Wednesday, April 24, 2013

#PRU13 Pakatan Rakyat Parti Yang Kotor


Beberapa hari sebelum hari penamaan calon sempena PRU-13 berlangsung, PR khususnya PKR agak fokus dalam mencanang propaganda kononnya Mufti Perlis iaitu Dr Juanda Jaya bakal mewakili parti itu di Parlimen Kangar.

Secara umumnya propaganda itu berjaya menarik perhatian umum malah turut menyemarakkan semula semangat penyokong PKR yang hampir longlai gara-gara diselubungi pelbagai isu terutama sekali perihal perebutan kerusi sesama PR.

Tiba hari penamaan, akhirnya kebenaran terserlah apabila Dr Juanda tidak muncul sebaliknya calon PAS pula yang bertanding di Parlimen Kangar. Hancur luluh harapan penyokong PR untuk melihat seorang Mufti menjadi calon mereka.

Rupa-rupanya sedari awal lagi Dr Juanda tidak pernah memberi kata putus, ini bermakna pengumuman PKR sebelum ini tidak hanya satu propaganda kosong tapi juga satu taktikal politik yang kotor, jijik dan jahat.

Patutlah beberapa hari sebelum penamaan calon, Dr Juanda pernah melabelkan berita mengenai dirinya bakal menjadi calon PKR merupakan berita dari syaitan. Rupanya memang betul, kerana hanya syaitan saja yang gemar menggunakan taktik kotor disebabkan niatnya memang jahat sejak azali.

Tapi nak pelik apa dengan taktik kotor yang diguna pakai oleh PR, sedangkan pengganas Sulu yang menceroboh Lahad Datu di Sabah boleh ditajanya, apa sangatlah setakat memperalatkan nama orang lain untuk kepentingan politik kepartian.

Dr Juanda mungkin kritis pada BN tapi seperti mana beliau akui, walaupun bukan penyokong tegar BN tapi tiap kali pilihan raya umum berlangsung beliau sentiasa mengundi BN kerana hanya parti itu yang konsisten menegakkan Islam.

Kenyataan Dr Juanda benar, jika tidak, masakan Imam Masjid Al-Nabawi, Al-Syeikh Solah Muhammad Al-Budair juga mengiktiraf usaha Kerajaan BN dalam meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Baik kenyataan Dr Juanda mahu pun pujian yang diluahkan oleh Imam Masjid Al-Nabawi, Madinah itu, ia jelas menunjukkan BN adalah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia.

Jika PR tidak sinonim dengan taktik kotor dan tidak bergelumang dengan liberalisme dan pluralisme, mungkin Dr Juanda memihak kepada PR dan Imam Madinah itu pula akan memuji PKR atau PAS, namun realiti hari ini menunjukkan orang yang bersih jiwa raganya selesa bersama BN.

#PRU13 #TolakPR - Letupan di Ceramah BN Nibong Tebal


NIBONG TEBAL – Seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan akibat terkena bahan letupan ketika majlis ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) berlangsung di pekarangan Bilik Gerakan BN Nibong Tebal di sini Selasa malam.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mangsa berusia 30-an itu dikejar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilapor stabil.

Beliau berkata polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian yang berlaku pada 10.15 malam itu, dan tidak menolak kemungkinan ia perbuatan khianat.

“Kita telah arahkan Unit Bom dan Forensik untuk menyiasat jenis letupan yang digunakan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Abdul Rahim berkata hasil siasatan akan dimaklum secara terperinci pada satu sidang akhbar secepat mungkin.

Terdahulu, majlis yang dihadiri 3,000 orang itu menjadi kecoh apabila orang ramai bertempiaran lari selepas terkejut mendengar satu letupan kuat pada jarak kira-kira 10 meter dari bahagian belakang pentas ucapan.

Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah.

Bagaimanapun, majlis yang bermula pada 8.30 malam itu diteruskan seperti biasa dengan kawalan ketat anggota polis dan berakhir pukul 12.30 malam.

Sementara itu, beberapa saksi kejadian yang berada berhampiran pentas ketika ditemui berkata mereka terkejut mendengar letupan kuat berkenaan dan masing-masing berlari menyelamatkan diri.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Micheal, 39, berkata sewaktu kejadian, beliau baharu tiba di lokasi kejadian dan hanya sempat mendengar ceramah kira-kira 10 minit sebelum terkejut dengan letupan itu dan menyelamatkan diri bersama isterinya.

Katanya, letupan itu sangat kuat seperti bom menyebabkan semua orang terkejut dan suasana menjadi riuh rendah sebelum beliau ternampak seorang lelaki cedera dan dibawa ke hospital.

Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 58, berkata letupan itu dari longgokan sampah di belakang pentas.

“Letupan itu menyebabkan sampah berterbangan sehingga terpercik dan mengotori beberapa buah kenderaan, mujurlah serpihan bahan letupan itu tidak mengenai saya,” katanya.

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow pula menyifatkan insiden itu mencemar nama baik demokrasi dan mahu segala bentuk amalan politik yang menjurus ke arah keganasan dihentikan serta-merta. – Bernama

#PRU13 Hadi Awang Hina Calon PKR


Hina betul calon-calon PKR di mata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang apabila pertindihan calon yang berlaku di antara PAS dan PKR diibaratkan sebagai usaha PAS untuk menghalang kemasukan syaitan dalam PR. (Lihat video dan transkrip di bawah)

Maknanya, kat mana sahaja yang wujud pertindihan, ia berlaku kerana PAS nak halang syaitan. Syaitan juga yang disalahkan, sifat tamak kerasukan syaitan dalam hati pemimpin PAS, tak pula nak diceritakannya.

Lebih teruk lagi Hadi menuduh ada calon PKR yang menjadi pengedar pil kuda dan tidak boleh dipercayai, kononnya dibimbangi akan menyebabkan peristiwa lompat di Perak akan berulang. Sama sendiri tiada keyakinan dan saling mencurigai, macam mana la gamaknya nak memerintah Kerajaan Pusat?

Peliknya Hadi tak cerita kenapa baru sekarang PAS mempertikaikan kredibiliti calon PKR di 5 – 7 kawasan, padahal sebelum penamaan calon ada waktu beberapa hari untuk merundingkan pertukaran calon PKR yang tak disenangi PAS.

Mudah betul PAS menyalahkan rakan sepakatan untuk menyembunyikan sifat tamak diri sendiri. Macam ni punya gaya, agak-agak kalau diberi mandat memerintah negara, mahu huru-hara dibuatnya.

Dengan penjelasan oleh Hadi ini, satu perkara dapat disahkan – PAS memang jenis suka tikam belakang kawan dan hubungannya dgn PKR sentiasa dibayangi kecurigaan sesama sendiri.

Transkrip Ucapan Hadi Awang



PAS bertindak meletakkan calon di beberapa tempat kerana mahu menyelamatkan Pakatan Rakyat. Kita tidak mahu kerajaan kita jatuh seperti di Perak. Memerintah sekejap.

PAS mempunyai jentera yang paling ramai di seluruh negara. PAS tidak menentang calon kawan-kawan dalam pilihan raya tetapi kalau ada calon yang kita khuatir, calon yang tangkap muat, yang boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan boleh berlaku, maka PAS mesti bertindak.

Ini berlaku pertindihan. Di Johor berlaku pertindihan kerana sebabnya kita tunggu rakan kita mari tak mari masuk calon. Sikit lagi tak mari, kita standby, takut dia tak mari, UMNO menang tak bertanding. Hak jual calon ini berlaku. Bila PAS masuk baru dia masuk, itu ceritanya.

Ada calon-calon yang kita khuatir, tak perlu kita sebut, tukang edar pil kuda. Nak jadi calon macam mana? Orang PAS tak boleh kerja calon macam ini. Terang-terang saya sebut. Orang Keadilan pun tak terima.

Mahu jadi calon, dengar cerita jual pil kuda. Ada calon yang menjulang gambar Stalin, macam mana orang PAS nak sokong. Orang PAS kerjasama dengan PKR dan DAP – tak kerjasama dengan parti Stalin, parti Lenin, Karl Marx. Gambar Karl Marx duduk dalam markas, nak suruh orang PAS kerja, macam mana nak suruh orang PAS kerja?

Komunis di haram di Malaysia. Itu yang jadi bertindih itu. PAS nak selamatkan PR – tak nak jadi macam Perak. PAS tetap bersama PR.

PAS bertindak untuk memelihara keteguhan bukan sahaja masa pilihan raya tetapi setelah kita diberi kemenangan oleh Allah SWT supaya syaitan-syaitan tak boleh masuk dalam PR. Itu penjelasan saya.

-MYKMU

Tuesday, April 23, 2013

#PRU13 Jurukamera RTM MAUT Dalam Pergaduhan Dengan Penyokong PAS


Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Malaysia hari ini melahirkan rasa terkejut dengan kematian jurukamera Radio Television Malaysia (RTM) selepas pergaduhan dengan seorang penyokong parti politik di Gua Musang, Kelantan.

Presidennya Mokhtar Hussain berkata adalah menyedihkan apabila seorang wartawan perlu membayar dengan nyawanya tatkala berlangsungnya kempen bagi pilihan raya umum ke-13.

Jurukamera itu, Mohamed Yaakub, 61, meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Bandar Lama di Gua Musang pada kira-kira 12.45 pagi.

Beliau sebelum itu terlibat dalam pergaduhan dengan seorang penyokong parti politik yang kereta penyokong itu menghalang laluan ke rumahnya yang terletak berhampiran dengan markas PAS.

Mokhtar berkata semua pihak terlibat dalam kempen pilihan raya perlu menjaga emosi mereka dan tidak melepaskan kemarahan kepada pihak lain termasuk wartawan.

Di KOTA BAHARU, Kelab Media Kelantan melahirkan kebimbangan dengan insiden itu.

Presidennya Anwar Aminuddin Hussin, menggesa insiden itu disiasat, menyatakan serangan terhadap wartawan yang mengakibatkan kematiannya adalah perkara serius.

Di KUALA TERENGGANU, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

Presidennya Ayob Mamat menasihatkan semua pengamal media agar berhati-hati ketika menjalankan tugas terutamanya semasa membuat liputan berita kempen pilihan raya ini.


Jurukamera sambilan RTM meninggal dunia selepas pergaduhan dengan penyokong Pas

GUA MUSANG – Seorang jurukamera sambilan RTM Kelantan meninggal dunia dipercayai serangan jantung selepas berlaku pertengkaran mulut dengan seorang penyokong Pas di luar rumahnya, di hadapan markas parti, di Bandar Lama di sini, awal pagi tadi.

Mohamed Yaakub, 61, yang berkhidmat dengan RTM lebih 20 tahun sebagai jurukamera sambilan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang kira-kira jam 1 pagi selepas sesak nafas.

Kejadian itu berlaku di hadapannya isterinya, Wan Thahirah Wan Ibrahim, 52, yang menyedari selepas mangsa menekan hon kereta beberapa kali sebaik tiba di hadapan rumah kira-kira jam 12.45 pagi sebelum berlaku pergaduhan berkenaan.

Wan Thahirah berkata, beliau yang terkejut bunyi hon kereta suaminya itu bergegas membuka tingkap untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku sebelum ternampak halangan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik calon Pas Dun Galas itu berada di hadapan rumah.

“Hon yang dibunyikan arwah suami supaya pemilik kenderaan terbabit mengalihkan kenderaan itu ke tempat lain kerana dia hendak meletakan kenderaannya itu berhadapan pintu rumah.

“Sebaik didatangi seorang pemandu itu mengalih kenderaannya terus memarahi arwah kerana tekan hon kereta kuat sangat dan tidak datang memberitahunya untuk mengalih kenderaan,” katanya yang mempunyai tujuh anak.

Beliau berkata, sebaik kenderaan itu dialihkan dan arwah dapat meletakan kenderaan di situ sambil membalas luahan tidak puas hati itu terhadap pemandu berkenaan.

Wan Thahirah berkata, lelaki itu terus menghampiri arwah berhampiran kereta hadapan rumah dan berlaku pergaduhan sebelum beliau menjerit.

Katanya, lelaki terbabit berhenti berbuat demikian sebelum didatangi tiga lelaki dari markas Pas untuk memberi pertolongan dengan menggosok dada arwah dan minta bersabar.

“Saya yang melihat keadaan arwah lain macam bergegas membuka pintu sebelum tiga lelaki itu memimpinnya ke dalam rumah sebelum saya mengurut tempat dia sakit,” katanya.

Beliau berkata, arwah sempat juga menelan ubat jantung, tetapi keadaan bertambah tenat sebelum menghantarnya ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk mendapat rawatan.

“Arwah disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu dan saya cukup sedih dengan apa yang berlaku itu walaupun arwah ada mengidap penyakit jantung,” katanya.

Mayat arwah dihantar ke bilik mayat hospital berkenaan untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Papan, petang tadi.

Dalam pada itu, polis mengesahkan kematian Mohamed adalah disebabkan serangan jantung dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, doktor Hospital Gua Musang yang melakukan bedah siasat ke atas jenazah Mohamed mengesahkan kematiannya berpunca daripada saluran darah ke jantung yang tersumbat.

"Siasatan awal pihak doktor dan polis mendapati tiada kesan lebam atau luka di luar fizikal (tubuh) Allahyarham," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Kelantan bersama calon atau wakil Pilihan Raya Umum ke-13 Negeri Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Jalaluddin berkata Mohamed meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang dipercayai antara pukul 2 dan 3 pagi, selepas mengadu sesak nafas di rumahnya di Bandar Lama, Gua Musang.

Katanya sebelum itu mangsa dikatakan telah bertengkar dengan seseorang yang telah meletak kenderaan di hadapan rumahnya sebaik pulang melakukan tugasan berkaitan PRU13.

"Isteri Allahyarham dalam aduannya mengatakan mangsa telah membunyikan hon agar kenderaan jenis Hilux itu yang diletakkan di hadapan rumahnya itu dialihkan.

"Pemandu kenderaan itu kemudiannya telah mengalihkan kenderaan berkenaan dan selepas itu telah tercetus pertengkaran mulut namun telah dapat dileraikan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian," katanya.

Jalaluddin juga berkata Allahyarham kemudiannya telah mengalami sesak nafas ketika masuk ke dalam rumah dan memaklumkan mengalami sakit di bahagian dada tetapi telah dibawa ke Hospital Gua Musang apabila keadaannya semakin serius.

"Allahyarham bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia sebaik tiba di hospital. Allahyarham juga mempunyai rekod kesihatan mengenai penyakit jantung yang dihidapinya," katanya.

Sehubungan itu Jalaluddin meminta orang ramai tidak menyebarkan khabar angin mengenai kematian Mohamed itu yang heboh mendakwa disebabkan kerana bergaduh dengan penyokong sebuah parti politik.

"Allahyarham mungkin sebelum itu mengalami stress (tekanan)," katanya.

#PRU13 Hadi Jadi PM - Kit Siang Jangan Risau, Kata PAS


JOHOR BARU: Pemimpin-pemimpin PAS hari ini berkata Kit Siang tidak perlu “risau” mengenai siapa harus menjadi Perdana Menteri jika pembangkang diberikan mandat memerintah.

Semalam, ketika cuba meraih undi bukan Melayu di Johor, Kit Siang menolak anggapan bahawa Hadi berpeluang menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang Pilihan Raya Umum (PRU13).

“Jika benar dakwaan bahawa DAP sudah bersetuju untuk Hadi menjadi Perdana Menteri kita, tuan-tuan dan puan-puan, Johor dan saya tentulah sama-sama akan bimbang…terhadap apakah yang beliau akan lakukan kepada kita semua. Betul, tidak?’ kata Kit Siang di ceramah dekat sini malam tadi.

Ketika dihubungi Antarapos, Timbalan Mursidul Am PAS Datuk Haron Din berkata soal siapa menjadi PM hanya perlu ditangani selepas keputusan pilihan raya pada 5 Mei diketahui.

"Fokus utama PAS dalam saat ini untuk memenangi sebanyak yang boleh. Kalau sudah nyata kita ada tanda untuk majoriti dalam Parlimen, baru kita nak berpakat, siapakah Perdana Menteri.

"Kita tidak mahu bincang lagi isu ini ( Perdana Menteri). Siapa sahaja boleh komen, Kit Siang pun boleh komen,” kata beliau.

PAS adalah parti paling besar dalam gabungan pembangkang, selain bertanding jumlah kerusi yang jauh lebih tinggi berbanding DAP.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Kit Siang tidak harus risau kemungkinan Hadi menjadi Perdana Menteri.

"Yang penting sekarang bukan pasal jawatan Perdana Meteri, yang penting adalah sejauh mana kita boleh menguasai Putrajaya," kata Tuan Ibrahim.

"Saya pun tidak pasti apakah yang dia (kit Siang) risau. Sebab keputusan penting, kita buat secara bersama dalam kepimpinan Pakatan Rakyat. Dia (Kit Siang) tidak perlu risau,"

Hadi sebelum ini menyifatkan PAS sebagai tulang belakang pembangkang yang diperlukan oleh DAP untuk menubuhkan kerajaan.

“Dengan jumlah kerusi yang dimenangi sebanyak itu, DAP tidak boleh membentuk kerajaan kerana yang menjadi tulang belakang Pakatan ialah PAS, parti Melayu Islam," katanya.

Bagaimanapun, semalam Kit Siang menegaskan DAP tetap menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pembangkang sungguhpun penyokong Pakatan Rakyat di Johor cenderung kepada Hadi.

Kit Siang berkata beliau mengutarakan persoalan itu kepada hadirin di ceramahnya di Gelang Patah dan Muar susulan kenyataan Datuk Ghani Othman bahawa Hadi akan menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menawan Putrajaya.

“Saya tanya beribu-ribu hadirian semua kaum di Muar dan Geang Patah siapa menjadi pilihan mereka Najib ataupun …Hadi.

“Mereka jelas mahukan Hadi menjadi Perdana Menteri jika terpaksa memilih di antara beliau, Muhyiddin Yassin atau Mahathir,” tambah Kit Siang kepada pemberita.

Ini kali pertama Kit Siang menyuarakan kecenderungan rakyat mahupun Hadi menjadi PM dan bukannya Anwar, sekiranya pembangkang menang PRU kali ini.

Sungguhpun pilihan yang ditawar oleh Kit Siang hanya merujuk kepada Hadi dan pemimpin BN, namun pemimpin DAP itu mengakui Hadi mempunyai sokongan besar di kalangan penyokong pembangkang untuk jawatan tertinggi itu.

Bagaimanapun Kit Siang terus mematikan sebarang ruang untuk menimbang sokongan terhadap Hadi itu apabila menegaskan DAP tetap menyokong Anwar untuk jawatan tertinggi itu.

Beliau menegaskan partinya tidak berganjak daripada keinginan mahukan Anwar dan bukannya Hadi sebagai calon Perdana Menterinya.

Gelang Patah menyaksikan pertarungan dua penjuru diantara Kit Siang dan Menteri Besar Johor Ghani Othman.

Ghani menawarkan diri untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina itu untuk menangkis apa yang dlilihat beliau sebagai cubaan DAP “mengimpot” politik perkauman ke negeri itu. -AntaraPos