Wednesday, November 7, 2012

Agenda Plural, Liberal Anwar Semakin Terserlah


Nilai-nilai diri seorang manusia terletak pada keteguhan prinsip hidupnya. Seorang pemimpin hebat wajib mempunyai prinsip yang kuat atau tidak mungkin akan tercatat dalam sejarah sebagai hebat.

Kerana itu, Adolf Hitler walaupun tercatat sebagai manusia paling kejam tetapi tiada siapa dapat menafikan yang beliau adalah pemimpin hebat. Walaupun beliau dikutuk kerana kekejamannya, tetapi kemampuannya mempengaruhi begitu ramai rakyatnya, menggerakkan askar-askar yang patuh kepadanya yang percaya dan setia kepada cita-citanya telah melayakkannya mendapat penghormatan tersendiri dalam kategori seorang pemimpin hebat di dunia.

Hitler tidak berdolak-dalih mahupun menafikan kekejaman yang dilakukan tetapi berdiri teguh atas kepercayaan bahawa apa yang dilakukannya adalah wajar yakni, benar.

Anwar Ibrahim, diketahui sering menyamakan dirinya dengan pemimpin-pemimpin hebat dunia. Namun, ciri-ciri pemimpin hebat tidak ada dalam dirinya. Dunia melihatnya tidak lebih sebagai manusia paling rakus yang tergila-gila untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar tidak mungkin dapat menjadi pemimpin hebat kerana tidak berani berdiri atas prinsip hidupnya sendiri serta mengakui fahaman pluralisme and liberalisme yang dipegangnya.

Apabila diasak mengenai kenyataan berunsur liberalis iaitu bahawa undang-undang homoseksual adalah lapuk, Anwar pantas menafikannya pula. Apabila ditekan oleh rakan-rakannya di dalam ABIM mengenai beberapa ucapan dan kenyataannya yang berunsur pluralis, Anwar menafikannya juga.

Malah, sehingga ke hari ini, Anwar masih cuba meyakinkan umat Islam di Malaysia bahawa beliau adalah pemimpin Islam sejati, warak dan alim. Beliau ke hulu ke hilir mencari peluang bercakap dan berkhutbah di dalam masjid. Imej isteri dan anak-anaknya yang bertudung banyak membantu mengelirukan orang ramai mengenai warna sebenar hati, budi dan pemikirannya.

Persoalannya, kenapa Anwar tidak mengaku sahaja arah tuju perjuangan liberalnya serta fahaman pluralisnya? Kenapa perlu berdolak dalih? Kenapa perlu bermuslihat dengan umat Islam yang menjadi penyokongnya?

Rekod pergerakan Anwar membuktikan bahawa Anwar berpegang kepada fahaman pluralisme agama dan liberal. Bukti terkini ialah kenyataan Nurul Izzah yang selari dengan Majlis Peguam yang menganjurkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang menyerlahkan lagi fahaman pluralis dan liberalis yang dipegang oleh bapanya dan mungkin juga seluruh keluarga dan ahli-ahli partinya.

Matlamat utama IFC iaitu memberikan kebebasan memilih agama dan keluar dari sesuatu agama termasuk di kalangan umat Islam. Dan ini jugalah yang dikatakan oleh Nurul Izzah iaitu umat Islam juga wajar diberi kebebasan untuk memilih agama lain, atau dalam kata lain, murtad. Bukankah ia sama saja?

Pandangan Nurul Izzah itu adalah jelas berdasarkan fahaman pluralisme agama yang meletakkan semua agama adalah sama sepertimana yang disebut Anwar dalam ucapannya di London School of Economic (LSE) pada 18 Mac 2010 bertajuk “Religion and Pluralism in a Divided World”, iaitu “tidak penting apa sahaja agama yang anda anuti , hanya berbuat baik dan elak kejahatan.”

Ucapan tersebut menjadi kontroversi, mendapat teguran JAKIM dan meletakkan Anwar dalam keadaan tegang dengan rakan-rakannya di dalam ABIM.

Sehubungan dengan itu, satu kajian dan diskusi telah diadakan untuk mengenalpasti pluralisme di dalam Anwar dan percanggahannya dengan Islam. Dari situ, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) telah mengenalpasti 12 dalil yang bercanggah dengan Islam dari ucapan tersebut: Antaranya:

1. Menganggap hanya satu agama sebagai benar adalah pandangan yang silap atau tertutup sedangkan agama-agama lain juga benar. Apa juga agamanya, sama ada Islam, Kristian, Sikh, Hindu serta yang lain, saya percaya bahawa kebenaran-kebenaran yang paling tinggi (higher truths) akan mengatasi amalan- amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.

2. Memetik penyair Sufi, Jelaluddin al-Rumi yang berkata "Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari seberang sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan"(The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality).

3. Semua agama mempunyai pertanyaan yang sama iaitu dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? yang bermaksud persamaan universal (universal concepts) antara semua agama untuk mencari kebenaran, keadilan dan sifat keunggulan.

4. Pada hari ini wujud kebebasan beragama (freedom of religion) tetapi mengenepikan Pluralisme Agama (Religious Pluralism) yang sepatutnya kedua-duanya diperteguhkan sebagai konsep kebebasan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Memihak kepada satu agama dan mengenepikan agama-agama lain adalah bertentangan dengan semangat Pluralisme Agama. Perkara ini lebih ketara di Timur Tengah dan Asia Tenggara.

5. Al Quran sendiri menganjurkan Pluralisme Agama seperti dalam firman 'tidak ada paksaan dalam agama', maka mestilah perbuatan memaksakan kepercayaan seseorang ke atas orang lain bukan bersifat Islamik. Jika ayat ini ditolak maka kenyataan Al Quran itu tidak mempunyai apa-apa erti.

6. Guru Granth Sahib, Kitab Agama Sikh memberitahu kepada semua manusia bahawa seseorang yang mampu melihat semua jalan-jalan kerohanian (spiritual paths) akan membawa kepada Yang Satu dan akan menjadi bebas merdeka tetapi orang yang menyatakan kepalsuan akan turun ke dalam api neraka dan terbakar di dalamnya. Orang yang berbahagia ialah orang yang disucikan dan mereka akan berterusan tenggelam dalam nikmat Kebenaran.

7. Hari ini, terdapat pemimpin-pemimpin agama-agama dunia tertentu yang terus menerus membuat Perintah-Perintah Eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi berbanding dengan penerimaan perkara-perkara yang disepakati bersama (commonality) yang mampu menghubungkan semua manusia. Kalaulah kita menerima hakikat bahawa memang terdapat kepelbagaian, maka Pluralisme Agama adalah jawapannya kerana mampu menyatukan. Itulah jalannya untuk membawa keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan.

8. Kaum muslimin masih lagi berterusan berprejudis; menolak nilai kebebasan bersuara (free speech), kebebasan media (free press), demokrasi, dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience). Mereka memandang budaya Pluralisme Agama sebagai satu bentuk konspirasi teragung oleh 'pihak lain', terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga dilihat sebagai jerat untuk menyeluduk masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang. Tetapi sebenarnya ini merupakan suatu penyelewengan apabila dilihat menurut perlaksanaan hukum Islam. Di luar daripada kepentingan polisi awam, memang tidak ada kewajipan agama untuk orang Islam mengenakan undang-undang dan nilai-nilai umat Islam ke atas seluruh masyarakat. Dari segi ideologi, sikap beku dalam pemikiran (rigidity) masih berupa penghalang kepada kemajuan dan islah. Muslimin hendaklah membebaskan diri daripada amalan-amalan lama menggunakan klise dan menjaja-jajanya (cliche-mongering) serta mengenakan label-label kepada orang, dan bergerak melewati kepentingan-kepentingan kelompok yang sempit. Penemuan semula garapan terhadap pluralisme yang asal dalam Islam sangat-sangat diperlukan.

9. Syariat itu bukannya hanya tertulis di atas batu, dan ia mengalami evolusi (perubahan) secara dinamik. Demi untuk mempertahankan moderat, maka unsur utama dalam metodologi Islam mesti dipandang dalam perspektif yang menyeluruh (holistic) yang akan menjadi lebih menarik, mengikut kaedah yang bersifat universal dan kekal abadi.

Ini hanya sebahagian dari 12 hujah utama dalam ucapan Anwar yang mengesahkan bahawa beliau berfahaman pluralisme dengan berpaksikan cara hidup liberal. Ucapan ini telah dimuatnaik ke dalam blognya tetapi dikeluarkan apabila mendapat bantahan JAKIM.

Kesimpulan di sini ialah, Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin walaupun rakus dan gila-kuasa tetapi tidak cukup ‘jantan’ untuk berdiri teguh di atas fahaman, pendirian dan prinsip dirinya. Sedangkan pemimpin hebat wajib berani menyatakan apa yang dianggapnya benar dan memperjuangkannya tanpa perlu berselindung atau berlakon. Pemimpin hebat tidak akan takut pada risiko ditangkap atau kalah pilihanraya, asalkan perjuangannya berjaya menembusi hati dan minda seramai yang mungkin atas kepercayaan yang beliau membawa kebenaran.

Keengganan Anwar untuk mengakui fahamannnya membawa kita kepada satu kemungkinan iaitu; jauh di sudut hati, beliau tahu bahawa fahaman itu adalah salah dan sesat tetapi ingin terus mempromosinya kerana ia sesuai dengan jiwanya yang sukakan kebebasan seks mutlak, di samping sesuai dengan kehendak penajanya di barat.

1 comment:

Anonymous said...

Klau tk merapu,merepek bkn pencacai UMNO le.Nk mempersoal kn akidah org lain,cermin diri tu dlu.Dr 30 juzuk dlm Al Quran,boleh ke di buang separuh utk di sesuai kn dgn UMNO.Ada baca ke surah Al Hujarat ayat 6.Dlm UMNO cuma ada melayu yg mengguna kn Islam sbg topeng utk mengaut kekayaan je.Cuba tengok ank2 menteri2 UMNO.Gaya hidup serba mewah.Kereta Bentley,Porsche dn sbgai ny.Mana dtg duit tu?Jatuh dr langit ke.Cuba tengok anak2 Tun M,sblum dia jd PM dn banding kn slps dia menjadi PM.Hebat sngt perniagaan mereka smpai blh jd billionaire dlm sekelip mata.Ingat lh,rakyat marhaen bkn ny bodoh.