Monday, May 31, 2010

Serangan Tentera Israel Atas Konvoi Kapal Freedom Flotilla

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera rejim Zionis Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang dalam perjalanan membawa lebih 10 ribu tan bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin. Konvoi yang mula berlayar dari Cyprus semalam itu terdiri dari lebih 700 aktivis kemanusiaan pro-Palestin termasuklah seorang pemenang anugerah Nobel serta beberapa ahli politik dari negara-negara Eropah.

Laporan juga menyatakan bahawa terdapat dua orang warga Malaysia – saudara Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latip dari Astro Awani – di atas kapal utama konvoi, Mavi Marmara yang diserbu oleh tentera Israel. Jurucakap Gerakan Pembebasan Gaza yang menganjurkan Freedom Flotilla ini melaporkan bahawa tentera Israel tanpa provokasi terus menembak beberapa individu sejurus selepas menyerbu kapal tersebut.

Dianggarkan seramai 16 orang terbunuh manakala lebih kurang 30 lagi cedera akibat tindakan kejam tentera Israel terhadap manusia yang tidak bersenjata. Setakat ini identiti mangsa belum dapat dikenalpasti.

Sudah hampir pasti Israel akan menggunakan alasan keselamatan untuk mempertahankan tindakan zalim tenteranya, tetapi ia bukan satu alasan yang boleh diterima sama sekali. Mana mungkin mereka yang mengikuti konvoi ini dianggap sebagai membawa ancaman kepada keselamatan Israel, sedangkan niat mereka hanyalah untuk menjayakan misi kemanusiaan untuk penduduk-penduduk Gaza yang sudah lama merana di bawah sekatan ekonomi Israel.

Di bawah sekatan ekonomi ini, Israel hanya membenarkan 15 ribu tan bantuan kemanusiaan seminggu ke Gaza, sedangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa bantuan ini tidak sampai suku jumlah yang diperlukan oleh para penduduk Gaza.

Apa yang lebih mengejutkan lagi, pembunuhan kejam ini dilakukan di perairan antarabangsa, lebih kurang 65 kilometer dari persisiran Gaza, di mana tentera Israel tiada langsung hak kedaulatan untuk menyerang konvoi kapal tersebut. Tindakan ini ternyata melanggar peraturan antarabangsa lantas membuktikan sekali lagi bahawa rejim Israel adalah satu rejim zalim laknatullah yang langsung tidak menghormati undang-undang.

Oleh itu, Pemuda UMNO berharap masyarakat antarabangsa akan bersatu mengutuk serangan ini atas prinsip kemanusiaan sejagat. Insiden ini juga merupakan satu ujian kepada kuasa-kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat di bawah Presiden Barack Obama yang sebelum ini menjanjikan pembaharuan dasar luar yang lebih adil kepada umat Islam. Sudah tiba masa beliau mengotakan janjinya kepada dunia dengan tidak lagi menyelindungi keganasan sekutunya sepertimana Presiden-Presiden sebelum ini. Pemuda UMNO juga menggesa Kerajaan Malaysia melalui Kementeri Luar Negeri bersama rakan-rakan luar yang lain untuk segera mendesak Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap Israel.

Pemuda UMNO menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya dapat kita bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kesemua individu yang menyertai konvoi tersebut, terutamanya saudara Ashwad dan Shamsul agar dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

1 comment:

Anonymous said...

Doa agar mereka semua selamat menghantar bantuan serta selamat pulang.

Yang selebihnya diharap semua umat islam berdoa agar mereka dlindungi oleh Allah SWT.