Friday, March 8, 2013

Kebodohan Tian Chua Turut Diiktiraf PAS


Tindakan ahli Pas yang membuat laporan terhadap kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Batu itu turut tidak dipersetujui oleh rakan Pakatan Pembangkang, kerana dilihat sebagai satu kenyataan yang tidak mempunyai semangat patriotik dan menghina dan memperlekehkan anggota keselamatan negara.

Beratus laporan terhadap Naib Presiden PKR itu termasuklah dari parti Pas cukup untuk membuktikan, kenyataan biadap Tian Chua itu tidak dapat diterima oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama, demikian kata Pengerusi Barisan NGO Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar.

“Kenyataan Tian Chua yang menganggap tragedi berdarah itu hanya sandiwara UMNO adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal. Saya hairan bagaimana Tian Chua berfikir. Apakah beliau anggap apa yang berlaku di Sabah itu seumpama filem hollywood yang boleh dirancang mengikut skrip?

“Berdasarkan kenyataan beliau, kita lihat bagaimana pemikiran beliau penuh sarat dengan politik kebencian semata-mata. Begitu taksub beliau berpolitik, sehinggakan tragedi yang telah mengakibatkan lapan anggota keselamatan terkorban pun dianggap sebagai perkara main-main,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambahnya lagi, kenyataan mengarut daripada Tian Chua membayangkan sikap taksub dan totok dalam berpolitik sehingga segala perkara yang berlaku di dalam negara dianggap angkara UMNO dan Barisan Nasional

“Ia memperlihatkan betapa jumud dan dangkalnya pemikiran pemimpin pembangkang sehingga tidak tahu membezakan isu politik kepartian dan isu keselamatan negara. Apa yang mereka tahu hanyalah untuk memburukkan negara dan kerajaan sehingga negara isu negara diceroboh pun mahu dijadikan modal politik mereka,” ujarnya.

Beliau juga yakin, hari ini rakyat dapat melihat dengan jelas bagaimana sikap pemimpin pembangkang seperti Tian Chua yang langsung tidak mempunyai semangat patriotik dan menganggap kematian anggota keselamatan dalam mempertahankan negara hanya sebagai satu sandiwara politik.

“Untuk pengetahuan Tian Chua, kerajaan BN ataupun UMNO tidak akan sanggup bermain politik sehingga menggadaikan maruah negara atau menggugat keselamatan negara. Selama ini di bawah pemerintahan kerajaan BN, keharmonian, kemakmuran dan keamanan dinikmati oleh semua rakyat di negara ini termasuk pemimpin, ahli dan penyokong pembangkang sendiri.

“BN bukanlah seperti pembangkang yang terlalu totok berpolitik sehingga sanggup untuk memburuk-burukkan negara sendiri, sanggup menipu rakyat dengan melakukan adegan mati olok-olok seperti yang mereka buat ketika perhimpunan bersih dan giat menabur fitnah di dalam negara sehingga menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat di negara ini,” tegasnya.

Umno-Online

No comments: