Penafian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung laporan Utusan Malaysia kelmarin mengenai pembatalan perarakan sambutan Maulidur Rasul di negeri itu mula menjerat leher sendiri.
Ia ekoran pendedahan surat bertarikh 5 Februari yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir, mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri yang dengan jelas menyatakan bahawa majlis perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul dibatalkan dan diteruskan dengan Majlis Perhimpunan Ummah pada 26 Februari.
Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta penjelasan daripada Guan Eng mengenai kesahihan surat berkenaan yang menurutnya turut dimuat naik ke laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang (JHEAPP).
"Pemuda UMNO menyambut baik kenyataan Guan Eng bahawa sambutan (Maulidur Rasul) kali ini akan dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut bermula daripada 25 Februari 2010.
"Namun, Pemuda UMNO ingin bertanya kepada Guan Eng kesahihan salinan surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyatakan Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang memutuskan untuk membatalkan perarakan tradisi Maulidur Rasul dalam mesyuaratnya 3 Februari lalu.
"Guan Eng harus menjelaskan perkara ini dengan telus dan jujur sebagaimana cogan kata bagi pentadbiran beliau yang menjurus kepada tema Cekap, Akauntabiliti dan Telus," katanya dalam laman blog beliau http://www.rembau.net.my/.
Menurut Khairy sekiranya laporan itu benar, pembatalan perarakan itu yang merupakan amalan tradisi bagi seluruh Umat Islam di negara ini, adalah satu penghinaan kepada agama Islam dan juga umat Islam di Pulau Pinang.
"Pembatalan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia seakan menidakkan kehendak rakyat Pulau Pinang beragama Islam berarak bagi menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada Rasulullah.
"Malah ia juga adalah satu gambaran yang langsung tidak memahami dan menghormati sensitiviti masyarakat majmuk dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia," ujarnya.
No comments:
Post a Comment