Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) menyambut baik Belanjawan 2011 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato’ Sri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam.
Apa yang ingin Pemuda UMNO ketengahkan adalah langkah mesra orang muda yang telah dizahirkan oleh Kerajaan dengan pelbagai dasar dan peruntukan yang menepati pelbagai cadangan daripada Makmal Generasi Muda Pemuda Barisan Nasional (Makmal Pemuda). Ini bukan sahaja mengotakan janji YAB Perdana Menteri sendiri semasa sesi balairaya Makmal Pemuda pada 27 Ogos lalu dimana beliau memberi jaminan suara anak-anak muda akan mencorakkan pertimbangan dasar bahkan suatu pengiktirafan kepada peranan dan cadangan generasi muda Malaysia.
Terdapat beberapa cadangan Makmal Pemuda yang telah diserapkan di dalam Belajawan 2011, iaitu : -
[1] Skim Rumah Pertamaku bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan kurang daripada RM3 ribu sebulan bagi memiliki rumah. Melalui skim ini, Cagamas akan menawarkan jaminan Kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220 ribu. Ini bermakna, orang muda kini boleh mendapatkan pinjaman sehingga 100 peratus tanpa bersusah payah mengeluarkan wang bagi bayaran pendahuluan 10 peratus. Pada masa yang sama, pengecualian duri setem sebanyak 50 peratus juga diberi ke atas transaksi pembelian rumah bernilai bawah RM350 ribu.
Skim ini sejajar dengan dengan cadangan Makmal Pemuda bagi suatu skim khusus untuk membantu orang muda membeli rumah. Sudah pastinya skim seperti ini bukan sahaja membantu kos pembelian tetapi juga dapat meningkatkan pemilikan rumah di kalangan generasi muda yang rata-ratanya ramai masih lagi menyewa kediaman mereka.
[2] Kerajaan juga bersetuju dengan cadangan Makmal Pemuda tentang perlunya pemberian insentif dan sokongan kewangan bagi orang muda untuk melaksanakan apa-apa program mahupun aktiviti yang menggambarkan semanagt dan nilai-nilai perpaduan 1Malaysia. Untuk itu, Kerajaan, melalui 1Malaysia Development Berhad, akan menyumbang dana sejumlah RM20 juta bagi penubuhan Dana Belia 1Malaysia bagi tujuan pembangunan belia disamping memupuk semangat 1Malaysia.
[3] Kerajaan juga akan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang akan menjadi peneraju kepada usaha-usaha penetapan gaji minimum di Malaysia. Isu gaji minimum bukan sahaja merupakan salah satu isu yang telah diutarakan oleh Makmal Pemuda bahkan kini menjadi semakin penting sebagai suatu mekanisme kebajikan rakyat di dalam kita mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi. Ia juga menjadi suatu isu moral memandangkan 34 peratus daripada pekerja di Malaysia mendapat gaji di bawah paras kemiskinan di Semenanjung Malaysia dan jurang pendapatan yang tinggi antara rakyat di mana kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah hanya mengecapi pendapatan yang secara puratanya satu per tujuh daripada apa yang diperolehi oleh kumpulan berpendapatan 20 peratus teratas.
Isu ini juga begitu penting bagi orang muda memandangkan 67 peratus daripada kumpulan pekerja adalah mereka di tahap umur 40 tahun ke bawah.
[4] Kerajaan juga mengiktiraf saranan Makmal Pemuda bagi usaha-usaha untuk meningkatkan kemahiran serta potensi orang muda untuk diambil bekerja, terutama bagi mereka yang tercicir dari arus perdana pendidikan mahupun tidak berpendidikan tinggi, dengan memperuntukkan sejumlah RM474 juta bagi usaha-usaha peningkatan produktiviti dan kemahiran di bawah pelbagai institusi latihan.
Pendekatan ini amat bertepatan sekali oleh kerana kajian Makmal Pemuda mendapati 80 peratus daripada generasi muda hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia ke bawah dan 87 peratus daripada pekerja muda juga berada di kelompok pekerjaan bukan pengurusan atau professional. Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO berharap peruntukan ini akan dapat menaiktaraf kemahiran pekerja-pekerja muda dan membantu mereka menjawat jawatan yang lebih tinggi serta memikul tanggung jawab yang lebih dan bagi meningkatkan pendapatan yang mereka terima.
[5]Akhir sekali, salah satu aspek yang ditekankan oleh Makmal Pemuda adalah berhubung tanggung jawab orang muda menjaga kedua-dua ibu-bapa mereka. Makmal Pemuda telah mencadangkan agar diberikan insentif dan sokongan bagi pusat jagaan warga emas dan Pemuda UMNO berterima kasih kepada Kerajaan yang prihatin terhadap isu ini dengan memperluaskan skop pelepasan cukai RM5 ribu sedia ada bagi perbelanjaan menghantar ibu bapa ke pusat jagaan harian serta kos penggajian bagi penjaga yang menjaga mereka termasuklah keperluan harian seperti lampin pakai buang.
Secara umumnya juga, Pemuda UMNO berpendapat bahawa Belanjawan 2011 ini mengimbangi tuntutan ke arah mentransformasikan negara menjadi negara berpendapatan tinggi dengan penekanan ke arah pencapaian segala program dan perancangan Program Transformasi Kerajaan serta Program Tranformasi Ekonomi disamping polisi yang bercirikan aspirasi rakyat di mana YAB Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa Belanjawan ini amat menitikberatkan segala maklum balas yang diterima Kerajaan daripada rakyat dari pelbagai sudut dan isu.
Pemuda UMNO juga mengucapkan syabas kerana di dalam pertumbuhan ekonomi dunia yang agak sederhana, kita masih lagi tegar dengan sasaran pertumbuhan ekonomi 6 peratus disamping pengurangan deficit kepada 5.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar daripada 5.6 peratus pada tahun 2010.
Akhir kata, Pemuda UMNO sekali lagi mengucapkan syabas dan berterima kasih kepada Kerajaan dan berharap segala perancangan yang telah dibuat akan terlaksana.
(Source: Rembau.net)
1 comment:
Pemuda BN lebih gah dari segi idea yang baru sepanjang berada di bawah kepimpinan YB Sdr. Khairy Jamaluddin. Syabas buat BN Youth Lab
Post a Comment