Friday, March 9, 2012

Azizan Serah Nama Phahrolrazi Dan Dr Ismail Pada Sultan, Dipercayai Hilang Taraf Exco Kanan


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada Khamis mempersembahkan nama dua exco yang terbabit dalam kemelut pentadbiran kerajaan negeri kepada Sultan Kedah, untuk dipertimbangkan dilantik semula ke jawatan itu.

Azizan dilihat memasuki Istana Anak Bukit di sini pada pukul 4.50 petang sebelum keluar semula hampir sejam kemudian.

Ketika ditemui pemberita di luar pekarangan istana dan ditanya sama ada nama terbabit sudah mendapat perkenan tuanku, beliau berkata: "Sultan akan perkenan kemudian... ambil masa sikit."

Mengenai tarikh angkat sumpah kedua-dua Exco berkenaan, beliau berkata pihaknya akan menunggu perkenan Sultan sebelum menetapkan majlis kerana perkara itu bergantung kepada kelapangan baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizan dijangka membuat rombakan kecil portfolio yang turut membabitkan lapan Exco yang mengangkat sumpah pada 28 Februari lalu untuk disesuaikan dengan kemasukan semula Phahrolrazi dan Dr Ismail.

Sumber berkata, Azizan dijangka tidak akan menawarkan Exco kanan kepada Phahrolrazi berikutan hubungan dingin mereka.

Katanya, jika kedua-dua bekas Exco itu ditawarkan portfolio kanan, ia akan menyukarkan Azizan yang sebelum ini menerima banyak tekanan daripada mereka yang turut cuba menjatuhkan Menteri Besar.

“Mereka dijangka ditawarkan baki portfolio yang kosong iaitu pertanian dan industri asas tani, pembasmian kemiskinan, pembangunan luar bandar, bioteknologi, sains dan inovasi serta pembangunan usahawan.

“Mungkin akan ada sedikit rombakan, namun tidak akan membabitkan portfolio kanan yang sudah diisi EXCO lain,” kata sumber yang dipetik akhbar Berita Harian.

Phahrolrazi sebelum ini memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail pula diberikan portfolio Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Portfolio dipegang Phahrolrazi selaku EXCO kanan sebelum ini diserahkan kepada Datuk Amiruddin Hamzah yang sudah mengangkat sumpah sebagai Exco baru.

Bagaimanapun, sumber berkata, ia bukan hukuman Azizan kepada dua bekas Exco terbabit, namun lebih kepada proses melicinkan pentadbiran negeri sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Phahrolrazi dan Dr Ismail ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.

Mesyuarat PAS Pusat yang turut membabitkan Azizan dan Phahrolrazi minggu lalu memutuskan Menteri Besar dikekalkan dengan dua Exco berkenaan menerima semula jawatan mereka.

Bagaimanapun, pelbagai pihak menganggap isu berkenaan belum selesai sepenuhnya berikutan penubuhan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh Azizan.

Sementara itu, penubuhan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau pentadbiran kerajaan Kedah oleh PAS Pusat bertentangan dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri malah tidak menghormati Sultan, kata pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew.

Katanya undang-undang tubuh kerajaan negeri meletakkan Menteri Besar serta barisan exconya pada kedudukan paling tinggi dalam pentadbiran negeri bagi membuat keputusan dan tidak perlu dirujuk kepada satu jawatankuasa lain.

"Penubuhan sebuah jawatankuasa yang mempunyai kuasa mengatasi kuasa Menteri Besar dan exco boleh dianggap tidak menghormati Sultan yang memberi perkenan pelantikan mereka.

"Jadi semua perkara perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pemandu sebelum boleh diluluskan oleh mesyuarat exco," kata Chong, yang juga bekas anggota exco kerajaan negeri ketika Datuk Seri Syed Razak Syed Zain menjadi Menteri Besar.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, mengumumkan baru-baru ini Pas Pusat akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau pentadbiran kerajaan Kedah sebagai penyelesaian kemuncak kemelut Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan dua bekas exconya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh.-Agendadaily

3 comments:

Assassin Cyber said...

2 orang nama yang tercicir 2 dapat markah kasihan saja.

http://assassincyber.blogspot.com

Unknown said...

Kemelut politik Kedah makin parah!!

NURUL IZZAH TABUR FITNAH DI BUKIT GASING? Baca di sini!!

http://apakecoh2.blogspot.com/

talklessdomore said...

keren awh
http://www.centplay.com/affiliate/affiliate_900/