Saturday, November 3, 2012

Selangor: Penduduk Berang 3 Kali Banjir Dalam Sebulan


Sepanjang Oktober lalu, sebanyak tiga kali penduduk di sekitar Kampung Johan Setia di sini berhadapan dengan masalah banjir.

Kejadian terbaharu berlaku malam tadi yang menyaksikan lebih 250 buah rumah yang dihuni kira-kira 1,500 penduduk kampung tersebut, Kampung Baru Johan Setia dan Kampung Jalan Kebun dinaiki air setinggi kira-kira satu meter.

Ekoran keadaan itu, penduduk yang sudah hilang sabar keluar berdemontrasi kerana masalah banjir di kawasan itu sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.

Banjir didakwa berlaku ekoran kewujudan kelodak terkumpul di tepi Lebuh Raya Shah Alam (LSA), berdekatan kampung berkenaan, sehingga menghalang aliran air. Masalah itu memburuk pada musim hujan sekarang.

Penduduk menggesa agar syarikat konsesi lebuh raya itu, Kesas Sdn. Bhd. (Kesas) mengambil tindakan segera menyedut kelodak berkenaan bagi mengelakkan banjir melanda kawasan perkampungan tersebut lagi.

Pengerusi Penduduk Kampung Baru Jalan Kebun, Samad Basiran mendakwa, penduduk menilaikan masing-masing rugi sebanyak RM2,000 setiap kali banjir melanda.

"Kami berharap pihak pengurusan Kesas dapat menyenggara lebuh raya mereka dengan baik dan menyelesaikan segera masalah banjir yang berpunca daripada kelodak dari lebuh raya itu.

"Penduduk juga kesal dengan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud yang langsung tidak mengambil berat dan melakukan inisiatif untuk menangani masalah ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman di Kampung Jalan Kebun di sini hari ini.

Demonstrasi oleh penduduk untuk menggesa pihak bertanggungjawab membantu mengatasi masalahtersebut.

Samad berkata, pihaknya juga ada menghantar surat kepada pihak pengurusan Kesas dan mereka ada menghantar pegawai untuk membuat pemantauan tetapi penduduk kesal kerana tiada sebarang tindakan diambil.

"Saya mohon agar pihak berkenaan tampil serta mengambil tindakan secepat mungkin kerana kejadian ini sebenarnya boleh ditangani dengan baik," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penduduk Jalan Kebun, Buang Basir pula berkata, sepanjang kejadian banjir itu hanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sahaja yang membantu menangani masalah tersebut.

"Dua bulan lepas, JPS ada datang mengambil tindakan tetapi Kesas dan wakil rakyat langsung tidak tampil membantu penduduk yang berhadapan dengan masalah ini.

"Sepatutnya kejadian banjir ini boleh ditangani dengan segera jika pihak bertanggungjawab menyedut kelodak itu, dan penduduk tidak akan berhadapan dengan masalah seperti ini," katanya.

No comments: