Tuesday, March 26, 2013

RPK : Anwar Minta Bantuan Misuari Untuk Menang PRU 13 #LahadDatu


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta bantuan daripada pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), kata Raja Petra Kamarudin (RPK).

RPK dalam pendedahan terbaru hari ini di lamannya, Malaysia-today, berkata Anwar telah bertemu dengan Nur Misuari dan komander tertinggi tentera beliau di Indonesia pada 16 Julai 2012.

“Pada 16 Julai 2012, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terbang ke Jakarta untuk bertemu dengan Nur Misuari – yang sangat dekat dengan Anwar sejak masih dalam kerajaan – dan komander tentera MNLF.

“Mesyuarat tersebut telah diadakan di Hotel Crowne Plaza Jakarta dan telah diatur oleh Ahli Parlimen Indonesia – satu lagi kawan rapat Anwar – menurut perintah Anwar.

“Mesyuarat kedua telah diadakan di Manila pada 4 Ogos 2012 bertujuan untuk memuktamadkan dan menandatangani perjanjian,”katanya dalam rencana bertajuk “The untold story of the Lahad Datu incident.”

Dalam pertemuan itu RPK mendakwa Anwar telah meminta bantuan Misuari untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 daripada 57 kerusi parlimen di Malaysia Timur untuk merebut kuasa kerajaan persekutuan dari Barisan Nasional (BN).

RPK berkata, Anwar yakin dapat menang 82 hingga 85 kerusi di Semenanjung, tetapi tidak begitu yakin dapat memenangi 57 kerusi di Sabah dan Sarawak, oleh itu beliau telah meminta pertolongan Misuari untuk menjayakan hasrat Pakatan mendapat jumlah kerusi tersebut.

Dedahnya lagi, Anwar meminta pertolongan Misuari itu kerana tahu ramai warga Filipina beragama Islam yang berada di Sabah dan Sarawak turut memegang kerakyatan Malaysia dan boleh mengundi.

Sebagai balasan, RPK berkata Anwar telah berjanji bahawa Sabah dan Sarawak akan diberi autonomi, apabila Pakatan menang kerajaan persekutuan.

“Negeri itu akan diberikan royalti minyak 20% untuk memastikan Sabah dan Sarawak menjadi kaya, dengan dianggarkan RM4 bilion setahun bagi setiap negeri.

“Anwar juga berjanji bahawa rakyat Filipina yang bukan warganegara Malaysia di Malaysia Timur akan diberi kewarganegaraan Malaysia, atau sekurang-kurang status pemastautin tetap supaya mereka boleh mencari pekerjaan di Sabah,” dedahnya.

Nur Misuari telah bersetuju kepada terma Anwar kata RPK dan telah melantik Ibrahim Omar sebagai penyelaras, atau “duta tidak rasmi” ke Sabah untuk membantu Anwar meraih sokongan umat Islam Filipina di negeri ini.

RPK turut mendakwa pencerobohan pengganas ke Lahad Datu adalah sebagai sebahagian strategi merealisasi mencapai matlamat itu.

“Ia untuk meyakinkan umat Islam Filipina di Sabah bahawa mereka mesti bersatu di belakang Anwar untuk mendapatkan autonomi daripada kerajaan persekutuan,” dedahnya lagi.

-AIDC

No comments: