Tuesday, March 13, 2012

0 Pesakit Mual Busuk Sampah


PUCHONG – “Ingatkan pesakit sahaja datang mengunjungi klinik ini setiap hari rupa-rupanya ulat sampah juga turut ‘berkunjung’ sehingga petugas perubatan terpaksa membersihkan tetamu tidak diundang itu,” kata Pembantu Kesihatan Klinik 1Malaysia Puchong Permai, Abdul Hadi Che Awang berikutan lokasi klinik yang terletak kurang dua meter dari jarak rumah sampah.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih teruk ketika cuaca hujan kerana limpahan air busuk memasuki klinik dan mencemarkan ruang institusi perubatan yang terletak di blok F5, pangsapuri Puchong Permai di sini.

“Ramai pesakit dan pengunjung klinik mengadu bagaimana tempat yang memberikan rawatan kesihatan terletak sangat rapat dengan tong sampah. Setiap pagi apabila hendak memulakan operasi, kami dapati longgokan sampah melambak di depan klinik. Keadaan jadi lebih memualkan apabila hujan kerana orang ramai yang lalu lalang dan memasuki klinik akan membawa bersama air sampah sehingga menyebabkan ruang klinik berbau busuk,” katanya.

Wakil penduduk, Saiful Bahari Shahuddin, 31, berkata, penghuni pangsapuri dan dari kawasan sekitar mengalu-alukan kewujudan klinik berkenaan.

Namun dia mendakwa yang menjadi tidak cantik apabila kedudukan klinik berdepan dengan rumah sampah yang dipenuhi longgokan sampah setiap hari.

“Saya ada dengar ura-ura mengatakan rumah sampah ini akan dialihkan namun selepas sebulan klinik beroperasi masih tidak nampak apa-apa perubahan. Orang luar yang datang ke klinik juga mengadu terpaksa menghidu bau busuk setiap kali berkunjung ke situ,” katanya.

Pengunjung klinik, Siti Fatimah Abdul Rahim, 37, berkata, longgokan sampah dan pemandangan yang menjijikkan menyebabkan orang sakit yang datang ke klinik menjadi bertambah sakit.

“Apabila datang klinik harapan sakit akan menjadi lebih baik punah jika keadaan terus seperti ini,” katanya yang turut menggesa lokasi klinik berkenaan dialihkan.

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates