Wednesday, February 1, 2012

0 Khalid Penghalang Utama - Hasan Ali


Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mendakwa, selain pemimpin DAP dan PKR, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad penghalang utama kerja beliau sewaktu menjadi Exco Agama Kerajaan Negeri, sebelum ini.

Menurutnya, beliau memahami bantahan dibuat oleh DAP dan PKR kerana pemimpin tersebut terdiri daripada orang bukan Islam.

Sebaliknya, Hasan menegaskan beliau tidak faham mengapa Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas menentang beliau, termasuk pernah mempersoalkan pengharaman penjualan arak di kawasan majoriti Melayu.

“Kalau DAP dan PKR itu saya faham kerana mereka bukan Islam, tetapi yang saya tidak faham Ahli Parlimen Shah Alam berdiri di barisan hadapan menentang apa yang saya lakukan.

“Tuan-tuan bayangkan, saya mahu bersihkan Shah Alam daripada judi, tidak boleh, saya nak lihat rumah urut dibersihkan pun tidak boleh,” katanya dalam ceramah Bicara Memurnikan Akidah Ummah di sini, kelmarin.

Turut hadir, bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri dan bekas Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Aidit Ghazali.

Beliau berkata, penduduk di Shah Alam perlu menolak pemimpin yang didakwa mengkhianati perjuangan Agama Islam dalam pilihan raya akan datang.

“Kalau dia bertanding dalam pilihan raya akan datang ini, jangan beri satu undi pun kepadanya,” katanya.

Menurutnya, pelbagai pelan dan strategi telah dirangka bagi menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah, sewaktu beliau menjadi Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Beliau berkata, pelan ini termasuk usaha memelihara akidah dengan mengadakan pemeriksaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), 3 Ogos lalu.

Sementara itu, Hasan turut menegaskan dalam isu pemecatan beliau sebagai ahli Pas, sehingga kini pertuduhan-pertuduhan terhadapnya masih belum diketahui.

“Sehingga kini, saya masih lagi belum dipanggil membela diri atas pemecatan saya,” katanya.

Hasan berkata, beliau terima pemecatan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri atas prinsip perjuangan memelihara akidah, syariah dan Agama Islam.

“Isteri dan anak-anak saya tidak menitiskan air mata pun, atas pemecatan ini, kami reda kerana kami tahu apa yang kami lakukan.

“Tetapi sekiranya saya dilucutkan kerana rasuah, menipu dan mengumpul kekayaan, pastinya saya tidak boleh tidur malam,” katanya. -SH

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates