Sunday, March 3, 2013

5 Polis Terbunuh, 2 Penjenayah Ditembak Mati - KPN


Seorang pegawai dan empat anggota polis terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada sidang akhbar di Lahad Datu hari ini.

Sementara dua dari kumpulan bersenjata turut terbunuh, katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, dahulunya berkata dua anggota pasukan keselamatan terkorban dalam serang hendap di Kampung Seri Jaya Siminul, Semporna.

Beliau berkata dua anggota pasukan keselamatan itu yang sedang membuat serbuan di perkampungan atas air itu telah ditembak oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali pada pukul 6.30 petang semalam.

Beliau bagaimanapun tidak memberi maklumat terperinci mengenai identiti anggota keselamatan yang terbunuh itu semasa ditemubual secara langsung melalui panggilan telefon dengan stesen televisyen TV3 dalam program 'Malaysia Hari Ini' di sini pagi ini.

Hamza berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada kumpulan penyerang yang kurang daripada 10 orang itu mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari Filipina.

Menyentuh mengenai kumpulan penceroboh itu, Hamza berkata mereka terhad di Kampung Tandou, Lahad Datu dan telah dikepung oleh pasukan keselamatan negara.

Beliau juga menegaskan keselamatan di Lahad Datu dan di Sabah, adalah terkawal dan menasihati penduduk di negeri itu supaya tidak mendengar khabar angin dan mereka boleh menghubungi ketua polis daerah di negeri ini untuk pengesahan.

1 comment:

Anonymous said...

Takziah di ucapkan pada keluarga yang malang.
Sayang, perjuangan mempertahankan tanah yang bukan menjadi hak milik kita akan menjadi sia-sia di sisi Allah. Semoga Allah memberi pengampunan.