Tuesday, July 16, 2013

PKR Besut - Che Long Ada 54 Saman Trafik


Calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azlan Yusof atau lebih dikenali sebagai Che Long ada 54 saman trafik dedah terengganutoday.com.

“Calon Pas untuk PRK Kuala Besut ini sememangnya seorang yang penuh dengan kontroversi dan Pas sememangnya telah melakukan kesilapan yang besar apabila menama dan meletakkan Che Long sebagai calonnya untuk PRK N01 Kuala Besut kali ini.

“Melalui siasatan dan kajian yang dibuat melalui laman web www.myeg.gov.my menyatakan bahawa Che Long mempunyai 54 saman yang bernilai RM 4150.00, “dedah portal itu.

Menurut portal itu lagi, saman-saman yang disemak atas nama calon Pas itu sudah dikesan sejak dari tahun tahun 1999 (10 saman), tahun 2000 (3 saman), 2001 (8 saman), 2002-2004 (satu saman setiap tahun), 2007 (3 saman), tahun 2008 (1 saman ), tahun 2009 (4 saman), tahun 2010 (6 saman), 2011 (9 saman), 2012 (5 saman) dan tahun 2013 (2 saman).

Daripada jumlah itu, dua saman disebabkan kesalahan meletak kenderaan, satu saman kerana tidak memakai topi keledar, dua saman kerana langgar lampu isyarat dan 49 saman kerana memandu melebihi had laju.

Semua saman tersebut melibatkan kenderaan bernombor pendaftaran yang bernombor DBV 1023, DAY 777, WBG 61, DAF 9439, DAG 777, TAB 349 dan DAG 5300.

“Rupanya Calon cari makan bertaraf kontrator class A ini, merupakan haji bakhil yang tidak pernah membayar saman sehingga ada saman selama 14 tahun yang masih tertunggak, mungkin ini sebab utama mengapa calon cari makan ini lebih pentingkan perniagaannya daripada berkhidmat untuk rakyat.

“Seharusnya rakyat dapat berfikir secara matang dalam memilih calon yang boleh mewakili rakyat, bukan calon yang utama duit dari rakyat,” ulas portal itu lagi.


Sementara itu, terengganutoday.com turut melaporkan Che Long tidak menyumbang kepada Pas DUN Kuala Besut dalam Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini, sebaliknya beliau sebagai anak jati Kuala Besut berkempen untuk Datuk Husam Musa yang bertanding di Parlimen Putrajaya.

“Umum menngetahui bahawa Che Long yang digelar “bank Pas” merupakan jentera dan juga penyumbang utama kepada kempen politik Husam. Ianya amat terserlah apabila Husam bertanding di kerusi parlimen Putrajaya di mana Che Long meninggalkan kampung halaman bersama jenteranya untuk berkempen bagi pihak Husam di Putrajaya.

“Maka tidak menjadi sesuatu yang peliklah sekiranya Husam sebagai pengarah PRK N01 Kuala Besut bagi pihak Pas menamakan Che Long sebagai calon.

“Apa yang lebih mengejutkan lagi dalam satu termuramah yang dibuat oleh buletinonline (media pro pembangkang) bahawa Che Long akan menggajikan orang untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat kerana beliau sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya amat sibuk.

“Kenapa agaknya Che Long lebih utamakan perniagaannya daripada berkhidmat untuk rakyat? Mungkinkah kerana dialah sumber kewangan utama kepada kempen politik Husam? Jika sekiranya dia berkhidmat untuk rakyat maka tumpuannya kepada perniagaannya akan berkurangan maka mungkin berkuranglah sumber kewangannya,”lapornya.

-AIDC

Monday, July 15, 2013

PRK Besut : Pas Kawal Kenyataan Azlan Kepada Media… Takut Calon Salah Cakap!



Pas memutuskan untuk tidak membenarkan Azlan @ Endut Yusof (gambar), calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, membuat kenyataan secara spontan kepada media.

Pengurus Kempen PRK Dun Kuala Besut, Hanafiah Mat berkata, beliau sendiri akan membuat kenyataan bagi pihak Azlan.

“Kita ambil pendekatan ini untuk mengelak kenyataan calon (Azlan) daripada dimanipulasi (oleh pihak musuh),” katanya.

Hanafiah menjelaskan, pihaknya berbuat demikian bukan kerana mahu terlalu melindungi Azlan atau menghalangnya bekerjasama dengan media.

“Dalam keadaan tertentu, calon akan diberi peluang buat kenyataan. Kita cuma tidak mahu kenyataannya dimanipulasi atau disalah erti,” katanya.

Menurutnya, apa berlaku kelmarin adalah satu contoh kenyataan Azlan disalah tafsir oleh media.

“Beliau orang baru dalam politik, mudah tersalah cakap ketika menjawab. Sebab itu, lepas ini beliau tidak akan buat kenyataan spontan lagi. Kenyataan akhbar mesti melalui pengurus kempen,” katanya.

Dalam kenyataan akhbar disiarkan semalam, Azlan, seorang kontraktor yang lebih dikenali dengan panggilan Che Long, dilaporkan berkata, beliau akan mengupah orang untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat jika beliau dipilih oleh pengundi pada PRK ini, sementara beliau sendiri akan memberi tumpuan kepada perniagaannya di Kelantan.

Diminta menjelaskan mengenai kenyataan itu, Hanafiah memberitahu, apa yang dimaksudkan Azlan ialah mahu melantik pembantu dan kerani untuk melicinkan tugasnya sebagai wakil rakyat nanti.

“Kenyataan ini jelas dimanipulasi hingga kami buat keputusan mengehadkan kenyataannya dengan media,” katanya.

Menurutnya, jika dipilih, Azlan memutuskan tidak akan mengambil elaun wakil rakyat, sebaliknya akan menyalurkan wang itu untuk tabung bantuan yang akan ditubuhkan bagi bantu golongan memerlukan di Kuala Besut.

“Sebelum ini pun beliau telah banyak menyumbang untuk parti,” katanya. – SH

Pemuda Umno Desak Tindakan Tegas Pasangan Persenda Islam


Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa agar tindakan tegas dan cepat diambil terhadap pasangan yang mempersendakan Ramadan, Alvin Tan dan Vivian Lee.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pasangan itu jelas telah mengguris perasaan dan menimbulkan kemarahan umat Islam tidak kira kenyataan itu dibuat atas apa sebab sekali pun.

"Kali ini jelas ada nama, ada gambar dan malah mereka sendiri telah mengaku dan hari ini mereka telah pergi ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk beri keterangan tanpa menafikan mereka buat perkara tersebut.

"Saya harap supaya ada tindakan yang cepat kali ini. Saya tak faham kalau kes yang jelas, terang dan nyata macam ini pun kita tak boleh ambil apa-apa tindakan," katanya kepada pemberita pada satu sidang media, di sini, Isnin.

Jelasnya, kerajaan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia telah mempunyai peruntukan undang-undang mengenai perkara ini yang membenarkan tindakan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menghina pihak lain.

"Kes ini amat jelas sekali, kalau kita tanya 10 orang umat Islam di Malaysia sama ada mereka rasa terhina atau marah, saya rasa 10 daripada 10 akan setuju.

"Sekarang tinggal lagi kita mahu lihat tindakan diambil, ini bukan hanya masa ambil keterangan," katanya.

Khairy berkata, tindakan terhadap pasangan itu juga harus diambil walaupun beliau difahamkan pasangan tersebut telah membuat permohonan maaf.

Katanya, ia perlu kerana negara mempunyai undang-undang selain menjadi pengajaran kepada masyarakat.

"Dalam perkara tertentu, walaupun dia minta maaf kita perlu juga ambil tindakan.

"Kalau tidak, kita boleh cakap apa-apa yang mengguris hati orang ramai, selepas minta maaf kita kira perkara itu selesai.

"Saya rasa tak boleh, kes ini sangat serius dan perbuatan ini cukup menimbulkan kemarahan umat Islam," katanya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak menunjukkan reaksi melampau terhadap perkara ini dan mengingatkan orang ramai supaya supaya tidak mengguris sensitiviti mana-mana agama.

Katanya, tindakan yang sama perlu dikenakan kepada sesiapa sahaja termasuk orang Islam yang menghina agama lain.

"Kita tak mahu orang kata kita memilih dalam membuat tindakan," tegasnya.


Pada Khamis, pasangan ini memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.