Friday, December 21, 2012

Siasat Segera Rasuah Pemberian Tanah Di Kelantan Kepada Kepimpinan DAP


Blog, www.pisau.net baru-baru ini telah mendedahkan berlakunya transaksi pemberian tanah bertempat di daerah Chiku, Guan Musang yang mencurigakan antara kepimpinan DAP dan kerajaan Kelantan yang didakwa sebagai tukar ganti agar kepimpinan DAP bersetuju Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan meminta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pendedahan blog yang mendakwa berlakunya rasuah pemberian tanah terhadap salah seorang pemimpin DAP dalam proses pemilihan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri ,Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak kira-kira empat tahun lepas.

Menurut beliau, biarpun pendedahan tersebut telah dinafikan oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Pembangkang, namun beliau mendesak agar SPRM segera menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

“Saya minta agar SPRM segera menyiasat dakwaan tersebut untuk mencari kebenaran tentang pendedahan tersebut. Bahkan saya difahamkan, blog tersebut juga turut memuatkan beberapa dokumen berkenaan pemberian tanah tersebut kepada kepimpinan DAP itu.

“Selama ini mereka menuduh UMNO dan BN mengamalkan rasuah, namun pendedahan tersebut membuktikan bahawa tuduhan itu kini berbalik kepada mereka dengan pendedahan blog tersebut dengan beberapa dokumen sebagai bukti,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini.

Beliau juga berharap pihak yang mendedahkan perlakuan rasuah kepimpinan tertinggi DAP dan Pas tersebut agar bertanggungjawab di atas segala pendedahan yang dibuat serta mengemukan segala dokumen yang menjadi bukti berlakunya penyelewengan tersebut kepada pihak yang terbabit.

“Saya yakin, apa yang didedahkan itu bukan fitnah. Saya yakin ada kebenarannya di atas dakwaan yang dibuat oleh blog tersebut memandangkan ianya turut disertai dengan beberapa dokumen untuk mengesahkan lagi dakwaan tersebut,” ujarnya.

Beliau turut membidas tindakan Pakatan Pembangkang yang seringkali cuba mengaitkan perlakuan rasuah terhadap UMNO dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu perbuatan jahat.

“Sekiranya benar berlakunya perkara seperti yang didedahkan oleh blog tersebut, bagi saya ia merupakan satu perbuatan rasuah kedua terbesar di dalam Pakatan Pembangkang, selain tindakan rasuah yang cuba dilakukan terhadap 30 Ahli Parlimen yang kononnya akan melompat parti ketika heboh peralihan kuasa pada 16 September yang lalu.

“Rasuah ini sebenarnya tidak mengenal parti atau bangsa. Semua yang menyahgunakan kuasa atau wang ringgit untuk melakukan rasuah, tetap bersalah tanpa mengira apa juga parti atau apa juga bangsa di pelaku,” jelasnya.

No comments: