Wednesday, October 31, 2012

Akaun Selangor, P.Pinang mengelirukan


Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) meminta Ketua Audit Negara untuk menyemak semula beberapa kemasukan dalam akaun hasil bagi kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang menimbulkan kekeliruan.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, kajian oleh BNBBC terhadap Laporan Audit Mengenai Pengurusan Kewangan di Peringkat Negeri-Negeri mendapati ada keadaan yang mana wang daripada akaun amanah negeri (hasil bukan cukai) dimasukkan ke dalam akaun hasil.

Di samping itu, menurut beliau, wujud juga keadaan yang mana wang yang disalurkan daripada kerajaan Pusat tidak dibelanjakan oleh kerajaan negeri

"Saya ingin membuat pembetulan sekiranya ada orang berkata Menteri Besar Selangor paling cemerlangdari segi pengurusan kewangan kerana negeri paling cemerlang adalah Sarawak.

"Saya hendak tegaskan disini, dari segi kedudukan kewangan yang disatukan, negeri yang terbaik adalah Sarawak dengan RM18.4 billion, diikuti Sabah dengan RM2.6 billion dan kemudian baru Selangor RM1.9 billion serta Pulau Pinang RM1.1 bilion" katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas perkara sama, Ahli Parlimen Kota Belut, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, setiap kerajaan negeri mempunyai tiga jenis hasil cukai, akaun amanah negeri serta penerimaan hasil dari Kerajaan Pusat.

"Akaun amanah hanya boleh digunakan untuk tujuan khusus tetapi sebelum audit dibuat, beberapa kerajaan negeri ini telah memindahkan wang dari akaun amanah ke dalam akaun hasil dan mengangapnya sebagai hasil pendapatan kerajaan negeri.

"Mereka buat silap mata, ambil dari poket kanan dan masukkan ke dalam poket kiri. Ini juga apa dikatakan sebagai 'Creative Accounting' dan kita minta Ketua Audit Negara untuk menyiasat semula beberapa entri (hasil) yang perlu dilihat di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Membangkitkan perkara yang sama, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata, beliau memberi contoh kegagalan kerajaan negeri Selangor menggunakan sepenuhnya peruntukan yang disalurkan Kerajaan Pusat menerusi Kumpulan wang Amanah Penyelengaraan Jalan Raya Negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris).

"Laporan Ketua Audit Negara 2011 menunjukkan kerajaan negeri Selangor hanya membelanjakan sebanyak 58 peratus peruntukan dan masih ada baki RM319 juta yang masih belum digunakan untuk membaiki dan menyelenggarakan jalan-jalan di negeri Selangor.

"Malangnya, kita dimaklumkan wang sebanyak RM5.15 juta daripada peruntukkan Marris ini dikeluarkan kerajaan negeri Selangor dengan diberikan kepada Syarikat Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB) untuk membiayai pinjaman membina Universiti Selangor (Unisel) dan ini adalah salah guna duit penyelenggaraan jalan," katanya.-Utusan

No comments: