Thursday, October 14, 2010

Lima resolusi jayakan dasar gaji minimum

















Laman rasmi Facebook Ketua Pemuda Umno Malaysia:
http://www.facebook.com/khairykj

Kesatuan sekerja daripada pelbagai sektor bersetuju sekiranya paras gaji minimum ditetapkan pada kadar RM900 dengan pemberian elaun RM300 kepada para pekerja di negara ini.

Persetujuan itu merupakan salah satu daripada lima resolusi Forum Gaji Minimum anjuran Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di sini hari ini.

Empat lagi resolusi yang dihasilkan daripada forum tersebut adalah:

* Semua pihak bersetuju dan tiada keraguan dengan pelaksanaan gaji minimum.

* Pelaksanaan gaji minimum perlu dipertimbangkan sama ada mengikut sektor atau kawasan iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

* Tidak bersetuju jika penetapan gaji minimum adalah berdasarkan pada faktor produktiviti sebaliknya faktor itu digunakan untuk menentukan kadar kenaikan gaji yang seterusnya.

* Perlu diwujudkan satu perjanjian antara pihak kerajaan, majikan dan pekerja bagi membina hubungan pekerjaan yang harmoni.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, resolusi-resolusi tersebut akan dibawa ke peringkat Kementerian Sumber Manusia untuk dibincangkan.

"Perkara-perkara itu merupakan apa yang terkandung dalam resolusi yang telah dikenal pasti menerusi forum yang telah kami anjurkan dan ia suara daripada kesatuan sekerja serta pekerja-pekerja pelbagai sektor yang berharap perkara itu dapat dilaksanakan.

"Kami akan cuba sedaya upaya membawa perkara ini untuk dibincangkan kepada pihak Kementerian Sumber Manusia agar dasar gaji minimum ini benar-benar direalisasikan mengikut kehendak pekerja di Malaysia," katanya semasa merumuskan hasil perbincangan forum tersebut.

Pada forum itu, lima orang panel telah dijemput berbincang serta bertukar-tukar pendapat berhubung isu gaji minimum selain menjawab pertanyaan berkaitan isu itu daripada kesatuan sekerja pelbagai sektor yang hadir.

Selain Khairy sendiri sebagai ahli panel forum, ahli panel lain ialah Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran; Ahli Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Sarita Beram Shah; Pengurus Besar Kanan Perbadanan Produktiviti Negara; Shahuren Ismail serta Dekan Sekolah Perdana Polisi, Sains dan Inovasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Durrishah Idrus.

Menurut Khairy, pelaksanaan gaji minimum secara menyeluruh yang melibatkan pekerja asing juga akan diberi perhatian.

Katanya, jika pekerja asing tiada penetapan gaji minimum, ia akan membolehkan majikan mendapatkan tenaga kerja lebih murah dari luar negara mengakibatkan berlaku lambakan pekerja asing di dalam negara.

Sementara itu, Khairy berkata, Pemuda BN juga akan mengemukakan isu berhubung pemberian pencen minimum oleh syarikat milik kerajaan (GLC) kepada Kementerian Sumber Manusia kerana mendapati kadar pencen yang diberi kepada bekas pekerjanya sangat rendah jika dibandingkan dengan sektor lain.

(Source: Utusan)

No comments: