Friday, November 28, 2008

Ahli UMNO amal politik wang akan dilucut jawatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi amaran kepada mana-mana ahli UMNO yang terbukti bersalah mengamalkan politik wang akan dilucutkan jawatan yang dimenangi mereka. “Mereka sepatutnya tahu (tindakan dilucutkan jawatan). Mereka lupa dengan keghairahan nak bertanding, macam-macam boleh berlaku.

“Kalau berlakunya sesuatu yang menjadi masalah, akhirnya nanti mereka akan dikenakan tindakan disiplin termasuk tinggalkan jawatan atau digantung,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Kualiti Sektor Perkhidmatan Awam 2008, disini, hari ini. Abdullah yang juga Presiden Umno berharap siasatan Lembaga Disiplin Umno berhubung politik wang dapat diselesaikan sebelum pemilihan parti Mac depan agar mereka yang bersalah boleh digugurkan daripada bertanding.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah bagi memastikan pentadbiran parti berjalan lancar.”Sekiranya seseorang yang sudah dipilih untuk memegang sesuatu jawatan dan selepas itu baru didapati bersalah dan jawatan itu terpaksa dikosongkan, ia akan merugikan parti,” katanya.

Abdullah berkata, beliau mendapat jaminan daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang pihaknya akan cuba menyelesaikan aduan sebanyak mungkin sebelum pemilihan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, walaupun siasatan itu perlu dijalankan dengan cepat namun ia perlu dijalankan dengan rapi dan keputusan yang dibuat mestilah betul. Abdullah berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) masih boleh menyiasat sekiranya wujud unsur-unsur rasuah membabitkan mereka yang bertanding.

No comments: