Thursday, September 12, 2013

0 Jamawi - Misi tawan sokongan orang muda @jamawijaafar


Misi menawan undi orang muda bagi mengembalikan sokongan mereka kepada Umno akan dijadikan slogan bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno.

Exco Pemuda Umno, Jamawi Jaafar berkata, berbekalkan pengalaman dan potensinya, beliau yakin dapat menjalankan tugas sekiranya diberikan mandat itu dalam pemilihan Umno Oktober ini.

“Misi saya adalah untuk mendapatkan semula sokongan anak muda, dengan pelbagai pendekatan baru, kita yakin mereka ini akan kembali menyokong kerajaan," katanya.

Ketua Pemuda Umno Tenom itu berkata, peningkatan ketara sokongan orang muda dapat dilihat menerusi jumlah undi yang diberikan oleh golongan itu kepada BN dalam PRU13.

Beliau juga yakin sokongan tersebut merupakan penghargaan golongan muda kepada BN yang tidak pernah meminggirkan mereka dalam agenda transformasi yang dilakukan oleh kerajaan.

Jamawi berkata, bagi menghargai jasa golongan itu, beliau akan terus memperkasakan lagi golongan muda dengan melaksanakan pelbagai program dan pendekatan baru.

Tambahnya, program yang dilaksanakan bukanlah bermusim tetapi dilakukan secara berterusan demi manfaat golongan itu.

“Saya yakin, para perwakilan juga bijak membuat pilihan bagi menyeimbangkan kedudukan individu-individu yang banyak menyumbangkan tenaga kepada parti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, sepanjang berkempen bagi menghadapi pemilihan kali ini, beliau banyak meluangkan masa turun padang bertemu dengan ahli Pemuda Umno di seluruh negara.

“Walaupun saya orang Sabah, tapi memandangkan dalam tempoh berkempen ini, banyak masa diluangkan. Lima hari saya akan berada di Kuala Lumpur kerana bekerja di sini.

“Tapi dua hari akan berada di Sabah untuk bertemu dengan perwakilan di sana. Alhamdulillah setakat ini, saya terima respon yang baik,” ujarnya.

Tambahnya, dengan sistem baru yang diperkenalkan dalam pemilihan kali ini, beliau yakin amalan demokrasi dalam Umno akan dapat dizahirkan.

“Saya sendiri pun turun berkempen bersama denagn calon lain, kami semua seperti sebuah keluarga.

“Saya yakin dengan segala kemampuan dan kredibiliti saya dapat memberi peluang secara seimbang dalam pemilihan kali ini,” kata beliau.

Untuk jawatan Naib Ketua Pemuda Umno, Jamawi akan berhadapan saingan daripada Ketua Pemuda Umno Perak, Khairul Azwan Haron; Ketua Pemuda Umno Lenggong, Mohd Iruan Zulkefli dan Exco Pemuda Umno, Lokman Noor Adam.

Jawatan itu kosong berikutan penyandangnya, Datuk Razali Ibrahim sudah melebihi umur 40 tahun.

Lulusan dari UPM dalam bidang Sains Pertanian pada tahun 1996, Jamawi kini adalah pegawai khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.-Sinar

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates