Tuesday, June 26, 2012
Keganasan Adalah ‘Trend’ – Pemimpin PR?
Ungkapan tabik harus diberikan kepada Laman Suara PR kerana berani menegur Pakatan Rakyat. Selama ini, kita lihat laman-laman web dan blog-blog pro-PR lain tidak pernah menegur jauh sekali membongkar kesilapan pemimpin-pemimpinnya. Semuanya mengambil sikap kipas dan ampu dan membela apa saja yang dibuat oleh pemimpin PR tidak kira sama ada salah dari segi moral, undang-undang, mahupun agama. Realitinya, di dalam PR itu, sesiapa sahaja yang menegur akan dipecat. Mungkin kerana itu, tiada siapa yang berani mengambil sikap telus dan kritis sepertimana yang dilakukan oleh laman tersebut.
Antara artikel terbaru laman Suara PR yang wajar diberi perhatian serius ialah mengenai rancangan menumbangkan kerajaan melalui kekerasan yang diminitkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat.
Sebenarnya, apa yang didedahkan ini bukanlah mengejutkan kerana dari perbuatan dan percakapan harian para pemimpin PR kita sudah boleh membaca tujuan sebenar mereka. Para pemimpin PR cukup maklum bahawa mereka sukar untuk memenangi pilihanraya kerana tidak mendapat sepenuh sokongan dan kepercayaan rakyat.
Kerana itu, mereka perlu memburuk-burukkan sistem pilihanraya, membangkitkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan menimbulkan ketidakpercayaan terhadap mahkamah supaya apabila kalah nanti, bolehlah mereka menyalahkan SPR, kerajaan dan mahkamah. Ia kemudiannya akan dijadikan alasan kukuh untuk memberontak dan merusuh sekali gus menumbangkan kerajaan melalui kekerasan.
Menurut laman tersebut lagi, “Sebab itu kalau kita lihat mutakhir ini, pemimpin Pakatan Rakyat memberi jaminan bahawa peralihan kerajaan akan berlaku secara aman, tapi tidak menjamin apa-apa jika keputusan sebaliknya berlaku. Yang dijamin ialah keamanan kalau berlaku peralihan, itu pasti.” Malah disebutkan juga dalam mesyuarat yang sama mengenai kebarangkalian pertumpahan darah - jika keadaan benar-benar mendesak.
Nampaknya, pemimpin-pemimpin PR sedang mengugut kita semua iaitu jika kita tidak memenangkan mereka melalui peti undi dalam pilihanraya nanti maka bersedialah untuk menghadapi huru-hara dan pertumpahan darah.
Sekali lagi, kita tidak terkejut jika Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Hadi Awang sanggup menggadai nyawa penyokong-penyokong mereka untuk mencetus keganasan dan memulakan pemberontakan berdarah di negara ini.
Anwar adalah manusia yang sanggup melakukan apa saja dan tiada apa lagi yang dilakukannya yang mampu mengejutkan kita. Bayangkan, jika dalam keadaan biasa juga Anwar sanggup melakukan apa saja, maka apatah lagi jika beliau berada dalam keadaan yang amat terdesak untuk berkuasa?
Kita juga tidak pernah lupa bagaimana Lim Kit Siang menjadi pencetus tragedi 13 Mei, berbekalkan kebencian mendalam terhadap kaum Melayu dan keangkuhan yang menebal, dengan sifat kejam semulajadi yang mengalir dalam darah komunisnya.
Begitu juga Hadi Awang yang membara di dalam dirinya sifat fanatik atau ekstrem. Sifat inilah yang diterapkannya ke dalam diri penyokong-penyokongnya yang membawa kepada tragedi Memali dan kemudiannya, Sauk.
Jelas, keganasan dan pertumpahan darah bukan sesuatu yang asing bagi pemimpin Pakatan Rakyat dan kita pasti, mereka tidak punya masalah untuk mengulangi semua keganasan ini untuk kesekian kalinya bagi mencapai matlamat mereka. Keinginan mereka untuk merampas Putrajaya sudah terlalu meluap-luap dan tidak dapat dibendung lagi.
Untuk itu, pemimpin PR melihat keganasan dan pemberontakan sebagai ‘trend’. Dan ‘trend’ inilah yang akan membantu membawa mereka ke puncak kuasa. Sebagai persediaan ke arah ini, mereka kerap memberi isyarat kepada media-media asing bahawa Malaysia juga berada dalam proses ke arah mengikut ‘trend’ tersebut.
Apa yang penulis dapat katakan di sini ialah adalah sesuatu yang amat bodoh jika rakyat sanggup memusnahkan segala nikmat dan menggadai nyawa mengikut telunjuk pemimpin PR semata-mata kerana ingin mengikut ‘trend’.
Benar, mengikut kata pemimpin PR bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan negara.
Justeru, ingatlah kita punya kuasa untuk menolak pemimpin yang sanggup menggadaikan nyawa kita semata-mata kerana mereka tidak tahan lagi untuk berkuasa. Kita punya kuasa untuk menolak mereka melalui peti undi dan kita juga punya kuasa untuk menolak dari bersama-sama mereka menjahanamkan negara dan menggadaikan nyawa melalui jalanraya. Tanpa kita memberi sokongan kepada mereka, pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab ini tidak akan ke mana…
Labels:
Pakatan Rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment