Wednesday, August 1, 2012

0 Perjuangan BN Demi Rakyat, Demi Masa Depan


Sesuatu produk yang baik akan bertahan lama, biarpun begitu banyak produk baru yang muncul di pasaran. Malah, produk-produk baru itu juga tidak dapat tidak akan mencuba sedaya upaya untuk meniru atau menciplak produk lama itu. Seringkali terjadi, pengguna yang telah mencuba produk baru akan kembali menggunakan yang lama kerana tidak berpuas hati dengan kualiti produk ciplak atau tiruan. Produk asal yang asli dan berkualiti akan tetap di hati dan bertahan biarpun berdekad-dekad lamanya.

Begitulah halnya dengan Barisan Nasional yang tetap bertahan biarpun usia sudah menjangkau 55 tahun. Biar begitu banyak saingan dari parti-parti lain, termasuk parti-parti baru yang berusaha untuk meniru atau menciplak BN, namun produk tiruan tidak mungkin sama dengan yang asli.

Persoalannya, bagaimana BN boleh bertahan walaupun berbagai-bagai tohmahan dilemparkan bagi memburukkan imej dan reputasinya? Jawapannya, kerana semua rakyat dapat melihat bukti nyata, selama tahun demi tahun, bahawa perjuangan BN adalah demi rakyat dan demi masa depan negara, bukan demi individu atau kumpulan tertentu.

Ini sama seperti seorang peniaga yang berniaga dengan ikhlas, memberi khidmat terbaik atau memastikan kualiti terbaik produknya untuk kepuasan pengguna dan bukannya berniaga hanya kerana ingin untung besar.

Dan inilah yang tidak dapat difahami oleh musuh-musuh atau pesaing-pesaing BN di dalam politik.

Kebanyakan mereka, hanya ingin ‘untung besar’ iaitu memegang kuasa tetapi tidak punya keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat. Oleh itu, segelintir rakyat mungkin terpedaya sebentar dengan promosi, iklan atau lebih tepat, dakyah-dakyah mereka tetapi kemudiannya, rakyat akan tetap kembali kepada BN kerana percaya hanya produk BN yang benar-benar asli lagi berkualiti. Hanya BN yang mampu membawa Malaysia ke tahap ini.

Sejarah telah merekodkan bagaimana BN berjaya mengekalkan keamanan di saat kritikal. BN berjaya membawa kita mengharungi beberapa krisis ekonomi dunia dengan aman dan tanpa rakyat terjejas teruk.

Malah, hari ini, di kala dunia sedang dalam kritikal, sehingga Greece bankrap dan Sepanyol, Portugal dan Itali serta Britain juga sedang bergelut dengan krisis ekonomi tetapi Malaysia masih ‘bergaya’ dengan kadar pertumbuhan ekonomi di tahap empat ke lima peratus lebih baik dari Eropah dan Amerika.

Rakyat di negara Arab pula sibuk memberontak serta memusnahkan kehidupan sendiri, manakala sebahagian lagi negara di dunia menghadapi perang saudara, pembunuhan etnik, kebuluran dan berbagai-bagai lagi yang mungkin akan dapat diatasi jika kerajaan mereka lebih cekap dan prihatin. Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia walaupun kita hidup berbilang kaum dan berbagai agama.

Benar kita merasa sedikit ‘sesak’ kerana kos sara hidup yang semakin tinggi tetapi adalah munafik bagi sesiapa yang menafikan bahawa rakyat Malaysia amat mewah dengan makanan sehinggakan di bulan Ramadhan ini pembaziran berleluasa dan berbuka di hotel masih menjadi budaya.

Semua ini adalah mustahil sekiranya kerajaan BN bukan sebuah kerajaan yang baik.

Di celah-celah itu, walaupun seimbas pandang rakyat Malaysia sudah cukup mewah dan selesa, namun BN tetap memberikan bantuan langsung dalam berbagai bentuk seperti BR1M, KR1M, TR1M, Klinik 1Malaysia, durian runtuh untuk warga Felda, Bonus untuk kakitangan awam, Duit raya untuk warga Felda dan sebagainya, demi untuk meringankan beban rakyat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bantuan tersebut hanyalah untuk membantu rakyat untuk ‘mengekalkan kemewahan’ dan bukannya untuk mengurangkan penderitaan. Ini kerana, jarang sekali rakyat yang menerima bantuan itu berada di tahap begitu miskin sehingga tidak cukup makan dan menderita.

Hakikatnya, walaupun sering mengeluh akan kos sara hidup yang tinggi, namun, hampir kesemua yang mengeluh itu masih bermewah berbelanja di bazaar Ramadhan ini. Ertinya, tahap ‘menderita’ rakyat Malaysia tidak mungkin terbanding dengan tahap ‘menderita’ rakyat di Syria, Afrika, Rohingya, malah mungkin juga sebahagian rakyat Amerika yang berhadapan dengan kadar pengangguran yang tinggi sehingga memaksa mereka menjadi gelandangan. Sedangkan di Malaysia, walaupun menganggur, entah bagaimana, kita tetap cukup makan juga.

Inilah realitinya di Malaysia dan semua ini tidak mungkin menjadi realiti jika BN bukan sebuah kerajaan yang baik. Kita yakin, masa depan bersama BN akan kekal cerah dengan komitmen pemimpinnya untuk meneruskan cara berkhidmat atas dasar Demi rakyat dan Demi Masa Depan.

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates