Monday, December 20, 2010

JOM !! - LAUNGAN 1MALAYSIA BERGEMA DI JOHOR.

Setelah berakhirnya di Pahang, Jelajah One Malaysia (JOM) meneruskan perjuangan membela rakyat di Negeri Johor. Lokasi pertama yang menjadi pilihan adalah Parlimen Sembrong. Majlis Pelancaran Peringkat Negeri Johor yang bertempat di Dewan Terbuka Kampung Gajah disambut meriah dari masyarakat di sini. Melayu, Cina dan India bersatu menanti kehadiran konvoi Jelajah One Malaysia.


Pengerusi Pemuda BN Malaysia, YB. Khairy Jamaluddin di dalam ucapan pelancaran amat kagum dengan kehadiran kesemua pimpinan komponen BN Bahagian Negeri Johor yang disifatkannya sebagai bukti semangat setia kawan dan laungan 1Malaysia menjadi nadi perjuangan BN. YB. Khairy juga berkata, ini juga membuktikan bahawa masyarakat Johor menerima konsep yang diketengahkan BN yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

Beliau juga memuji keberkesanan bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan inspirasi beliau untuk memantapkan jentera Pemuda BN. Ahli Parlimen Sembrong ini katanya, merupakan seorang pemimpin yang sentiasa memastikan rakyat terus terbela.

YB. Khairy turut mendakwa, perlaksanaan program JOM ini adalah bagi menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengilhamkan konsep 1Malaysia... Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Program JOM ini sebagai bukti bahawa BN akan menunaikan amanah dan tanggungjawab dalam membantu rakyat yang menghadapi kesusahan.

Pada majlis tersebut juga YB. Khairy telah menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat. Masyarakat di Sembrong amat gembira dengan pendekatan Pemuda BN yang turun padang membantu mereka. Pada Majlis tersebut juga YB. Khairy telah melancarkan Konvoi Ekspedisi Pemuda Kampung Semberong.

1 comment:

Anonymous said...

Salam..

err..apsal ONE malaysia bukan SATU malaysia?