Tuesday, October 5, 2010

Forum Gaji Minimum



Pemuda Barisan Nasional ("Pemuda BN") bersama-sama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan menganjurkan Forum Gaji Minimum pada hari Rabu, 13 Oktober 2010 ini bertempat di Hotel Putra, Kuala Lumpur bermula dari jam 8:30 pagi hingga 1:30 petang.

Forum ini adalah lanjutan daripada sesi perbincangan bersama wakil daripada dua kesatuan sekerja terbesar negara iaitu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) pada 24 Ogos lalu serta maklum balas yang diterima melalui Makmal Pemuda BN.

Isu gaji minimum adalah suatu yang amat penting bagi seluruh golongan pekerja di Malaysia terutama bagi membantu mereka menangani kos sara hidup dan inflasi yang meningkat disamping memastikan bahawa kebajikan pekerja di negara ini terbela dengan kadar gaji yang setimpal. Keperluan ini dilihat semakin meruncing apabila 34 peratus daripada kumpulan pekerja di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan, iaitu lebih rendah daripada Pendapatan Garis Kemiskinan Semenanjung (PGK) - RM720 sebulan. Malahan berdasarkan kajian Bank Dunia, secara puratanya gaji para pekerja di Malaysia hanya meningkat pada kadar 2.6 peratus dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu yakni lebih rendah jika dibandingkan dengan purata kenaikan gaji dunia iaitu pada tahap 3.2 peratus, sebagaimana laporan Pejabat Buruh Antarabangsa.

Malahan isu ini menjadi semakin relevan unjuran daripada usaha Kerajaan mentransformasi halatuju serta merancakkan aktiviti ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dengan sasaran pendapatan kapita rakyat di tahap USD15,000 atau RM49,500 setahun. Ini kerana adalah menjadi kebimbangan Pemuda BN dan MTUC akan risiko pelebaran jurang pendapatan antara yang berpendapatan tinggi dan rendah sekiranya kita masih lagi membiarkan kuasa pasaran menentukan tahap gaji terendah pekerja.

Sebagaimana dijelaskan sebelum ini, objektif forum ini adalah bagi membincang dan menghalusi segala pandangan, cadangan serta permasalahan berkaitan dengan pelaksanaan gaji minimum sebelum menghantar segala rumusan terbabit kepada Kerajaan.

Sehubungan itu, pihak Pemuda BN dan juga MTUC dengan ini menjemput orang ramai untuk menghadiri forum tersebut dan turut serta memberi pandangan serta buah fikiran berhubung dengan topik gaji minimum di Malaysia.

Sumber : http://www.rembau.net.my/

Facebook Ketua Pemuda Umno Malaysia : http://www.facebook.com/Khairykj

No comments: