Sunday, May 10, 2009

1 Nik Abduh tewas jawatan Ketua Pemuda Pas Kelantan

Anak Mursyidul Am PAS - Nik Abduh Nik AbdulAziz - gagal merebut jawatan ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, dalam muktamar tahunannya di Kota Bharu hari ini.

Nik Abduh yang juga bekas timbalan ketua Dewan Pemuda PAS negeri tewas kepada ADUN Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Dalam pertandingan satu lawan satu itu, Abdul Latiff mendapat 78 undi untuk menewaskan Nik Abduh yang mendapat 56 undi.

Jawatan itu kosong selepas penyandangnya, yang juga ADUN Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim tidak mempertahankannya kerana usia melepasi 40 tahun, lapor Bernama.

Dalam pengundian pemilihan itu hanya satu undi perwakilan rosak.

Nama Nik Abduh mulai menjadi bualan ramai kalangan pemerhati politik selepas beberapa akhbar memetik tulisan dalam blognya yang menyentuh isu kepimpinan ulama dalam PAS.

Sementara itu seorang peguam Hisham Fauzi dipilih sebagai naib ketua dewan tersebut.

Beliau mengalahkan dua calon lain, iaitu Zamsuri Mohamad dan penyandangnya, Dr Rusli Allani Abdul Kadir.

Dr Rusli Allani ialah pegawai khas exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates