan rakyat.

Katanya selepas DUN terbubar, kerajaan sementara di bawah kuasa eksekutif atau pentadbiran akan tertubuh di mana fungsinya untuk meneruskan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri dan isu kerajaan negeri ini akan menjadi kerajaan haram selepas DUN terbubar sepatutnya tidak timbul.

"Jangan suntuk sangat pandangan. Memang benar dia (Abdul Aziz) adalah pakar perundangan dan perlembagaan tetapi dia tidak nampak di sebalik apa yang sepatutnya diadakan iaitu kerajaan sementara," katanya.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, DUN Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendiri Selasa ini apabila mencapai tempoh genap lima tahun iaitu bermula persidangan pertamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Pada majlis berkenaan, seramai 30 bekas tentera yang berkhidmat semasa zaman darurat pertama dan kedua menerima pingat PJM yang disampaikan Mohamad mewakili Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

-Bernama

Pengundi Cina Hilang Keyakinan Terhadap Anwar


Fakta Kegagalan Anwar Penasihat Ekonomi Selangor.

Carta perbandingan kedudukan wang tunai Selangor semasa pemerintahan Barisan Nasional (2003 – 2007) dengan Pakatan Rakyat di mana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penasihat ekonominya.

Perbandingan ini dibuat berdasarkan laporan Ketua Audit Selangor 2007 & 2011.

The Economist : Pengundi Cina Mula Bimbang Dengan Anwar

Kajian terbaru The Economist menyebut perubahan pola sokongan masyarakat Cina kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjadi samar-samar apabila sikap dan berpendirian Ketua pembangkang itu kurang diyakini daripada beberapa perkara.

“Melanggar peraturan, sesetengah orang Cina masih bimbang dengan Anwar atas sebab-sebab yang berbeza,” lapor The Economist dalam kajian bertajuk “Malaysia’ Looming Election“.

Kajian turut menyebut tuduhan salah laku seks terhadap Anwar turut sama memberi kesan dan menghakis populariti beliau.

Dakwaan-dakwaan tersebut juga mungkin mencipta ketegangan dalam Pakatan Rakyat, lapornya.

Laporan turut menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih popular yang dibuktikan dengan kaji selidik pendapat baru-baru ini.

Kedudukan Najib dalam kaji selidik itu mencapai 61 peratus, lapornya.

“Beliau mempunyai cerita yang baik untuk diberitahu, pertumbuhan ekonomi yang kukuh sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2012, kemiskinan hampir dihapuskan, ketidaksamaan dikurangkan dan 400 kes undang-undang terhadap rasuah dimulakan.

“Dan dia mampu mengumumkan satu skim pemberian wang tunai kepada isi rumah miskin akan menjadi acara tahunan,” lapornya lagi.

Sementara itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dilaporkan Antarapos mendedahkan masyarakat Cina dalam DAP tidak mempercayai Anwar tetapi mempergunakan Ketua pembangkang itu untuk kepentingan politik mereka.

Tunku Aziz berkata perkara tersebut diketahui berdasarkan pergaulan yang masih akrab beliau bersama kepimpinan DAP setelah meninggalkan parti itu tahun lalu.

“Memang tidak percaya. Saya biasa tanya sahabat-sahabat saya di dalam DAP, adakah mereka serius terhadap Anwar. Tapi mereka tidak berikan jawapan yang kukuh,” katanya kepada Antarapos.

Secara peribadi, Tunku Aziz menambah, beliau langsung tidak mempercayai Pakatan Rakyat selain menjangkakan negara akan menjadi kucar kacir sekiranya mereka memerintah.

“Mereka tidak serius. Mereka gunakan Anwar dan Anwar gunakan mereka. Inilah dinamakan ‘mutual exploitation’.

“Adakah ini kumpulan yang akan memimpin negara? Saya tidak percaya mereka langsung. Ini akan jadi sesuatu yang teruk jika mereka berkuasa,” katanya.

Polis Sahkan Datuk Amir Bahar Adalah Panglima Tentera Pengganas Sulu!


LAHAD DATU: Pasukan keselamatan hari ini mengesahkan panglima tentera Sulu yang ditangkap di Semporna semalam ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia lewat 40-an yang juga menteri pertahanan Sulu itu bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak pencerobohan di Lahad Datu 12 Feb lepas.

"Dia kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini, Ahad.

Pada Sabtu, pasukan keselamatan menahan seorang pemerintah kumpulan pencerobohitu bersama isterinya di sebuah kawasan paya pada pukul 1.30 pagi.

Mengenai penduduk Kampung Tanduo yang dipindahkan, Khalid berkata pihaknyatelah mencapai persetujuan bersama ketua-ketua keluarga dan ketua kampung ituuntuk membawa mereka masuk ke kampung berkenaan Selasa ini.

Langkah itu adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara dan mereka akan diiringi pegawai daripada Pejabat Daerah Lahad Datu dan pasukan keselamatan.

Mengenai statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut Sosma.

Dua tangkapan terbaharu Sosma itu ialah panglima tentera Sulu terbabit dan isterinya.

Sementara itu, Zulkifeli berkata kawasan Kampung Tanduo kini bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas dengan bilangan pasukan keselamatan yang ditugaskan di kampung itu turut dikecilkan.

Mengenai Operasi Daulat, beliau berkata operasi itu masih diteruskan.

Kini, fokus utama Operasi Daulat ialah meneruskan pembersihan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan yakin ia mampu diselesaikan dalam masa terdekat,"katanya. -Bernama