Monday, September 10, 2012

Nakhaie : PM bukan Melayu Pertama Jika PR Menang


Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad berkata Malaysia bakal menyaksikan Perdana Menteri bukan Melayu yang pertama jika Pakatan Rakyat (PR) menang dalam Pilihan Raya ke-13 (PRU13) nanti.

Katanya PR tidak mempunyai formula yang mantap dalam memastikan orang Melayu terus mentadbir negara selain sistem yang akan digunapakai gabungan itu masih samar.

“Pertama sekali kita harus faham, di dalam Pakatan Rakyat (PR) tiada ada satu formula yang jelas mengenai pakatan mereka.

“Tidak ada jaminan dalam PR kerana tiada formula yang mantap bahawa orang Melayu akan terus berkuasa walaupun mereka diangkat menjadi PM,” katanya kepada Antarapos dalam satu wawancara eksklusif di kediamannya, baru-baru ini.

Pendapat Nakhaie hampir sama dengan pendapat Terence Netto, kolumnis Malaysiakini yang meramalkan bukan Islam bakal menjadi PM pertama, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wartawan berpengalaman selama hampir empat dekad itu membuat ramalan itu berdasarkan intipati ucapan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam program tetamu khas program makan malam Kelab Wartawan Asing Malaysia (Foreign Correspondents Club of Malaysia – FCCM), 5 Jun.

Ketika menulis artikel bertajuk ‘Anwar’s successor and the non-Malay PM ‘ Netto berkata kemungkinan itu ada kerana Anwar berpegang kepada falsafah Tocqueville (Alexis de Tocqueville) yang bertunjangkan kesaksamaan kepada rakyat.

Dalam program FCCM itu kata Netto, Anwar memetik merit demokrasi di Amerika Syarikat (AS) berdasarkan pandangan ahli falsafah Perancis, Tocqueville, yang menulis buku pada tahun 1835 selepas sembilan bulan melihat perkembangan demokrasi di AS.

Anwar berkata beliau sering mencadangkan buku Tocqueville dijadikan kitab rujukan kepada kumpulan muda pemimpin dalam PKR, untuk kemajuan rohani mereka.

Menurut Netto, jika Anwar dan pengikut-pengikutnya berfahaman Tocqueville tentang kesaksamaan itu, maka, bukan menjadi halangan kepada bukan Melayu/Islam bakal menjadi PM Malaysia pada masa akan datang.

Sebelum itu, Netto melaporkan ketika dalam program FCCM, Anwar telah ditanya tentang siapakah pengganti beliau selepas PR berjaya menawan Putrajaya.

Pertanyaan itu wajar, kata Netto memandangkan usia Anwar bakal mencecah 65, walaupun kini Anwar masih sihat, namun pada masa akan datang, usia lelaki selepas 65 tahun, kesihatannya sukar diramal.

Katanya, Anwar kini menjadi penyatu di antara kedua parti ekstrim, DAP yang mendokong prinsip sekular dengan PAS yang mendokong prinsip Islam.

Manakala Anwar pula menurut Netto berada di tengah-tengah kedua prinsip itu iaitu Islam dan Demokrasi yang merupakan prinsip baru selepas Fasisme & Demokrasi dan Komunisme & Demokrasi.

Islam kini menjadi target utama Barat, selepas Fasisme & Komunisme berjaya diliberalkan dengan senjata demokrasi. -AIDC

Kewangan Unisel Catat Kerugian


Laporan kewangan Universiti Selangor (Unisel) mencatatkan kerugian sejak 2008, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar semalam, selepas Kerajaan Negeri masih mendiamkan diri.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai bukti laporan audit kewangan Unisel yang sudah ditandatangani Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 27 Ogos 2011 lalu mencatatkan kerugian selepas cukai berjumlah kira-kira RM 54.8 juta sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor.

"Disebabkan Abdul Khalid masih berdiam diri berhubung isu kewangan Unisel, saya tampil membuat pendedahan berdasarkan pada salinan laporan audit bagi 2009-2010 menunjukkan kerugian selepas cukai sebanyak RM 1.63 juta pada 2008, RM 13.55 juta (2009) dan 39.68 juta pada 2010.

"Universiti ditadbir Kerajaan Negeri Selangor itu mencatatkan jumlah pendapatan RM 90.40 juta pada 2008, RM 93.51 juta (2009) dan jumlah itu menurun kepada RM 75.48 juta bagi 2010.

"Bagi 2008, jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM 93.97 juta dan jumlah itu meningkat kepada RM 106.13 juta pada 2009 dan RM 113.11 pada 2010.

"Mana hebatnya Menteri Besar yang dikatakan Tokoh korporat itu menyelesaikan krisis kerugian Unisel ini? Macam mana ekonomi negeri mahu ditingkatkan sedangkan ekonomi Unisel sendiri merudum," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Dewan Datuk Hormat disini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kegagalan Abdul Khalid menunaikan janjinya untuk mendedahkan laporan audit sebelum berakhir Ogos lalu menunjukkan sikap yang tidak boleh menepati janji.

"Apabila saya timbulkan isu kewangan Unisel dalam keadaan nazak dalam Sinar Harian Julai lalu, masa itu Meteri Besar begitu ego dan sombong sehingga meminta saya belajar akaun dengan dia.

"Sekarang sudah selesai Ogos, saya mahu tanya Menteri Besar adakah audit Unisel masih belum selesai? Sebenarnya audit itu sudah lama selesai," katanya yang turut meminta agar Menteri Besar dan PKR itu berhenti daripada terus menipu rakyat negeri itu.

Noh turut meminta menteri besar jangan cuba menyembunyikan fakta isu kewangan Unisel dan mencabar Abdul Khalid tampil dan menjawab dakwaan ini.-SH

PAS Goyang Untuk Ambil Tindakan Terhadap Nasharudin



Agendadaily – Semua orang ternanti-nanti khabar dari mesyuarat Majlis Syura PAS di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur Ahad malam yang diketahui umum akan bincang isu bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang cadangkan parti itu keluar dari pakatan pembangkang kerana tindak tanduk Karpal Singh yang terus mempertikaikan hasrat PAS nak laksana hudud dan Negara Islam jika berkuasa.

Namun tunggu punya tunggu…lepas mesyuarat hampir dua jam itu,Presiden PAS datuk seri Haji Hadi Awang dalam sidang akhbar ringkas di tangga bangunan itu saja kata mesyuarat malam ini adalah mesyuarat biasa saja dan ia tidak membincangkan isu Nasharudin.

Boleh percaya ke ? Beliau selamba macam tiak aa hal kata tiada apa-apa masalah berhubung Nasharudin.

Katanya Nasharudin juga kekal sebagai ahli Majlis Syura PAS.

Nasharudin turut hadir pada mesyuarat berkenaan.

Ia dipercayai dipengerusikan oleh Haji Hadi.

Pengerusi majis itu Datuk Nik Aziz Nik Mat datang.Namun beliau balik awal kira-kira 15 minit selepas mesyuara bermula jam 9 malam.

Keputusan PAS tidak ambil apa-apa tindakan terhadap Nasharudin yang membuat cadangan yang kontrovesial itu sudah dijangka ramai pihak.

Ini kerana PAS dipercayai bimbang sebarang tindakan boleh backfire parti itu kerana didapati ramai pihak termasuk dalam parti itu yang menyokong pendiriannya terhadap Karpal.

Sebelum ini ada juga pihak yang menduga beliau akan mengalami nasib sama seperti Datuk Dr Hasan Ali.

Sementara itu ketika ditanya samaada Nasharudin akan kekal bertanding sebagai calon PAS di kawasan parlimen Bachok,Kelantan yang kini disandangnya,Haji Hadi kata hal berkenaan kena tunggu bila pilihanraya umum nanti.

ramai pemerhati politik yang menilai harapan tipis bagi bekas Timbalan Presiden PAS itu kekal bertanding pada pilihanraya umum kali ini.

Nasharudin kebelakangan ini tampil dengan pendirian sederhana yang dikatakan membuatkan golongan pro Anwar dalam parti itu cukup berbulu padanya.

Lagi pun beliau dikira sudah masuk ‘buku hitam’ Nik Aziz.