Friday, June 1, 2012

Isu NFC : Pakatan Pembangkang Perlu Mohon Maaf Secara Terbuka


Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Hamidah Osman menggesa agar pakatan pembangkang terutama Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Rafizi Ramli memohon maaf secara terbuka kepada Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Desakan ini tegas beliau adalah berikutan tuduhan mereka bahawa Shahrizat terlibat di dalam isu pinjaman RM250 juta kepada NFC namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengumumkan bahawa Shahrizat tidak terlibat sama sekali didalam isu berkenaan.

“Pengumuman ini sekaligus membuktikan bahawa pihak pembangkang sengaja membuat tuduhan liar yang mengaitkan Datuk Seri Shahrizat dalam isu NFC semata-mata bermotifkan politik. Ini merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan penganiayaan besar yang dilakukan pembangkang terhadap beliau. Disebabkan perkara ini, nama baik Shahrizat telah tercemar dan menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang menteri dan Ketua Pergerakan Wanita.

“Saya merasakan bahawa Shahrizat telah menjadi mangsa mainan politik kotor pembangkang yang hanya mahu merosakkan imej Shahrizat sekaligus UMNO dan Barisan Nasional,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.

Namun begitu Hamidah sedar, pengumuman SPRM ini sudah pasti tidak akan diterima sama sekali oleh pakatan pembangkang dan mereka akan mula membuat pelbagai tuduhan lain ekoran daripada pengumuman ini.

“Namun apa yang pasti dan telah terbukti, Shahrizat sudah didapati tidak bersalah dan tidak terbabit dalam kes NFC. Oleh itu, saya sekali lagi mendesak agar pakatan pembangkang memohon maaf secara terbuka bagi menebus maruah dan nama baik Shahrizat,” ujarnya lagi.

No comments: