Monday, March 22, 2010

16 September: Pemuda UMNO serahkan pihak berkuasa siasat


Pergerakan Pemuda UMNO menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam "Rancangan 16 September" beliau.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya pendedahan itu benar, tindakan Anwar tersebut nyata telah mencemarkan imej institusi diraja, istana dan ATM.

"Apa yang penting di sini adalah pendedahan Datuk Seri Zahrain (Mohamed Hashim) itu telah menimbulkan pelbagai masalah.

"Sama ada benar atau tidak, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan sebab sudah ada beberapa laporan polis dibuat termasuk oleh Pemuda (UMNO) Selangor dan Pemuda (UMNO) Wilayah," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar sebelum perlawanan akhir Liga Bola Sepak Subang dan program Juara Rakyat UMNO di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor dan Ketua Pemuda UMNO Subang, Harison Hassan.

Khairy mengulas pendedahan Zahrain yang merupakan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru di Dewan Rakyat Rabu lalu, berhubung rancangan Ketua Pembangkang itu untuk mengambil alih kerajaan Pusat pada 16 September 2008.

Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar dan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Suhaimi Mohd. Ghazali membuat laporan polis berhubung pendedahan Zahrain itu.

Dalam perkembangan sama, kata Khairy, persidangan Dewan Rakyat bukan sahaja bertujuan membahaskan isu berkaitan rakyat tetapi juga untuk membincangkan isu integriti dan kredibiliti para pemimpin dalam negara.

"Jika benar Anwar sanggup mencemar dan menyalahgunakan nama istana dan ATM, itu menyentuh secara langsung (tentang) kredibiliti kepimpinan dan asas demokrasi negara kita. Saya rasa ini penting untuk rakyat nilai," jelasnya.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) memberitahu, generasi muda negara khususnya di dalam BN mengharapkan supaya pemilihan MCA pada 28 Mac ini menjadi noktah kepada segala masalah dalaman parti itu selama ini.

Katanya, proses pemilihan itu menunjukkan ahli-ahli MCA telah diberikan hak mereka sepenuhnya untuk memilih para pemimpin mengikut perlembagaan parti.

Beliau memberitahu, UMNO khususnya Pemuda bersedia memberikan kerjasama penuh kepada para pemimpin MCA yang bakal dipilih demi menjayakan gagasan 1Malaysia.

No comments: