Tuesday, November 20, 2012

Umno Kelantan Buat Laporan Polis Doa 'KO BN'


Umno Kelantan hari ini membuat dua laporan polis berhubung tindakan Pas membaca doa untuk menghancurkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan tuduhan bahawa Umno sebuah parti murtad.

Mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Pas kerana menyifatkan segala kenyataan itu telah mengguris hati bangsa Melayu dan Islam di negara ini.

Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusoffe mengetuai kira-kira 30 anggota pergerakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di sini.

Ketika ditemui, Zarina berkata, mereka mahu polis menyiasat perkara itu mengikut peruntukan undang-undang yang ada termasuk Akta Hasutan kerana menyifatkan doa berkenaan boleh menghasut umat Islam bertelagah sesama mereka.

"Hati kami tersentuh. Kami orang Melayu beragama Islam dan tuduhan ini sangat melampau yang menyerlahkan sikap sebenar Pas dan Mursidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Beliau meminta rakyat Kelantan terutamanya menilai siapa sebenarnya pemimpin Pas itu yang ternyata mempunyai politik dendam terhadap Umno kerana sanggup mendoakan kehancuran dan menuduh Umno murtad.

Di IPD yang sama, Majlis Veteran Umno Kelantan turut membuat laporan serupa, diketuai Pengerusi Biro Ulama Majlis Veteran itu, Mohd Noor Deris.

Mohd Noor berkata tuduhan murtad oleh Nik Aziz itu itu disifatkan sebagai melampau dan meminta Sultan Kelantan campur tangan.

"Kami juga memohon perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V agar dapat segera mengubat perkara yang memudaratkan umat Islam di negeri ini," katanya.

Mohd Noor juga meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menyuarakan pandangan mereka menurut nas-nas Islam berhubung perkara itu dan mengajak pemimpin Pas termasuk Nik Aziz bermuzakarah.

Pada Jumaat lepas, Pas mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno hancur yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV dengan dipimpin adik Menteri Besar, Nik Razi Nik Mat, sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58.

Pada Ahad, Nik Abdul Aziz mengundang kontroversi apabila mendakwa Umno murtad kerana memperlekeh dan menolak Islam. - Bernama

3 comments:

Unknown said...


Doa hancur Umno demi selamatkan agama dan negara

Tok Janggut,

Pada mulanya tersentak juga penulis apabila membaca kenyataan beberapa pihak akan doa yang dibaca dalam solat hajat anjuran PAS di Kelantan baru-baru ini. Antara yang didoakan ialah minta agar Allah tumbang dan hancurkan Umno kerana kezaliman yang lakukan sudah sampai ke kemuncaknya tanpa boleh dinasihat atau sudah tidak nampak tanda-tanda yang Umno ini akan insaf dan kembali ke jalan Allah dan Rasul.

Tidak timbul PAS mendoakan kehancuran kepada saudara seagama denganya. PAS hanya berdoa terhadap orang yang zalim dan PAS adalah golongan yang dizalimi dan ditindas selama ini. Bukankah Nabi pernah bersabda “takutilah kamu akan doa orang yang dizalimi kerana doa mereka tidak ada hijab dengan Allah”. Hal ini bermakna jika kita dizalimi, kita boleh berdoa kepada Allah untuk dihancurkan golongan zalim itu demi untuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran kita.

Islam tidak pernah membenarkan kita melakukan kezaliaman sesama sendiri hatta dengan orang bukan Islam pun kita dilarang melakukan kezaliman. Tetapi Umno tidak peduli semua itu, apatah lagi mereka sentiasa dibela dan dipertahankan oleh ulama upahan, puak mufti dan tok guru mereka sedangkan golongan agama mereka ini tidak pernah pun dilihat menegur Umno melakukan kezaliman dan penindasan terutamanya terhadap PAS dengan merampas royalti dan menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat yang meyokong PAS.

Dalam al-Quran Allah telah memberi amaran “Janganlah kamu cenderung kepada golongan yang zalim, kelak kamu akan disambar api neraka”. Ini bukan sahaja membuktikan bahawa bukan sahaja golong yang zalim akan ke neraka bahkan sesiapa yang cenderung, menyokong dan menjadi sebahagian daripada mereka juga akan disambar api neraka.

Zalim hendaklah dilihat daripada kaca mata Islam, bukan daripada kacamata parti atau menggunakan logik akal. Kazaliman yang paling besar dan nyata ialah apabila sesebuah kerajaan yang mengaku beragama Islam itu tidak melaksanakan syariat Allah sebagai undang-undang tertinggi negara malahan mereka mempersendakan, memperlekeh dan mempermain-mainkan pula syariat Allah itu.

Selain itu, kezaliman dalam menafikan hak rakyat atas alasan tidak menyokong kerajaan yang memerintah juga adalah satu kezaliman. Hal ini kerana apa-apa sahaja rezeki yang ada di muka bumi adalah milik Allah, bukan milik kerajaan yang memerintah. Antaranya menafikan hak royalti minyak yang sudah pun mempunyai perjanjian dan persetujuan bersama tetapi telah dikhianati atas dasar dendam dan iri hati. Dalam Islam, mungkir janji yang telah dibuat melalui lisan sahaja pun sudah dianggap melakukan kezaliman, apatah lagi yang telah pun dibuat perjanjian yang melibatkan hak sejumlah besar rakyat yang berhak ke atas royalti itu.

Bagaimana pula penafian dari segi peruntukan yang telah disahkan dalam undang-undang negara, menafikan hak mendapatkan biasiswa, tanah, rumah dan berbagai-bagai lagi. Semua itu termasuk dalam istilah zalim yang Allah janjikan neraka kepada mereka yang melakukanya. Tidak timbul isu berdoa seperti ajaran sesat atau tidak boleh berdoa untuk kehancuran terhadap saudara seagama kerana doa ini terpaksa dilakukan terhadap golongan yang sudah terlalu jauh sesat dan juga tidak mungkin mereka akan melakukan kezaliman jika mereka merasakan mereka itu adalah saudara seagama.

Apabila sudah banyak nasihat, teguran dan kritikan diberikan agar Umno kembali ke jalan Allah tetapi mereka tetap dengan kesombongan, bongkak dan dengan sikap takburnya, maka tiada jalan lain kecuali berdoa kepada Allah agar Umno ini tumbang dan hancurkan demi untuk menyelamatkan lebih 20 juta rakyat.

Anonymous said...

Cikgu pencen,

Kamu teruskanlah dengan andaian2 kamu. Semuga Allah memberikan kamu kesedaran dengan sewajarnya. Kamu punyai alasan kamu.., sedangkan aku yang tinggal di Kota Bharu, mempunyai alasan aku. Segala yang kamu tuding ke arah UMNO itu, sebenarnya adalah apa yang dilakukan oleh kerajaan PAS Kelantan hari ini kepada rakyat Kelantan..., namun aku tidak pernah mendoakan seburuk itu kepada pemimpin2 PAS.

annasayangISLAM said...

tidak perlu takut kalau tidak bersalah. doa ni bukan manusia yang kabulkan tapi ALLAH swt. semuga pemilik blog diberi hidayah oleh ALLAH swt.
btw saya sokong PAS

ALLAHUAKHBAR!